Ikea tarik balik mesin bancuh kopi disebabkan risiko meletup semasa digunakan
(Gambar: Ikea Singapore)
SINGAPURA: Peruncit perabot Sweden Ikea menarik balik mesin membancuh kopi Metallisk disebabkan "risiko tinggi produk itu meletup semasa digunakan".
Tiada kejadian yang dilaporkan di Singapura setakat ini.
Arahan tarik balik itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga, menurut Ikea dalam satu kenyataan pada Rabu (8 Jun).
"Keselamatan diutamakan di Ikea dan justeru, kami menarik balik mesin membancuh kopi Metallisk yang mengandungi injap keselamatan keluli tahan karat disebabkan risiko tinggi produk itu meletup semasa digunakan".
Mesin-mesin berwarna perak atau kelabu itu ditarik balik disebabkan "perubahan bahan dan pembikinan injap keselamatan," menurut Ikea.
Pelanggan yang sudah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya berhenti menggunakannya dan memulangkan produk tersebut kepada cawangan-cawangan Ikea di Alexandra, Jurong atau Tampines untuk mendapatkan bayaran balik penuh.
Bukti pembelian tidak diperlukan untuk mendapatkan bayaran balik.
Pelanggan boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan di 6786 6868 untuk maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.