Identiti 2 lelaki dirakam merokok, guna vape dalam kereta kabel Sentosa dikenal pasti

(Gambar: Fabrications about Singapore/Facebook)
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sudah mengenal pasti dua individu yang baru-baru ini dirakam menghisap alat pengewap atau vape dan merokok di dalam kereta kabel Sentosa dan menjumpai lebih banyak peralatan vape ditemui di rumah mereka.
Pada mulanya disangka remaja, kedua-dua lelaki berusia 24 tahun kini sedang membantu siasatan lanjut, menurut HSA pada Jumaat (24 Mac).
Selepas dimaklumkan tentang video yang dimuat naik ke TikTok pada Ahad (18 Mac), HSA menyatakan pihaknya menjalankan pemeriksaan pada Selasa (21 Mac) di rumah lelaki yang dilihat sedang menggunakan vape dalam video itu dan juga lelaki yang merakam insiden tersebut.
Sebanyak 11 vape dan 16 komponen berkaitan vape ditemui di rumah mereka.
Pengendali kereta kabel Mount Faber Leisure Group menyatakan pada awal minggu ini bahawa aduan polis sudah dibuat berhubung insiden tersebut.
Rakaman video tersebut dimuat naik ke TikTok oleh pengguna shu2899 yang kini sudah menukar akaunnya kepada tetapan privet. Video tersebut kemudian dikongsi oleh pengguna lain di media sosial.
HSA menyatakan bahawa ia memandang serius terhadap pemilikan dan penggunaan vape dan barangan berkaitan yang diharamkan di Singapura.
"Kedua-dua lelaki itu sudah melanggar undang-undang secara terang-terangan dengan menggunakan vape dan menunjukkan kesalahan mereka melalui sebuah video di TikTok," menurut HSA.
Penggunaan vape diharamkan di Singapura.
Membeli atau memiliki vape booleh dikenakan denda sehingga S$2,000 bagi setiap kesalahan.
Ia juga merupakan satu kesalahan untuk mengimport, menjual atau mengedarkan produk tersebut di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan). Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.
Kesalahan seterusnya membawa denda sehingga S$20,000, hukuman penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.