Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Identiti dan kesetiaan kepada agama dan negara tidak perlu bercanggah: Mufti

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jurang yang kelihatan lebih meluas antara norma dan nilai agama dengan negara sekular liberal, menegaskan pentingnya usaha untuk merapatkan aspek kehidupan moden dengan agama.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata demikian dalam ucapannya di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada Jumaat (9 Sep).

Beliau menekankan, sekiranya jurang itu tidak dirapatkan, masyarakat akan mula menarik diri dan tidak mengambil bahagian sepenuhnya sebagai rakyat.

"Menarik diri bermakna kita hanya prihatin tentang melindungi agama kita sendiri, dan menuntut hak agama kita mesti dipenuhi pada setiap masa sebagai rakyat," jelas Dr Nazirudin.

Beliau menambah bahawa di dalam dunia yang berfungsi mengikut penjelasan dan alasan munasabah, agama tetap boleh diselaraskan dengan dunia moden.

"Jika kita mengamalkan pembacaan tradisi dan ajaran agama kita dengan teliti, kita mendapati bahawa aspek kehidupan moden ini bukanlah sesuatu yang dikecam agama kita," kata Dr Nazirudin di hadapan lebih 500 perwakilan dari dalam dan luar negara.

IDENTITI, KESETIAAN KEPADA AGAMA, NEGARA TIDAK PERLU BERCANGGAH

Lantaran itu, beliau berkata bahawa identiti dan kesetiaan kepada agama dan negara tidak perlu bercanggah.

"Di Singapura, kita boleh menjadi seorang Muslim yang baik, jiran yang baik dan rakyat Singapura yang baik. Inilah Identiti Muslim Singapura (SMI) kita yang unik," jelas Dr Nazirudin,

Dr Nazirudin malah menambah bahawa jangkaan untuk tidak perlu menyesuaikan diri atau berkompromi adalah "tidak munasabah dan tidak realistik".

Beliau malah menerangkan bahawa menyesuaikan diri dan sifat berkompromi dapat dilihat sejak zaman Nabi Muhammad saw.

"Baginda meminta para sahabatnya untuk berpindah ke Habsyah pada waktu awal Islam untuk mendapatkan kehidupan yang aman dan selamat di bahawa jagaan raja Kristian, Negus. Ada di antara mereka yang kemudian menganggap Habsyah sebagai rumah mereka dan tidak meninggalkan tempat itu, meskipun selepas kaum Muslim mula tinggal di Madinah di bawah pimpinan Baginda."

"Dengan cara yang sama, Baginda membuat perundingan untuk perjalanan selamat kaum Muslim ke Makkah di Hudaibiyah dengan membuat beberapa kompromi dan Baginda mempertimbangkan perspektif kaum bukan Muslim mengenai syarat perundingan tersebut.

Dalam hal itu, Dr Nazirudin berkata bahawa kepercayaan kepada agama akan menjadi lebih bermakna apabila seseorang itu perlu membuat pilihan, menyesuaikan diri atau membuat perundingan di dalam keadaan yang sulit.

"Ingatlah, jika ia lebih tidak selesa dan lebih mencabar, ganjarannya akan lebih besar," nasihat Dr Nazirudin.

Beliau menambah: "Bagaimana kita mencapai huraian kepada isu-isu tegang ini, bagaimana kita mendamaikan perbezaan dan mencorak perjalanan bersama, itulah yang akan menentukan jika kita boleh menuju ke arah membina masyarakat yang berjaya."

Menurut Dr Nazirudin, contoh-contoh Nabi selaras dengan bagaimana Al-Quran menetapkan hubungan bersama dan simbiotik antara masyarakat dengan negara.

"Kejayaan bergantung kepada tahap keyakinan, kepercayaan dan sokongan antara kedua-duanya. Apabila negara menawarkan rakyatnya dengan ruang yang selamat untuk hidup dan mengamalkan kepercayaan mereka, kita perlu berbuat baik dan bertindak dengan penuh hormat dan adil," kata beliau.

Menyampaikan ucapannya kepada para perwakilan luar negara, Dr Nazirudin mengatakan bahawa pengalaman mereka mungkin berlainan.

Namun beliau berkata bahawa masyarakat beragama di Singapura adalah sebahagian besar masyarakat di sini meskipun pemerintah dan institusi awam Singapura bersifat sekular.

"Masyarakat beragama bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka, termasuk di tempat awam, asalkan kebaikan bersama Singapura tidak terjejas dan tidak dipolitikkan," kata Dr Nazirudin.

"Setiap masyarakat, meskipun yang ingin menegakkan kehendak mereka, meletakkan kebaikan bersama masyarakat sebagai aspek utama. Inilah keadaan yang rumit, dan ia memerlukan setiap orang memainkan peranan mereka dengan bijak," tambah beliau.

PENDIDIKAN DAN BIMBINGAN AGAMA MESTI BERUPAYA MEMPERKASAKAN

Dr Nazirudin berkata bahawa pendidikan dan bimbinngan agama yang memperkasakan umat Islam memberikan masyarakat keyakinan bahawa mereka boleh maju di negara ini dan menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara.

"Namun, kita hanya boleh mencapai detik ini dengan yakin dan penuh berdaya saing dalam melibatkan diri dengan konteks unik kami. Ini bukan sahaja untuk pemimpin atau para asatizah, tetapi khususnya untuk masyarakat," kata Dr Nazirudin.

Beliau menambah bahawa ia adalah tanggungjawab para pemimpin dan cendekiawan agama untuk melakarkan prinsip dan nilai yang akan membantu masyarakat membuat keputusan apabila menghadapi cabaran mereka tersendiri.

"Beginilah institusi fatwa kita beroperasi sekarang ini, di mana kita cuba menjauhkan diri daripada dengan senang-wenang berkata bahawa sesuatu perkara itu halal atau haram. Sebaliknya, kita akan meminta untuk mempertimbangkan dan amalkan kepada situasi anda," jelas Dr Nazirudin.

Menurut Dr Nazirudin, akan ada lebih banyak cabaran rumit dalam masa akan datang, dan usaha untuk mencapai kejayaan tidak boleh dilengahkan lagi.

"Dunia sudah memasuki fasa baru dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang sangat teruk yang mampu untuk merobek perpaduan sosial. Sebagaimana masyarakat beragama lain, saya percaya bahawa Islam juga memainkan peranan penting pada saat ini."

"Ia memerlukan kita sebagai orang Muslim untuk mempunyai keberanian dan kejujuran bercakap tentang kekuatan, kelemahan serta jurang yang kita hadapi," kata Dr Nazirudin.

Hanya dengan mencapai tahap tersebut, kata Dr Nazirudin, masyarakat berupaya mencapai kejayaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan