Skip to main content

Singapura

IKEA S'pura beri cuti tambahan supaya pekerja M'sia pulang undi

Cawangan gergasi perabot Sweden, IKEA, di Singapura hari ini (12 Apr) menyatakan ia akan memberi tambahan satu hari cuti berbayar kepada kakitangan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air mereka dan mengundi.

Anggaran Waktu Membaca:
IKEA S'pura beri cuti tambahan supaya pekerja M'sia pulang undi

IKEA. (Gambar: SAUL LOEB / AFP)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 04:06PM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 04:08PM

SINGAPURA: Cawangan gergasi perabot Sweden, IKEA, di Singapura hari ini (12 Apr) menyatakan ia akan memberi tambahan satu hari cuti berbayar kepada kakitangan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air mereka dan mengundi.

Pilihan raya umum ke-14 Malaysia akan diadakan pada Rabu (9 Mei), yang sudah diisytiharkan sebagai cuti umum di negara itu.

"Kami memandang serius tanggungjawab sosial kami dan mahu membolehkan rakan-rakan sekerja kami menjalankan tanggungjawab mereka juga," kata Pengurus Manfaat dan Pengambilan Pekerja IKEA Asia Tenggara, Aldys Kong.

"Ini akan memberi sedikit kemudahan untuk mereka melaksanakan hak mengundi dalam pilihan raya Malaysia. Sesiapa yang memerlukan cuti lebih daripada sehari boleh membuat permohonan cuti tahunan."

Di IKEA Singapura, terdapat 80 kakitangan rakyat Malaysia. Dianggarkan ada sekitar 400,000 pekerja Malaysia di Singapura.

Syarikat pengendali bas Go-Ahead Singapore juga berkata ia akan "menyokong" para pemandu rakyat Malaysia, "sekiranya keperluan operasi sudah dipenuhi".

"Jadual syif kami dirancang supaya kebanyakan pekerja mempunyai masa mencukupi untuk pulang ke rumah dan mengundi sebelum atau sesudah syif," menurut seorang jurucakap syarikat. "Apabila perlu, kami akan membantu menyusun jadual yang sesuai."

Sebahagian lagi firma Singapura yang menggajikan pekerja rakyat Malaysia pula enggan memberikan komen, merujuk kepada dasar syarikat.

Laporan berita pada Selasa (10 Apr) tentang hari mengundi yang bakal diadakan pada hari biasa, pertama kali dalam tempoh 20 tahun, menyaksikan rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan online untuk membantu rakan senegeri yang mahu pulang mengundi.

Mediacorp menghubungi 10 rakyat Malaysia yang bertugas di Singapura, yang semuanya sudah merancang untuk pulang mengundi.

Semua 10 individu itu menyifatkan tarikh mengundi tersebut sebagai "menyusahkan" bagi rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Kalimantan Indonesia, yang tidak boleh mengundi menerusi pos atau di kedutaan. Mereka mesti pulang ke Malaysia untuk mengundi.

Penduduk Johor Bahru, Janice Chian berkata lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh di daerah utara, yang memerlukan masa lebih panjang untuk pulang.

"Saya rasa saya bertuah kerana saya hanya perlu mengharungi kesesakan (di koswe) dan majikan saya juga memberikan sokongan," kata wanita berusia 28 tahun itu.

Kesal dengan apa yang disifatkan sebagai tarikh mengundi "mencurigakan", Koay Yi Ling yang dilahirkan di Pulau Pinang berkata: "Ada desas-desus yang menyatakan mereka mungkin menetapkan tarikh pilihan raya selepas Qing Ming, menyukarkan rakyat berbangsa Cina untuk pulang memandangkan mereka sudahpun pulang sebelum itu."

Upacara Qing Ming yang juga dikenali sebagai Hari Membersihkan Tanah Perkuburan jatuh pada 5 April.

"LAKSANAKAN HAK ANDA"

Penolong penguam Lee Ji En memuji majikan beliau kerana membenarkan beliau pulang ke daerah Segambut, Kuala Lumpur, walaupun "jadual mahkamah agak padat".

"Apabila ditanya sama ada kami boleh pulang, majikan saya berkata, 'Apa yang boleh saya buat? Halang awak? Awak mesti pulang'," kata Encik Lee, 24 tahun.

Memberikan komen tentang tarikh 9 Mei yang ditetapkan sebagai hari mengundi dan sama ada ia mungkin menyulitkan rakyat Malaysia untuk mengundi, beliau menambah: "Apa pun bentuk pengurangan jumlah rakyat yang mengundi adalah teruk dari segi demokrasi kerana ia mengurangkan kewibawaan keputusan pilihan raya."

Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, bakal bertanding sebagai ahli politik pembangkang.

Pengerusi Pakatan Harapan berusia 92 tahun itu akan bersaing dengan bekas anak didiknya, Perdana Menteri Najib Razak dari Barisan Nasional (BN).

BN sedang berusaha untuk menebus dua pertiga "supermajoriti" parlimen yang ia hilang buat pertama kalinya pada 2008.

Pada pilihan raya tahun 2013, ia memperoleh majoriti "mudah", 133 daripada 222 kerusi namun hilang undi popular buat kali pertama.

Kali ini, peluang untuk mengundi dalam pilihan raya yang 'menarik' membuatkan sebahagian rakyat Malaysia yang berpangkalan di Singapura saling menggesa antara satu sama lain supaya pulang dan melaksanakan hak mengundi mereka.

"Ini adalah masa genting untuk rakyat Malaysia laksanakan hak sebagai rakyat negara ini," kata Alyssa Lim, 26 tahun, yang berasal dari Klang, Selangor. "Setiap undi penting!" 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita