Skip to main content

Singapura

IMDA batal lesen The Online Citizen setelah berulang kali enggan isytihar sumber dana

Lesen The Online Citizen (TOC) dibatalkan selepas ia berulang kali enggan mengisytiharkan sumber pendanaannya, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Jumaat (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
IMDA batal lesen The Online Citizen setelah berulang kali enggan isytihar sumber dana
Diterbitkan : 15 Oct 2021 04:16PM Dikemas Kini : 15 Oct 2021 04:27PM

SINGAPURA: Lesen The Online Citizen (TOC) dibatalkan selepas ia berulang kali enggan mengisytiharkan sumber pendanaannya, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Jumaat (15 Okt).

Laman web serta akaun media sosial TOC sudahpun dipadamkan sejak 16 Sep, setelah pihak berkuasa menggantung lesennya akibat gagal menyerahkan maklumat yang diperlukan meski sudah diberi banyak "peringatan dan tempoh lanjutan".

IMDA kemudian memberi penyedia berita alternatif itu masa sehingga 28 Sep untuk menyerahkan maklumat bagi mematuhi Akta Penyiaran.

"Sehingga 14 Okt 2021, TOC masih belum menyerahkan maklumat yang diperlukan. TOC juga telah membuat kenyataan awam bahawa ia tidak akan menyerahkan maklumat yang diperlukan," kongsi IMDA pada Jumaat.

"TOC secara jelas dan berterusan enggan bersikap telus serta menyediakan maklumat yang diperlukan bagi mematuhi sepenuhnya Akta Penyiaran dan Pemberitahuan (Lesen Pemilik) Penyiaran memaksa IMDA untuk meneruskan pembatalan lesen TOC dengan serta merta."

Semua penyedia kandungan Internet (ICP) yang berdaftar seperti TOC dilesenkan di bawah Akta Penyiaran secara automatik. Penyedia berita tradisional pula masing-masing diberi lesen secara individu di bawah Akta Penyiaran (penyiar TV) dan Akta Surat Khabar dan Mesin Cetak (suratkhabar).

ICP yang terlibat dalam promosi atau perbincangan isu-isu politik berkaitan Singapura secara online "dikehendaki bersifat telus" mengenai sumber-sumber pendanaan, menurut IMDA dalam satu kenyataan media.

"Ini bagi mencegah ICP sedemikian daripada dikawal oleh individu asing, atau dipengaruhi entiti atau pendanaan asing, serta untuk memastikan agar tiada pengaruh asing dalam politik tempatan."

Bulan lalu, IMDA menyatakan bahawa TOC sebelum ini pernah mengisytiharkan sumber pendanaannya ketika ia mendaftar buat kali pertama pada 2018. Namun pada 2019, ICP tersebut gagal mengesahkan seorang penderma dan menjelaskan percanggahan pada hasil pengiklanan asingnya. IMDA mengeluarkan amaran atas pelanggaran tersebut pada Mei tahun ini.

Dalam pengisytiharan tahunannya pada 2020, TOC "berkali-kali gagal" mengisytiharkan semua sumber pendanaannya dan memberitahu IMDA bahawa ia tidak berniat untuk mematuhi syarat tersebut.

Dengan lesennya dibatalkan, TOC dianggap sebagai melakukan kesalahan jika ia terus mengendalikan sebarang khidmat penyiaran berlesen, tambah IMDA.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita