Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA: Kelengahan dijangkakan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas semasa musim cuti

Para pengunjung yang menggunakan pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti Krismas dan Tahun Baru boleh menjangkakan kelengahan dan laluan trafik yang sesak, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (20 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
ICA: Kelengahan dijangkakan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas semasa musim cuti

Gambar fail Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Diterbitkan : 20 Dec 2019 05:06PM Dikemas Kini : 20 Dec 2019 05:09PM

SINGAPURA: Para pengunjung yang menggunakan pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti Krismas dan Tahun Baru boleh menjangkakan kelengahan dan laluan trafik yang sesak, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (20 Dis).

Pergerakan trafik di kedua-dua pemeriksaan darat juga dijangka sesak antara 20 Dis hingga 1 Jan tahun depan dan hujung minggu sebelum Krismas (21 hingga 22 Dis) adalah antara hujung minggu yang paling sibuk pada tahun ini, menurut penguasa tersebut.

"Para pengunjung yang menggunakan pusat-pusat pemeriksaan darat pada musim cuti hujung tahun ini boleh menjangkakan kelengahan dan dinasihatkan supaya mengubah suai pelan perjalanan mereka jika perlu," menurut ICA.

"Keselamatan di pusat-pusat pemeriksaan tetap menjadi keutamaan ICA dalam usaha membanteras sebarang ancaman terhadap Singapura."

Dengan pemeriksaan keselamatan dan jumlah pengunjung yang ramai menggunakan kedua-dua pusat pemeriksaan pada masa yang sama, kelengahan dan laluan trafik yang sesak dan memanjang boleh dijangkakan," menurut ICA lagi.

Oleh itu, ICA menggalak para pengunjung supaya mengambil kira masa tambahan yang mungkin diperlukan untuk proses imigresen.

ICA turut menasihati para pengunjung supaya memeriksa dan memastikan pasport mereka masih boleh digunakan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.

Pasport yang sudah dilaporkan hilang tidak lagi boleh digunakan untuk melakukan perjalanan ke luar negara, meskipun ia akhirnya ditemui, kerana ia akan dibatalkan oleh ICA.

Percubaan untuk menggunakan pasport yang sudah dibatalkan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika pasport yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui, ia mesti diserahkan kepada ICA dalam masa 14 hari. Kegagalan untuk menyerahkan pasport yang ditemui itu boleh dikenakan denda sehingga S$3,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-dua hukuman itu.

BARANGAN LARANGAN

Pengunjung juga diingatkan supaya jangan membawa barang-barang larangan seperti mercun, pop pop dan gula-gula getah.

Pengunjung yang membawa barang-barangan yang boleh dikenakan cukai atau terkawal seperti telur, produk daging dan tanam-tanaman berpasu juga harus mengisytiharkannya kepada para pegawai ICA sebelum diperiksa.

ELAK POTONG GILIRAN

ICA juga menyatakan terdapat "banyak insiden memotong giliran" di kedua-dua pusat pemeriksaan semasa tempoh waktu sibuk yang boleh menyebabkan kesesakan dan menjejas keselamatan.

Gambar fail pemeriksaan keselamatan di Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar: Melissa Zhu)

Penguasa itu juga mengingatkan para pemandu supaya mematuhi peraturan trafik dan bekerjasama dengan para pegawai pusat pemeriksaan.

Sebelum memulakan perjalanan, para pemandu dinasihatkan supaya memeriksa dahulu keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas menerusi laman web One Motoring atau melalui Sistem Pengawasan dan Maklumat Ekspreswe yang dipasang di BKE dan AYE.

Para pemandu juga boleh memerika laman Facebook ICA bagi kemas kini berhubung keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan tersebut.

Para pegawai pusat pemeriksaan akan memantau keadaan trafik berdasarkan masa nyata dan memastikan pengerahan sumber-sumber secara optimum. ICA juga akan bekerjasama dengan polis trafik untuk memastikan disiplin di jalan raya dipatuhi terutamanya di persimpingan kritikal yang menghala ke pusat pemeriksaan.

KAD KETIBAAN ELEKTRONIK BAGI PENGUNJUNG ASING

ICA turut menggalak pengunjung asing untuk menyerahkan kad ketibaan mereka online menerusi e-khidmat SG Arrival Card di laman web ICA atau aplikasi mudah alih bagi kemudahan diri sendiri.

Mereka boleh menyerahkan kad ketibaan elektronik sehingga 14 hari sebelum tiba di Singapura.

Ini bermakna mereka tidak perlu mengisi kad keberangkatan atau ketibaan menggunakan kertas dan hanya perlu menyerahkan pasport bagi pelepasan imigresen apabila tiba di sini. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan