Identiti penaja iklan online pilihan raya mesti didedahkan
Calon-calon pilihan raya yang mahu meletakkan Iklan Pilihan Raya di Internet (IEA), mesti mengisytiharkan jika iklan-iklan itu dibayar dan siapa yang menajanya.
SINGAPURA: Calon-calon pilihan raya yang mahu meletakkan Iklan Pilihan Raya di Internet (IEA), mesti mengisytiharkan jika iklan-iklan itu dibayar dan siapa yang menajanya.
Ini merupakan pindaan kepada undang-undang pengiklanan pilihan raya yang diumumkan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dan berkuat kuasa hari ini (8 Jun).
Pindaan itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawapan ke atas setiap IEA berbayar.
Sebelum ini, calon-calon perlu membuat pengisytiharan tentang semua wadah online yang mereka gunakan bagi menyiarkan IEA mereka.
Kini, mereka perlu menyertakan lebih banyak perincian.
Ini termasuklah sama ada IEA itu dibayar, jenis perkhidmatan yang digunakan, tempoh ia disiarkan serta sumber pendanaan bagi iklan itu.
Pihak yang menaja IEA tersebut perlu tertera dengan jelas - sama ada dibayar oleh calon itu sendiri, parti ataupun pihak ketiga.
Bagi memastikan kebertanggungjawapan pada setiap IEA berbayar, pihak yang bukan calon, parti atau pihak ketiga yang diluluskan, juga tidak dibenarkan untuk menyiarkannya.
Ini bermakna, hanya IEA yang tidak berbayar sahaja boleh disiarkan oleh pihak yang tidak diluluskan.
Di bawah pindaan ini, pecahan perbelanjaan untuk IEA berbayar perlu disertakan dengan jelas.
Semua IEA, berbayar ataupun tidak, akan tetap diharamkan pada Hari Mengundi.
Pindaan juga dibuat bagi bentuk-bentuk lain iklan pilihan raya seperti kain rentang dan sepanduk di mana simbol-simbol yang dikhususkan mesti dipamerkan dan had saiz mesti dipatuhi.
Jika peraturan tidak dipatuhi, calon perlu membayar S$50 bagi setiap sepanduk atau kain rentang yang perlu diturunkan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.