ICA sahkan Gotabaya Rajapaksa sudah tinggalkan S'pura
Gotabaya Rajapaksa pada 1 Nov 2021. (Gambar: AFP/Pool/Andy Buchanan)
SINGAPURA: Mantan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa meninggalkan Singapura pada Khamis (11 Ogos) setelah memasuki negara ini sekitar sebulan lalu menggunakan pas lawatan jangka pendek.
"Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesahkan bahawa Encik Gotabaya Rajapaksa sudah meninggalkan Singapura pada 11 Ogos 2022," menurut agensi tersebut semasa menjawab pertanyaan media.
Pas lawatan jangka pendek Encik Rajapaksa tamat tempoh pada Khamis (11 Ogos).
Beliau pada awalnya diberikan pas lawatan selama 14 hari apabila tiba di Singapura pada 14 Julai. Ia kemudian dilanjutkan bagi tempoh selama 14 hari lagi sehingga 11 Ogos.
Encik Rajapaksa yang melarikan diri dari Sri Lanka di tengah-tengah tunjuk perasaan besar-besaran terhadap krisis ekonomi di negara tersebut dijangka akan tiba di Thailand pada Khamis (11 Ogos).
Pihak berkuasa Thailand menyatakan bahawa Encik Rajapaksa tidak berniat untuk mendapatkan suaka politik dan hanya akan berada di negara itu buat sementara waktu saja.
"Ini adalah isu kemanusiaan dan terdapat perjanjian bahawa ia adalah lawatan sementara," kata Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha kepada para wartawan pada Rabu (10 Ogos).
Menurut Menteri Luar Don Pramudwinai, pemerintah yang mentadbir Sri Lanka sekarang ini menyokong lawatan Encik Rajapaksa ke Thailand dan beliau turut mendedahkan bahawa pasport diplomatik mantan presiden itu membenarkannya untuk berada di Thailand selama 90 hari.
Beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi Encik Rajapaksa pada bulan lalu setelah negara itu mengalami masalah kekurangan makanan, minyak dan ubat-ubatan. Bantahan besar-besaran itu mendorong Encik Rajapaksa untuk melarikan diri ke Maldives dan kemudian ke Singapura di mana beliau mengumumkan peletakan jawatannya.
Para pengkritik dan penunjuk perasaan juga menuduh Encik Rajapaksa dan keluarganya salah menguruskan ekonomi sepanjang penggalnya sebagai presiden, sekali gus mencetuskan krisis kewangan paling dahsyat di Sri Lanka sejak negara itu merdeka dari penjajahan British pada 1948.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.