ICA perkenal ciri baharu tukar alamat secara berkumpulan menerusi online
Mulai 15 Ogos, para individu yang melaporkan alamat baharu menerusi khidmat pertukaran alamat elektronik Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) boleh menyertakan sehingga empat individu lain yang berpindah ke alamat yang sama.
Bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). (Gambar fail: ICA)
Ciri baharu itu diumumkan oleh pihak berkuasa dalam satu kenyataan media pada Isnin (4 Ogos), menyusuli penemuan percubaan menukar alamat tanpa izin menerusi khidmat elektronik ICA pada Januari lalu.
Fungsi baharu berkumpulan itu membenarkan pemohon utama untuk membuat pertukaran alamat untuk dirinya dan sehingga empat individu tambahan yang berkongsi alamat yang sama, dengan izin mereka.
Permohonan hanya boleh dibuat jika pemohon utama juga menukar alamat mereka.
Rakyat Singapura, penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang ICA termasuk mereka yang menetap di luar negara, boleh menggunakan ciri baharu itu, menurut ICA.
Ciri baharu itu "lebih selamat berbanding pilihan 'diri saya dan ahli keluarga saya' dan 'lain-lain' yang digunakan sebelum ini," menurut ICA.
Kedua-dua pilihan itu sudah digantung sejak Januari lalu selepas ICA mengesan beberapa pertukaran alamat tanpa izin.
Pada Februari lalu, Cik Sun Xueling yang merupakan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri pada ketika itu berkata ICA membongkar 99 percubaan tanpa izin untuk menukar alamat berdaftar menerusi khidmat onlinenya, dan 71 pertukaran berjaya dilaksanakan.
Daripada 71 percubaan pertukaran alamat yang berjaya, para pelaku mengambil alih 16 akaun Singpass dengan menetapkan semula kata laluan akaun tersebut dan meminta supaya kata laluan baharu itu dipos ke alamat baharu.
Pilihan 'diri saya' - bagi individu - juga digantung namun disambung semula pada 14 Januari selepas langkah keselamatan tambahan ditetapkan.
Para individu kini perlu melakukan pengesahan wajah melalui Singpass untuk melog masuk.
Untuk menggunakan ciri baharu itu, pemohon utama harus melog masuk ke dalam khidmat pertukaran alamat ICA menggunakan akaun Singpass dan melakukan pengesahan wajah.
Kemudian, mereka boleh menambah sehingga empat individu dan menukar kesemua alamat kepada alamat yang baharu dalam satu permohonan.
Selepas itu, setiap pemohon tambahan akan menerima mesej SMS di mana mereka perlu memberikan izin kepada pertukaran alamat tersebut dengan melog masuk ke dalam akaun Singpass mereka dalam tempoh lima hari.
Pemohon utama boleh memantau status keizinan itu pada papan pemuka khidmat elektronik tersebut.
Selepas itu, pemohon utama akan menerima surat yang mengandungi nombor PIN yang dihantarkan ke alamat baharu.
Setelah pengesahan PIN berjaya dilakukan menerusi perkhidmatan elektronik, pelekat dengan alamat baharu akan dikirim ke alamat tersebut kepada semua pemohon yang sudah memberikan izin.
"Pemohon kemudian perlu mengikut arahan dan menampal pelekat itu pada kad pengenalan mereka," menurut ICA.
"Pemohon tambahan yang tidak memberi keizinan kepada pertukaran alamat itu dalam tempoh lima hari tidak akan ditukar alamat mereka dalam pangkalan data ICA dan mereka tidak akan diberikan pelekat," menurut ICA.
Para individu yang boleh membuat permohonan menukar alamat secara online boleh membuat permohonan kepada ICA menerusi FormSG.
Mereka juga boleh mendapatkan bantuan di pusat-pusat ServiceSG atau Pusat Khidmat ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.