Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA patahkan percubaan seludup ular sawa di Pusat Pemeriksaan Tuas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua ekor ular sawa dirampas di Pusat Pemeriksaan Tuas pada Khamis (7 Apr) selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjalankan pemeriksaan ke atas lori berdaftar Malaysia yang membawa masuk simen. 

Ular yang dikenal pasti jenis ular sawa batik (Reticulated Pythons), ditemui dalam kotak styrofoam,  menurut ICA dan Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu (9 Apr). 

"Kotak styrofoam yang disembunyikan di bahagian tempat duduk pemandu lori itu didapati mempunyai beberapa tebukan di tepinya," menurut agensi-agensi tersebut. 

"Pemandu Malaysia itu pada awalnya mendakwa kotak tersebut mengandungi makanan. Namun, setelah disoal lanjut, dia mengaku ia mengandungi ular hidup."

Pemandu tersebut tidak mempunyai permit import yang sah dan dirujuk kepada NParks untuk siasatan, menurut pihak berkuasa tersebut. 

Ular-ular itu panjangnya kira-kira 4.8 meter dan 3.8 meter. 

Ular sawa batik merupakan jenis yang dilindungi di bawah Lampiran Dua Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Flora dan Fauna Terancam (CITES). 

Menurut CITES, Lampiran Dua itu menyenaraikan spesis yang tidak semestinya di bawah ancaman pupus sekarang tetapi boleh terancam melainkan perdagangan dikawal dengan ketat. 

"Perdagangan haram haiwan liar mengancam biodiversiti dan mengganggu ekosistem di merata dunia, serta boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius kerana ia mengelak kawalan biokeselamatan dan kebersihan," menurut ICA dan NParks. 

"Keadaan buruk dan cara haiwan-haiwan ini diseludup boleh menyebabkan ia menderita dan mati. 

"Justeru, NParks mengawal ketat import haiwan untuk mencegah  penyakit eksotik daripada dibawa masuk ke Singapura, melindungi kesihatan dan kesejahteraan haiwan serta menangani perdagangan haram hidupan liar." 

Di bawah Akta Spesis Terancam (Import dan Eksport), membawa masuk spesis haiwan yang tersenarai tanpa permit merupakan kesalahan yang membawa hukuman denda maksimum S$50,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. 

ICA dan NParks mengingatkan pelawat agar tidak membawa masuk haiwan hidup, termasuk burung dan serangga, ke Singapura tanpa permit yang sah. 

"Orang ramai boleh merujuk kepada laman web NParks untuk maklumat lebih lanjut tentang membawa pulang haiwan dari luar negara," menurut ICA dan NParks lagi. 

"Mereka juga boleh membantu dengan tidak membeli haiwan liar dan membelanya sebagai haiwan peliharaan."

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang perdagangan haram hidupan liar boleh melaporkannya kepada NParks di 1800 476 1600. 

Maklumat yang diberikan adalah rahsia, menurut pihak penguasa. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan