Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMDA dapat CEO baru

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mempunyai seorang ketua eksekutif baru mulai Sabtu (20 Jun) dengan pelantikan Encik Lew Chuen Hong.

Anggaran Waktu Membaca:
IMDA dapat CEO baru

Encik Tan Kiat How (kiri) dan Encik Lew Chuen Hong. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 15 Jun 2020 05:44PM Dikemas Kini : 15 Jun 2020 05:58PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mempunyai seorang ketua eksekutif baru mulai Sabtu (20 Jun) dengan pelantikan Encik Lew Chuen Hong.

Beliau menggantikan Encik Tan Kiat How sebagai sebahagian daripada "proses berterusan pembaharuan kepimpinan", menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam satu kenyataan media pada Isnin (15 Jun).

Encik Lew menyertai IMDA sebagai timbalan ketua eksekutif (pembangunan) pada Mei. Sebelum itu, beliau adalah Panglima Tentera Laut dari 2017 hingga 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan sebagai pengarah bahagian penyelidikan dan perusahaan, di mana beliau mengawasi pengembangan keusahawanan dan ekosistem penyelidikan dan pengembangan Singapura.

"PENTING DALAM MENGEMBANGKAN KETERHUBUNGAN DIGITAL SINGAPURA": MCI

Encik Tan meninggalkan IMDA setelah lebih tiga tahun menggalas tanggungjawab sebagai ketua eksekutif.

Beliau dilantik ke jawatan tersebut pada Januari 2017 untuk memimpin penggabungan Penguasa Pembangunan Infokom dan Penguasa Pembangunan Media ketika itu untuk membentuk IMDA.

Beliau menubuhkan Pejabat Digital SG (SDO) di bawah IMDA yang bertujuan menggerakkan usaha baru mempercepat penggunaan digital dalam masyarakat dan merekrut rangkaian duta digital untuk mendekati masyarakat yang kurang mahir secara digital untuk membantu mereka memperoleh alat dan kemahiran digital.

Beliau turut meningkatkan program untuk memastikan keluarga berpendapatan rendah dapat akses kepada alat digital, terutama dalam tempoh COVID-19, menurut MCI.

Menerusi program seperti SME Go Digital, Encik Tan dan pasukannya membantu lebih 20,000 SME melalui pendigitalan dalam masa kurang tiga tahun.

"Di bawah arahan Encik Tan, IMDA mengambil langkah untuk membangunkan prasarana sambungan negara seperti pelancaran telko ke-4 dan spektrum untuk penggunaan 5G," tambah kementerian itu.

Menyanjung sumbangannya, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata Encik Tan telah membantu IMDA dan Singapura dalam memacu ekonomi digital.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kiat How atas banyak sumbangannya, dan berharap yang terbaik bagi masa depannya. Saya juga ingin mengalu-alukan Chuen Hong ke dalam keluarga MCI, dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya." 

Sumber : CNA/FZ/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan