Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA pertimbang langkah keselamatan tambahan selepas pegawainya cedera parah dalam kemalangan Pusat Pemeriksaan Tuas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah-langkah keselamatan tambahan di Pusat Pemeriksaan Tuas sedang dipertimbangkan menyusuli insiden bulan lalu di mana seorang pegawai polis tambahan cedera parah disebabkan oleh seorang pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk. 

Langkah-langkah itu termasuk memindahkan pondok pengawasan pusat pemeriksaan lebih jauh daripada lorong kenderaan, dedah Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam jawapan bertulisnya pada Jumaat (21 Apr).

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP Dennis Tan (WP-Hougang) mengenai sama ada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan menyemak semula operasi dan reka bentuk tempat masuk ke pusat pemeriksaan menyusuli insiden tersebut. 

Seorang pemandu berusia 42 tahun diberkas setelah melanggar seorang pegawai polis tambahan Certis pada 24 Mac sehingga beliau cedera parah. 

Siasatan menunjukkan bahawa lelaki itu dipercayai memandu pada kelajuan yang tinggi dalam keadaan mabuk di jejambat menghala ke Pusat Pemeriksaan Tuas. 

Menurut Encik Shanmugam, lelaki itu disyaki hilang kawalan keretanya lalu melanggar kawasan pondok pengawasan, merempuh penghadang, tiang konkrit dan pegawai polis tambahan yang sedang bertugas ketika itu. 

Pondok pengawasan adalah tempat di mana pegawai polis tambahan menjalankan langkah-langkah keselamatan pencegahan seperti menghalang kenderaan-kenderaan yang tidak diluluskan daripada keluar masuk pusat pemeriksaan.

LANGKAH KESELAMATAN SEDIA ADA

Encik Shanmugam turut menarik perhatian, terdapat langkah-langkah keselamatan pencegahan sedia ada ke tempat masuk pusat-pusat pemeriksaan darat, termasuk bonggol untuk mengelak pemandu daripada memecut serta tanda-tanda untuk mengingatkan para pengguna jalan raya mengenai had kelajuan dan menjaga disiplin ketika memandu di lorong masing-masing. 

Para pegawai yang menjalankan tugas kawalan trafik juga dikerahkan secara berpasangan dan dikehendaki memakai jaket keselamatan. Mereka juga dikehendaki menggunakan tongkat trafik dan lampu berkelip agar pemandu dapat melihat mereka, menurut Encik Shanmugam. 

"ICA turut memastikan terdapat lampu yang mencukupi di jalan raya dan kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa saja yang melanggar undang-undang trafik," tambah Encik Shanmugam.

Pada waktu insiden itu, pegawai polis tambahan itu jaket keselamatan yang memantulkan cahaya dan lampu berkelip, kata menteri tersebut. Pegawai yang masih cedera parah dan dalam keadaan tidak sedar itu cedera parah pada bahagian kepala manakala pemandu itu mengalami luka melecet.

ICA dan Certis CISCO sudahpun berhubungan dengan keluarganya dan akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan, ujar Encik Shanmugam. 

"Kami sedang menimbangkan langkah-langkah tambahan, termasuk jika pondok pengawasan boleh dipindahkan lebih jauh lagi daripada lorong kenderaan dan sama ada lebih banyak penghadang perlu dipasang." 

Encik Shanmugam turut menekankan pengguna jalan raya harus memainkan peranan mereka untuk menjaga keselamatan jalan raya demi keselamatan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Mereka harus mematuhi peraturan trafik dan arahan yang diberikan oleh para pegawai dan tidak seharusnya memandu dalam keadaan mabuk. 

Siasatan ke atas insiden itu sedang dijalankan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan