ICA jelaskan, pemegang pasport Hong Kong tidak perlukan visa untuk masuk S'pura
Pemegang pasport Hong Kong tidak memerlukan visa untuk memasuki Singapura. Ini bercanggah dengan desas-desus yang tersebar secara online, pihak berkuasa Singapura perjelaskan pada Khamis (21 Nov).
Pemandangan latar langit Hong Kong. (Gambar: (Photo: Anthony WALLACE/AFP)
SINGAPURA: Pemegang pasport Hong Kong tidak memerlukan visa untuk memasuki Singapura. Ini bercanggah dengan desas-desus yang tersebar secara online, pihak berkuasa Singapura perjelaskan pada Khamis (21 Nov).
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan ia sedar akan maklumat palsu yang tersebar di kumpulan sembang WhatsApp dan wadah media sosial bahawa pemegang pasport Hong Kong perlu memohon visa sebelum boleh memasuki Singapura.
ICA menyatakan keperluan visa hanya dikenakan kepada pemegang Dokumen Pengenalan di Hong Kong.
Dokumen Pengenalan adalah dokuman perjalanan yang dikeluarkan kepada penduduk Hong Kong yang tidak dapat memperolehi sebuah pasport.
"Tiada perubahan pada dasar visa sedia ada bagi kedua-dua pasport Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan pemegang Dokumen Pengenalan," menurut ICA.
"Kami menggesa orang awam supaya tidak menyebarkan khabar angin seumpama itu."
Konsulat-Jeneral Singapura di Hong Kong mengeluarkan kenyataan serupa di laman Facebooknya pada Isnin (18 Nov) dengan menyatakan bahawa tidak ada perubahan kepada dasar bebas visa bagi pemegang pasport Hong Kong.
Hong Kong, yang di bawah pemerintahan China, dibelenggu bantahan ganas yang kian meningkat selama hampir enam bulan kini. Pergolakan itu bermula daripada sebuah rang undang-undang yang sudahpun ditarik balik, yang mana ia membenarkan ekstradisi ke China. Hal itu membangkitkan semula kebimbangan bahawa Beijing mengawal kebebasan wilayah khas China tersebut.
China menyalahkan kuasa-kuasa luar seperti Amerika Syarikat dan Britain kerana mencetuskan kekacauan di bekas tanah jajahan Britain itu.
Komen ICA dilakukan sehari selepas ia melaporkan seorang pemilik restoran warga Hong Kong sudahpun dihantar pulang dan diharamkan dari memasuki Singapura selepas dia menganjurkan perhimpunan awam tanpa kebenaran.
Encik Alex Yeung, dikenali melalui video antibantahannya di YouTube, dikatakan menganjurkan sebuah perhimpunan pada 11 Oktober lalu "bagi orang yang berminat untuk berkongsi pandangan mereka mengenai bantahan yang sedang berlaku di Hong Kong".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.