Skip to main content

Singapura

Identiti tengkorak manusia di bawah jambatan Kallang Bahru masih tidak diketahui: Koroner

Lebih setahun selepas tengkorak manusia ditemui di bawah sebuah jambatan di Kallang Bahru, identiti individu berkenaan masih tidak diketahui.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih setahun selepas tengkorak manusia ditemui di bawah sebuah jambatan di Kallang Bahru, identiti individu berkenaan masih tidak diketahui.

Ini walaupun siasatan menyeluruh sudah dijalankan dan rujukan dibuat kepada 18 kes individu dilaporkan hilang, yang tidak dapat diselesaikan.

Dalam satu dapatan yang didedahkan hari ini (12 Jan), Koroner Negara Adam Nakhoda mengisytiharkan keputusan terbuka ke atas kes itu.

Identiti individu bagi tengkorak itu dan punca kematian kekal tidak diketahui.

Bukti yang diperolehi semasa siasatan mencadangkan bahawa mendiang merupakan seorang lelaki dewasa yang berusia antara 30an hingga 60an yang meninggal dunia sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun sebelum rangkanya ditemui pada 9 November 2020.

Pada awal November 2020, para pekerja sedang memasang perancah di bawah jambatan di 1 Kallang Place sebagai sebahagian daripada kontrak yang dianugerahkan oleh Penguasa Pengangkutan Awam (LTA).

Sekitar tengah hari pada 9 November 2020, seorang pekerja sedang memasang perancah di bawah jambatan itu apabila beliau ternampak tengkorak di ruang di bawah struktur itu. Beliau segera meminta bantuan dan LTA serta pihak polis dimaklumkan tidak lama kemudian.

Para pegawai polis di tempat kejadian memeriksa bahagian bawah jambatan itu lalu menemui sisa tulang manusia bertaburan di bahagian atas galang jambatan itu. Mereka turut menemui sehelai kemeja, pakaian dalam, tiga gumpalan rambut dan beberapa helai rambut berhampiran dengan rangka manusia itu.

Sebuah beg pakaian, beg berwarna coklat dan sebuah beg berjalur hitam dan putih ditemui di tebing sungai dekat dengan pintu masuk ke laluan yang sedang menjalani kerja-kerja binaan.

Dalam beg pakaian itu adalah sepasang seluar jeans, satu set pakaian dalam, tali pinggang dan sehelai stoking. Resit-resit yang sudah pudar turut ditemui dalam beg berjalur hitam dan putih itu namun tiada maklumat berguna berjaya diperolehi daripadanya.

Terdapat beberapa keping kertas yang tertera nombor telefon ditemui dalam beg-beg itu namun apabila polis menghubungi nombor-nombor berikut, mereka yang menjawab panggilan tidak dapat memberi sebarang maklumat yang berguna dalam siasatan itu.

Pakaian yang ditemui dalam beg-beg itu pula menghasilkan DNA yang tidak padan dengan DNA mendiang. Siasatan mendedahkan bahawa beg-beg itu milik seorang lelaki gelandangan yang akan tidur di bawah jambatan tersebut.

Polis dalam siasatan awal mereka tidak menemui sebarang bukti kecederaan akibat diserang dengan benda tumpul yang boleh mencadangkan terdapat perbuatan khianat ataupun mendiang merupakan mangsa sebarang jenayah sebelum kematiannya.

BEDAH SIASAT

Satu bedah siasat dijalankan terhadap mendiang sehari selepas rangkanya ditemui. Tiada sebarang organ yang tinggal mahupun kulit atau rambut. Ia "hanya tinggal tulang sahaja".

Demikian menurut dapatan ahli patologi forensik.

Tulang-temulangnya "terpisah sepenuhnya daripada satu sama lain" dan menunjukkan perubahan warna coklat, dengan beberapa ekor berenga kecil ditemui dalam tengkoraknya.

Ahli patologi forensik itu mendapati bahawa kematiannya mungkin berlaku sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun sebelum bedah siasat dijalankan dan tulang-temulang itu milik seorang lelaki dewasa dalam lingkungan usia 30an hingga 60an.

Dia "mungkin berketurunan Mongoloid", menurut ahli patologi tersebut, yang menggunakan terma dalam bidang antropologi untuk merujuk kepada kumpulan individu yang mempunyai keturunan orang Asia dan diklasifikasikan mengikut ciri-ciri fizikal mereka.

Seorang odontologis forensik memeriksa tengkoraknya dan mendapati bahawa sambungan otot yang tegap pada bahagian rahang bawah dan permukaan yang lain mencadangkan ia milik seorang lelaki.

Sampel DNA yang diambil daripada lelaki itu tidak sepadan dengan sebarang sampel dalam pangkalan data Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Semasa siasatan dijalankan, seorang lelaki dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Encik LBP tampil kerana beliau mengesyaki rangka manusia itu milik saudara lelakinya. Saudara lelakinya dilaporkan hilang pada 19 Ogos 1986.

Jambatan itu merupakan salah satu tempat yang pernah dikunjungi Encik LBP bersama saudara lelakinya dan ia terletak berhampiran dengan rumah lama mereka.

Namun, sampel DNA Encik LBP tidak padan dengan sampel DNA mendiang.

Polis kemudian meneliti 18 laporan individu hilang, yang tidak berjaya diselesaikan dari Jun 2019 hingga Jun 2020, melibatkan beberapa lelaki berusia antara 30 dengan 60 tahun.

Kebanyakannya disingkirkan, dengan empat yang mungkin sesuai.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita