Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA kerah penjana kuasa tambahan sewaktu tempoh penyenggaraan masa kelak; elak gangguan bekalan elektrik

Anggaran Waktu Membaca:
ICA kerah penjana kuasa tambahan sewaktu tempoh penyenggaraan masa kelak; elak gangguan bekalan elektrik

Papan tanda digital di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 9 Okt 2022. (Gambar: Telegram)

SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan mengerahkan mesin penjana elektrik tambahan sebagai sandaran untuk digunakan sewaktu tempoh penyenggaraan pada masa kelak.

Langkah itu demi mengelakkan daripada berlakunya satu lagi insiden gangguan bekalan elektrik di pusat-pusat pemeriksaan, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim pada Khamis (20 Okt) di Parlimen.

Mesin penjana kuasa tersebut akan melengkapi "prasarana elektrik tambahan" yang ICA sudahpun merancang untuk membina bagi "meningkatkan lanjut daya tahan tenaga kuasa di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas". Ini menyusuli insiden di Imigresen Woodlands pada awal Oktober yang menyebabkan masalah pada proses pelepasan imigresen selama beberapa jam.
Pada 8 Oktober, sekitar pukul 11.40 malam, ICA sedang menjalankan kerja-kerja penyenggaraan berjadual ke atas sumber bekalan elektrik di Pusat Imigresen Woodlands. Waktu itu dipilih kerana ia biasanya merupakan tempoh luar waktu sibuk di pusat imigresen tersebut, jelas Profesor Madya Faishal.

Sebagai sebahagian kerja penyenggaraan, mesin penjana kuasa sokongan dihidupkan untuk menyediakan bekalan elektrik.

Namun, sekitar pukul 12.20 pagi pada 9 Oktober, mesin penjana elektrik sokongan itu tidak berfungsi, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejas operasi pusat imigresen.

Bekalan elektrik pulih sekitar pukul 4.00 pagi dan pelepasan imigresen diteruskan kira-kira pukul 5.15 pagi.

PUNCA BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS

Mesin penjana kuasa sokongan berkenaan tidak berfungsi disebabkan "koyakan yang baru pada saluran udara, menyebabkan udara panas dari mesin itu dilepaskan ke dalam bilik dan bukannya ke luar bilik," terang Profesor Madya Faishal.

"Apabila udara panas itu berlegar-legar semula di dalam bilik tersebut, enjin penjana kuasa berkenaan menjadi terlalu panas dan kemudian mati."

Keadaan saluran udara diperiksa dan dinilai berada dalam keadaan yang baik pada pagi 8 Oktober, tambah beliau.

Selain itu, ujian muatan penuh pada mesin tersebut juga sudahpun dilakukan pada Ogos.

Pada pagi 8 Oktober, mesin penjana kuasa itu sudah menjalani ujian selama 30 minit dan berfungsi dengan lancar, kata Dr Faishal.

"Walaupun mesin penjana kuasa sokongan itu sudah beroperasi sejak tahun 1999, penggunaannya rendah. Ia hanya beroperasi apabila sumber bekalan elektrik bangunan itu menjalani kerja penyenggaraan ataupun jika berlaku insiden bekalan elektrik terputus. Menurut spesifikasi,ia dijadual untuk digantikan pada 2028.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, ICA akan mempertimbangkan sama ada saluran udara itu harus digantikan secara berkala pada masa akan datang, sekalipun jika tiada koyakan dikesan."

Pelanggaran mahupun kehilangan data tidak berlaku semasa tempoh gangguan bekalan elektrik itu. Sistem Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan (UPS) sudah dihidupkan seperti yang direka dan "memberikan masa yang mencukupi untuk mematikan server dengan betul, mencegah sebarang pelanggaran atau kehilangan data", tambah Profesor Madya Faishal.

PELAN LUAR JANGKA DIAKTIFKAN

ICA sudah melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk melindungi operasinya daripada sebarang gangguan kuasa tenaga. Terdapat juga mesin penjana kuasa sokongan bagi sumber elektrik utama, kata Dr Faishal.

"Selain itu, UPS disediakan bagi sistem-sistem utama untuk memastikan ia boleh terus beroperasi sekiranya mesin penjana elektrik sokongan gagal berfungsi. Sistem-sistem tersebut sentiasa ditingkatkan sewaktupenyenggaraan yang dirancangkan."

Apabila bekalan elektrik terputus untuk tempoh masa yang berlanjutan dan tidak boleh disokong UPS, ICA mempunyai prosedur operasi standard yang dilaksanakan bagi memastikan operasi dapat diteruskan, tambah beliau.

"Ini termasuk menegrahkan tenaga pekerja tambahan untuk membantu dengan pelepasan imigresen secara manual, berhubungan dan menasihatkan para pelawat menerusi pelbagai saluran agar mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting serta mengalih lalu lintas ke pusat pemeriksaan darat yang lain."

Pelan-pelan luar jangka tersebut diaktifkan sewaktu insiden berkenaan.
Sumber : CNA/NY/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan