IKEA tarik balik meja makan yang boleh dipanjangkan atas sebab-sebab keselamatan
IKEA menarik balik meja makan GLIVARP selepas ia menerima laporan tentang bahagian pemanjang meja berkenaan tercabut daripada batang besinya.

Meja GLIVARP IKEA yang boleh dipanjangkan. (Gambar: IKEA/Facebook)
SINGAPURA: IKEA menarik balik meja makan GLIVARP selepas ia menerima laporan tentang bahagian pemanjang meja berkenaan tercabut daripada batang besinya.
Para pelanggan yang sudah membeli meja itu digesa supaya tidak terus menggunakannya dan mengembalikan produk itu ke cawangan terdekat IKEA untuk mendapatkan wang mereka kembali, menurut gergasi perabot itu menerusi satu catatan Facebook hari ini (27 Nov). Tiada bukti pembelian atau resit diperlukan.
Bagaimanapun, tiada insiden seumpama itu dilaporkan di Singapura.
Terdapat beberapa jenis meja makan bagi model GLIVARP, tetapi hanya versi berwarna putih kabut yang terjejas dengan penarikan itu.
"Ada risiko bahagian pemanjang akan tercabut dari batang besi sehingga akan membuat meja itu mudah pecah," kata Pengurus Perniagaan bagi perabot-perabot dapur di IKEA Sweden.
"Keselamatan para pelanggan paling diutamakan di IKEA. Itu sebabnya kami menarik balik meja-meja yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga."
Para pelanggan boleh menghubungi pusat pelanggan Ikea di talian +65 6786 6868 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Penarikan terakhir IKEA adalah pada September lalu di mana ia mendapat aduan tentang pelindung kaca lampu terjatuh dari lampu siling Calypso.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.