Identiti masyarakat Melayu SG rencam, tidak statik: Dr Yaacob
Identiti masyarakat Melayu Singapura rencam dan sentiasa berubah mengikut konteks dan situasi semasa.
BERITAmediacorp: Identiti masyarakat Melayu Singapura rencam dan sentiasa berubah mengikut konteks dan situasi semasa.
Lantaran itulah, generasi muda perlu mengenali asal usul mereka agar turut dapat meningkatkan naratif identiti tersendiri.
Mantan anggota politik Dr Yaacob Ibrahim berkata demikian dalam Siri Ceramah Lestari yang dianjurkan buat pertama kali oleh Yayasan Warisan Melayu pada 30 Oktober.

APA YANG MEMBENTUK IDENTITI MELAYU SG?
Membentangkan ucapannya yang berjudul “Melayu dalam Imaginasi Kebangsaan: Cabaran bagi Identiti Kami", mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkongsi pengamatannya tentang apa yang membentuk identiti masyarakat Melayu Singapura.
Sama seperti kaum-kaum lain di negara ini, masyarakat Melayu kata Dr Yaacob juga mempunyai beberapa identiti yang boleh mendefinisikan diri mereka dan cirinya pelbagai.
Sebagai contoh, seseorang itu boleh ditakrifkan sebagai seorang Melayu/Muslim,anggota masyarakat Nusantara yang bertutur dalam bahasa Melayu atau dari segi mewarisi tradisi budaya.
Naratif identiti Melayu menurut Dr Yaacob, akan sentiasa berubah-ubah mengikut konteks dan keadaan, namun pada masa yang sama masyarakat Melayu menurutnya tidak boleh mengetepikan sejarah yang membentuk jati diri mereka.
ORANG MELAYU BUKAN PENDATANG KE S'PURA
Beliau menarik perhatian bagaimana masyarakat Melayu bukan ‘warga pendatang’ ke negara ini.
Rekod sejarah dari dulu lagi menunjukkan kaum wanita dan lelaki sering meneroka bahagian Nusantara bagi mencari pekerjaan.
Natijahnya, orang Minang, Jawa, Bugis dan Bawaen, sudah lama wujud di rantau ini yang menjadikan entiti 'Melayu' Singapura lebih rencam dan rumit, jelas Dr Yaacob.
"Jadi di sini saya rasa tumpuan perlu diberikan kepada keperibadian masyarakat kita, apakah peribadi yang ingin kita wujudkan, Apakah personaliti Melayu yang kita bincangkan," kata Dr Yaacob.
"Pada masa yang sama memang ada soal pencapaian, mewujudkan saintis dan sebagainya saya rasa itu bukan satu yang sukar, tapi dari segi kita sebagai satu masyarakat, keperibadian kita sebagai masyarakat.
"Bukan dari segi akademik sahaja tapi dari segi media massa dan sebagainya untuk sama-sama berfikir apakah personaliti masyarakat. Bagi saya itu yang penting," tegas beliau.
PERSILANGAN IDENTITI TUNJUKKAN TIADA YANG LEBIH TINGGI DARI YANG LAIN
Tekannya lagi meskipun setiap etnik memiliki identiti tersendiri, harus ada sikap saling menerima dan memahami bahawa tidak ada etnik yang jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain.
"Walaupun kita tidak akan rasa daripada cabaran (sterotaip) itu, rasa sakit dan sebagainya, tapi dari segi emosinya ia adalah sesuatu yang mendalam.
"Dan apabila ini berlaku ia adalah sesuatu yang tidak baik dan bagaimana kita mengatasinya ia adalah satu cabaran bagi masyarakat kita," kongsi beliau dengan pihak kami.
Penceramah lain yang bakal ditampilkan dalam CLS ini termasuk mantan MUFTI Negara Dr Muhammad Fatris Bakaram, Profesor Syed Farid Alatas, dan Profesor Madya Hadijah Rahmat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.