Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ikatan persahabatan Johor, S'pura terus kukuhkan kepentingan rakyat, kata Sultan Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Ikatan persahabatan Johor, S'pura terus kukuhkan kepentingan rakyat, kata Sultan Johor

(Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook)

SINGAPURA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkata lawatan rasmi beliau ke Singapura, yang bermula pada Rabu (20 Jul), bukan sahaja akan terus mengukuhkan hubungan Johor dan Singapura malah membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

“Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” kata Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkata demikian semasa majlis jamuan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baeliau ke Singapura.

Berangkat sama mengiringi beliau ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir sama ialah isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Dr. Azmi Rohani.

Sultan Ibrahim juga meluahkan rasa berbesar hati atas undangan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura dan menghargai kepimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan serta memakmurkan negara itu.

“Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek memberi manfaat kepada Johor, terutama dalam pembangunan sosioekonominya. Saya mendoakan kesihatan baik buat Encik Lee dan kemakmuran serta kesejahteraan Singapura,” titah Sultan Johor.

Sementara itu, PM Lee dalam ucapannya menghargai persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama serta turut bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama.

“Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” katanya.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan