Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IKEA lanjutkan langkah tarik balik cermin LETTAN untuk dibaiki kerana risiko pecahkan kelengkapan dinding

Anggaran Waktu Membaca:
IKEA lanjutkan langkah tarik balik cermin LETTAN untuk dibaiki kerana risiko pecahkan kelengkapan dinding

Cermin LETTAN (Gambar: IKEA)

Diterbitkan : 13 Sep 2023 11:36PM Dikemas Kini : 14 Sep 2023 04:00PM
SINGAPURA: Syarikat perabot dari Sweden IKEA pada Rabu (13 Sep) mengarahkan pelanjutan langkah menarik balik cermin LETTAN disebabkan risiko memecahkan kelengkapan dinding.

IKEA mengeluarkan arahan untuk menarik balik produk untuk dibaiki itu pada Januari lalu atas sebab yang sama, yang menyebabkan sebilangan cermin jatuh.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, IKEA menjelaskan bahawa keputusan untuk melanjutkan langkah menarik balik produk itu untuk dibaiki adalah sebagai "langkah berjaga-jaga".

Ini selepas mendapati kelengkapan dinding yang rosak digunakan dalam pengeluaran, untuk tempoh lebih lama daripada apa yang diketahui sebelum ini.

Arahan menarik balik produk untuk dibaiki, sebelum ini diberikan kepada cermin LETTAN yang mempunyai cap tarikh sebelum dan termasuk 2105 YYWW (year/week atau tahun/minggu).

Syarikat itu kini melanjutkan arahan menarik balik cermin LETTAN yang mempunyai nombor pembekal 21944 dan cap tarikh sebelum dan termasuk 2325 YYWW (year/week atau tahun/minggu).

Cap tarikh dan nombor pembekal boleh didapati pada label di bahagian belakang cermin itu.

Menjawab soalan Mediacorp, IKEA menyatakan bahawa tiada insiden kelengkapan dinding yang pecah dilaporkan di Singapura.

Syarikat itu juga menggesa pelanggan yang mempunyai cermin LETTAN yang terjejas supaya berhenti menggunakan produk itu dan membuat pesanan untuk menggantikan kelengkapan dinding secara percuma.

Pelanggan boleh melayari laman web IKEA atau hubungi 6786 6868 untuk membuat pesanan bagi jumlah kelengkapan dinding yang perlu diganti dengan nombor barangan 139298/1

"IKEA memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin berlaku atas arahan menarik balik ini," menurut syarikat itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan