Skip to main content

Singapura

Iklan AI MOF dikritik nampak seperti 'penipuan'; kementerian perjelas ia sebahagain daripada projek rintis

Anggaran Waktu Membaca:
Iklan AI MOF dikritik nampak seperti 'penipuan'; kementerian perjelas ia sebahagain daripada projek rintis

Gambar: MOFsg/X

Diterbitkan : 31 Jul 2024 08:22PM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 08:24PM
SINGAPURA: Satu iklan online yang diterbitkan Kementerian Kewangan (MOF), yang menampilkan gambar dijana kecerdasan buatan (AI) menunjukkan sebuah keluarga,menerima kritikan daripada para pengguna media sosial.

Pengguna Reddit Deliciouswizard memuat naik catatan di r/Singapore pada Isnin (29 Jul), dengan petikan gambar skrin iklan Instagram yang ditaja oleh kementerian tersebut.

"MOF menggunakan AI dalam iklan mereka. Buruk dan banyak kesilapan. Bolehkah anda kenal pasti kesilapan itu," menurut catatan tersebut.

Gambar tersebut menampilkan sebuah keluarga berkulit cerah, yang terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak di bahagian depan gambar itu, di samping beberapa orang lain dilihat di bahagian belakang gambar berkenaan.

Kapsyen yang mengiringi gambar tersebut berbunyi: "Sokongan bagi pasangan berpendapatan rendah dengan dua anak kecil". "Visual direka menggunakan wadah AI".

Setakat Rabu pagi, catatan tersebut menarik lebih 720 undi dan 300 komen - yang kebanyakannya negatif - daripada kritikan tentang gambar yang kelihatan seperti satu "penipuan", atau tentang penggunaan AI pada mulanya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap MOF mengatakan bahawa kementerian tersebut menggunakan visual yang berbeza untuk mengiringi catatan media sosialnya dalam memenuhi golongan sasaran yang berbeza.

"Kami sedang merintis penggunaan AI untuk meneroka visual yang berbeza selain yang dilakarkan oleh para pereka. Kami sudah meletakkan nota kaki pada catatan dan visual kami untuk mengekalkan ketelusan mengenai sumber kandungan tersebut," ujar jurucakap itu.

"Kami akan terus meneroka wadah berbeza dan mempertimbangkan maklum balas untuk memperbaiki produk-produk kami dalam usaha kami memaklumkan kepada rakyat Singapura mengenai skim serta khidmat Pemerintah dengan lebih baik."
Related article image
Gambar: Deliciouswizard/Reddit, buwanana/Reddit
Ini bukan kali pertama kementerian atau agensi pemerintah memanfaatkan AI dalam bahan publisitinya, malah ia juga pernah terkena tempias kritikan bagi langkah sedemikian.

Tinjauan sepintas lalu di akaun MOF di platform X menunjukkan terdapat beberapa catatan, yang diiringi dengan gambar-gambar yang dijana AI.

Malah, satu catatan di akaun @govSingapore sempena Hari Ibu juga menggunakan gambar-gambar yang dijana AI untuk memaparkan pelbagai hidangan tempatan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita