Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA kesan 99 percubaan tukar alamat tanpa izin secara online; 71 lolos

Anggaran Waktu Membaca:
ICA kesan 99 percubaan tukar alamat tanpa izin secara online; 71 lolos

Bangunan ICA (Gambar fail: ICA)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 06:47PM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 01:02AM
SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesan 99 percubaan tanpa izin untuk menukar alamat kediaman berdaftar melalui khidmat onlinenya, dengan 71 berjaya berbuat demikian.

Kemas kini itu diberikan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling pada Selasa (4 Feb) sebagai respons kepada pelbagai pertanyaan di Parlimen mengenai insiden sedemikian.

ICA pada mulanya mendedahkan pada 11 Jan bahawa ia telah menggantung khidmat menukar alamat secara online selepas mengesan 80 percubaan tanpa izin untuk berbuat demikian oleh pelaku yang mengeksploitasi akaun Singpass yang dicuri atau diperolehi secara haram. Sebanyak 75 peratus daripada percubaan itu berjaya berbuat demikian.

Dalam kemas kini pada 14 Jan, jumlah percubaan tanpa izin meningkat kepada 87. Daripada jumlah itu, 69 berjaya melakukan demikian.

Percubaan seumpama itu telah dilakukan melalui pilihan "others" - yang membenarkan pertukaran alamat seseorang oleh wakilnya - tersedia pada khidmat online ICA.

Memberikan kemas kini terkini pada Selasa (4 Feb), Cik Sun berkata bahawa ICA telah menyemak semua permohonan yang dilakukan melalui modul "others" sejak khidmat online ditawarkan pada Oktober 2020.

Ia telah "memastikan bahawa perubahan tanpa izin itu berlaku hanya dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, dari Ogos 2024 dan selepas itu".

Untuk mengurangkan kesan terhadap mereka yang terjejas, ICA telah menghubungi kesemua 99 individu untuk mengesahkan dan memulihkan alamat yang betul mereka, serta membantu mereka menggantikan kad pengenalan mereka, kata Cik Sun.

Akaun Singpass untuk kesemua 99 individu itu juga telah digantung bagi mencegah aktiviti tidak dibenarkan selanjutnya, dengan ICA membantu individu-individu itu menetapkan semula dan memastikan akaun mereka selamat.

Bagi 71 mangsa yang alamat mereka ditukar secara haram, ICA bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah yang lain untuk "menilai secara menyeluruh kesannya", terutama mereka yang alamat berdaftarnya telah digunakan oleh agensi lain untuk mentadbir skim mereka sejak penipuan bermula.

Pemeriksaan itu sedang dijalankan, kata Cik Sun.

"Agensi-agensi akan memberikan bantuan dan pemulihan yang sewajarnya jika terdapat sebarang kesan buruk terhadap pengiraan atau pengagihan faedah pemerintah, termasuk Baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat), kepada individu ini," menurut Cik Sun.

Daripada 71 perubahan tanpa izin yang berjaya, pelakunya terus mengambil alih 16 akaun Singpass dengan melakukan penetapan semula kata laluan dan meminta kata laluan baharu dihantar ke alamat baharu.

Cik Sun berkata Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan entiti swasta untuk menghentikan atau membatalkan sebarang aktiviti penipuan yang berpunca daripada 16 akaun Singpass yang terjejas ini.

"Sekiranya terdapat kerugian kewangan yang timbul daripada akaun Singpass yang terjejas, polis akan bekerjasama dengan agensi dan institusi kewangan untuk memulihkan keadaan selagi mungkin," katanya.

Khidmat online ICA disambung semula sebahagiannya sejak 14 Jan selepas langkah-langkah keselamatan tambahan bagi pengecaman wajah diperkenalkan bagi mereka yang ingin menukar alamat kediaman mereka sendiri.

Dua pilihan lain untuk menukar alamat melalui modul "others" dan "myself and my family" akan terus digantung sehingga perlindungan tambahan boleh dilaksanakan, kata Cik Sun.

Tiga belas suspek telah ditahan setakat ini berhubung kes itu, dengan empat lelaki didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer 1993.

Bagi kesalahan itu, hukuman bagi pesalah kali pertama ialah hukuman penjara selama tiga tahun, denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menjawab soalan Anggota Parlimen Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) sama ada ICA boleh bertindak lebih awal dalam menggantung khidmat onlinenya, Cik Sun berkata bahawa semakan sedang dijalankan.

Beliau berkata ICA memulakan siasatannya pada September 2024 selepas menerima beberapa aduan mengenai pertukaran alamat tanpa izin.

“Pada mulanya, kes itu kelihatan tidak berkaitan. Masa diperlukan untuk menyiasat maklumat daripada pelbagai laporan yang dibuat,” katanya.

ICA juga sedang mengkaji aspek teknikal untuk meningkatkan keselamatan khidmat onlinenya. Berikutan penilaian dalaman, ia memutuskan untuk menggantung khidmat online tersebut pada 11 Jan.

"Jika dilihat semula, ICA mungkin mengambil langkah untuk menghentikan khidmat itu lebih awal pada Disember 2024 apabila modus operandi itu dikesan, tetapi ini adalah pemeriksaan yang perlu dijalankan oleh pegawai awam setiap hari," kata Cik Sun.

"Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang mengkaji dengan ICA apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada insiden ini."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan