Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Imbalan guru tuisyen MENDAKI naik 20% mulai Jan 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan menaikkan imbalan untuk para guru Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) sebanyak 20 peratus iaitu daripada S$50 sejam kepada S$60 sejam.

Ini akan mula dilaksanakan pada Januari 2023.

Selain itu, wang insentif juga disediakan kepada guru MTS yang dapat menggalak pelajar meraih kehadiran tetap dan gred baik.

Jumlahnya adalah antara S$300 dengan S$1,200 setahun mulai Januari tahun depan.



Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI Zaqy Mohamad mengumumkan demikian di majlis penyampaian Anugerah Tutor MENDAKI 2022 pada Sabtu (26 Nov).

"Kami berharap ini akan memberi motivasi kepada tutor kami untuk terus mengekalkan kehadiran kelas yang baik," kata Encik Zaqy.


Para tutor MTS (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Selain itu, beliau juga menekankan peranan besar yang dimainkan oleh para guru MTS dalam kehidupan para pelajar, serta kesan yang mereka tinggalkan terhadap kesejahteraan dan pembangunan pelajar.

"Melihat ini, MENDAKI akan melabur lebih banyak untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada para tutor kami termasuk mereka yang sudah menyumbang lebih banyak," kata Encik Zaqy.

51 GURU TUISYEN DIIKTIRAF

Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi anugerah kepada 51 guru tuisyen atas sumbangan cemerlang, kerja keras dan komitmen mereka.

Jumlah ini menurutnya merupakan peningkatan 50 peratus berbanding tahun lalu.



Antara yang diiktiraf ialah Encik Muhammad Jailani Abu Talib, 37 tahun, iaitu penerima tunggal Anugerah Sumbangan Cemerlang MTS.

Sepanjang lebih sembilan tahun berkhidmat, Encik Jailani sudah pun membimbing para guru MTS dan menunjukkan kepada mereka cara menjaga kesejahteraan pelajar dan mengatasi jangkaan mereka.

Di samping itu, guru tuisyen itu juga giat menyumbang kepada masyarakat di luar MTS.

Ia termasuk mengendalikan sesi permainan bola sepak buat kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Secara jujurnya, apabila saya mula bergiat dengan Yayasan MENDAKI, apa yang penting adalah bagaimana saya dapat berkhidmat kepada masyarakat dan bagaimana kita dapat membantu masyarakat Melayu di luar sana, khususnya golongan-golongan yang kurang kemampuan," kongsi Encik Jailani.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Alhamdulillah saya rasa saya gembira menerima anugerah ini tetapi lebih penting daripada itu, ialah bagaimana anugerah ini dapat membantu menjadi pemangkin semangat bagi pendidik-pendidik di luar sana dan bagaimana kita dapat terus menyumbang kepada masyarakat kita," tambahnya lagi.

PENTINGKAN KESAN BERBANDING IMBALAN

Encik Jailani, yang merupakan penyelia pusat bagi Sekolah Rendah Naval Base dan Pusat WELL Henderson, juga seorang jurulatih Pencak Silat di luar bidang pendidikan.

Beliau menyambut baik kenaikan imbalan bagi para guru MTS yang baru diumumkan.

"Alhamdulillah, saya rasa itu satu inisiatif ataupun langkah yang baik. Tetapi lebih daripada itu, saya percaya semua ataupun segenap pendidik-pendidik yang berkhidmat dengan MTS ini, kita tidak pernah memikirkan tentang imbalan daripada sudut wang ringgit. Jadi apa yang lebih penting ialah kesan yang dapat kita mainkan terhadap masyarakat kita."



Tahun ini, 39 individu menerima Anugerah Tutor dan Ketua Tutor Cemerlang, manakala 11 individu menerima Anugerah Khidmat Lama untuk penyelia dan penjaga pusat.

Majlis itu dihadiri sekitar 130 individu termasuk tutor, ketua tutor, penyelia pusat, rakan kerja serta individu yang menyumbang kepada MTS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan