Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ikon teater Melayu SG Nadiputra diiktiraf dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara di Bangkok

Anggaran Waktu Membaca:
Ikon teater Melayu SG Nadiputra diiktiraf dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara di Bangkok

Nadiputra dikurniakan Anugerah Penulis Asia Tenggara di Istana Dusit, Dewan Chitralada Garden, Bangkok pada 10 Ogos 2023. (Gambar Ihsan: Nadiputra)

SINGAPURA: Ikon teater Melayu Singapura, Nadiputra, diiktiraf dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) baru-baru ini atas kecemerlangan dan daya kreativiti beliau dalam bidang penulisan sastera dan skrip bagi televisyen, radio dan pementasan teater sejak lima dekad lalu.

Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan di Istana Dusit, Dewan Chitralada Garden, Bangkok, pada Khamis (10 Ogos).

Anugerah itu turut disampaikan oleh Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya bagi Thailand kepada Nadiputra, yang sudahpun menghasilkan lebih 300 karya setakat ini.

Encik Nadiputra atau nama sebenarnya Almahdi Al-Haj Ibrahim, 76 tahun, memberitahu BERITA Mediacorp: "Ini kemuncak pencapaian saya kerana ia anugerah tertinggi pernah saya dapat untuk diiktiraf di peringkat Asia Tenggara, yang lebih mencabar dan disetarakan dengan karyawan dari Brunei, Thailand, Laos dan Kemboja misalnya."
(Gambar Ihsan: Nadiputra)
"Anugerah ini juga melambangkan ketahanan dan pelibatan sepanjang hayat kami dalam bidang ini," jelas beliau, yang juga pernah menerima Anugerah Tun Seri Lanang pada 2013 dan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura pada 2021.

PENERIMA BAGI TAHUN 2020

Anugerah Penulis Asia Tenggara itu diberikan kepada penulis unggul dari setiap negara Asia Tenggara saban tahun.

Ini bermakna, 10 penulis terbaik dari 10 negara Asia Tenggara akan diiktiraf dalam acara tahunan tersebut.

Negara-negara Asia Tenggara itu terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Nadiputra menerima anugerah tersebut bagi tahun 2020, memandangkan majlis penyampaiannya ditangguh akibat pandemik COVID-19.

Para penulis Melayu Singapura yang pernah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara itu termasuk penyair Johar Buang pada 2010, sasterawan Isa Kamari pada 2006 serta penulis sajak dan sasterawan Mohamed Latiff Mohamed pada 2002.

Sebelum itu, sasterawan yang turut diiktiraf terdiri daripada Abdul Ghani Hamid pada 1998, pendeta bahasa dan budaya Melayu Singapura Muhammad Ariff Ahmad pada 1993 dan sasterawan Suratman Markasan pada 1989.

CURAHKAN ILMU DALAM BENGKEL, PERLU TEKUN DAN BERDISIPLIN

Yang jelas, Nadiputra akur bahawa beliau dapat terus bertahan dan berkarya hasil dorongan ekosistem yang baik serta permintaan berterusan untuk anak muda terlibat dalam bidang pementasan teater.

Ini termasuk tersedianya tempat latihan yang sesuai serta ruang, waktu dan dana untuk beliau mengajar bengkel drama di Kelab Masyarakat Tampines West pada setiap hari Ahad.

Peluang sebegitu secara tidak langsung menjadi ruang untuk beliau terus-menerus mencurahkan ilmu dalam bidang teater.

"Kalau ada tempat untuk bergiat, mereka harus bersungguh-sungguh, rajin dan berdisiplin.

"Hobi teater ini serius dan berat. Kalau main-main, ia tak akan jadi. Kalau sungguh-sungguh, ia akan jadi mantap," kongsi beliau.

Anugerah juga, kata beliau, tidak harus menjadi satu-satunya sasaran bagi seseorang penggiat seni.

"Jangan harapkan anugerah. Anugerah itu hadiah kecemerlangan. Bekalkan diri dengan ilmu dan fokus kepada mengasah bakat dalam teater, bukan tumpu kepada kemenangan sebab nanti kita akan kecewa.

"Perbaiki karya bukan kerana nak kejar anugerah. Kalau nak berkarya, biar jujur. Kalau penat, rehat dahulu, kemudian kumpulkan semula idea dan asah bakat.

"Usaha bersungguh-sungguh insya-Allah orang akan nampak bakat itu, bukan kerana popular, tetapi sebab sesebuah karya itu," kongsi Nadiputra.

Buat masa ini, Nadiputra sedang berkarya dan mengarahkan pementasan 'Bangsawan A-Go-Go Badang' yang akan dipentaskan pada 26 Ogos 2023 di teater Hab Tampines Kita (OTH).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan