Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ICA gantung khidmat tukar alamat secara online berikutan 80 percubaan tanpa izin

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Sabtu (11 Jan) menyatakan pihaknya telah menggantung khidmat elektronik yang membolehkan warga Singapura menukar alamat rumah secara online.

Anggaran Waktu Membaca:
ICA gantung khidmat tukar alamat secara online berikutan 80 percubaan tanpa izin
Diterbitkan : 11 Jan 2025 07:42PM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 08:17PM
SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Sabtu (11 Jan) menyatakan pihaknya telah menggantung khidmat elektronik yang membolehkan warga Singapura menukar alamat rumah secara online.

Ini setelah ICA mengesan sekitar 80 kes percubaan tanpa izin untuk menukar alamat rumah berdaftar menerusi pilihan "Lain" - yang membolehkan penukaran alamat oleh pihak ketiga - yang disediakan menerusi khidmat online itu.

Pelaku yang menggunakan akaun SingPass yang dicuri atau dikompromikan berjaya mengubah alamat dalam sekitar 75 peratus percubaan, yang kemungkinan dilakukan untuk "menghasilkan lebih banyak akaun keldai bagi tujuan penipuan dan jenayah siber", menurut ICA.

ICA telah menggantung khidmat penukaran alamat secara elektronik (eCOA) sejak pagi Sabtu (11 Jan) untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan, di samping menghalang penyalahgunaan sistem daripada berterusan.

"Kami akan menjalankan semakan dalam masa dua hari akan datang dan mungkin akan mengaktifkan semula khidmat itu pada 14 Januari," menurut ICA dalam kenyataan medianya.

"Segmen 'Lain' (dalam sistem online) akan kekal tidak boleh diakses sehingga ICA melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk membenarkan penukaran alamat secara selamat oleh proksi."

BAGAIMANA KHIDMAT ELEKTRONIK ICA BERFUNGSI

Khidmat elektronik berkenaan pertama kali diperkenalkan pada Oktober 2020 bagi membolehkan penduduk Singapura, termasuk mereka yang menetap di luar negara, untuk melaporkan pertukaran alamat rumah kepada ICA menerusi kaedah online.

Individu boleh menukar alamat rumah sendiri atau alamat rumah individu lain selepas log masuk ke dalam khidmat online tersebut menggunakan akaun Singpass mereka melalui tiga pilihan: Diri sendiri, diri saya dan ahli keluarga saya, dan lain.

ICA menjelaskan pilihan "lain" diperkenalkan pada 2020 bagi membantu mereka yang tidak celik digital mengemas kini alamat rumah secara online melalui proksi dengan akaun Singpass.

Purata 900 penduduk Singapura menukar alamat rumah setiap bulan melalui proksi, dedah ICA.

DAPATAN AWAL

Pesuruhjaya ICA Marvin Sim berkata ICA mula menjalankan siasatan sejak September tahun lalu setelah menerima aduan daripada orang awam mengenai pertukaran alamat rumah mereka yang tidak sah.

"Pada mulanya, hanya terdapat beberapa kes yang kelihatan tidak saling berkait, tetapi lebih banyak kes dilaporkan baru-baru ini," menurut ICA yang menambah jumlah kes sudah meningkat kepada 80 setakat ini.

Pada Disember lalu, siasatan ICA mendapati sebilangan pelaku menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat rumah mangsa melalui pilihan "lain" dalam khidmat online tersebut.

"Untuk berbuat demikian, mereka memperoleh nombor NRIC dan tarikh pengeluaran NRIC mangsa, lalu memasukkan butiran itu ke dalam khidmat eCOA," terang ICA.

"Khidmat eCOA itu kemudian akan menghantar surat yang mengandungi PIN pengesahan ke alamat berdaftar mangsa yang telah ditetapkan oleh suspek, di mana suspek boleh mengakses surat tersebut untuk mengesahkan pertukaran alamat."

Sebaik sahaja alamat rumah berdaftar mangsa ditukar, ia digunakan untuk menetapkan kata laluan baharu bagi akaun Singpass dengan meminta PIN baharu dihantar ke alamat tersebut.

Dalam sidang media di Bangunan ICA, Encik Sim berkata bahawa pelaku “kemungkinan besar adalah warga tempatan” dan “tiada petanda bahawa pelaku asing terbabit”.

Tiada trend demografi dikenal pasti bagi mangsa-mangsa terbabit.

Encik Sim enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek, sambil menekankan bahawa siasatan polis masih dijalankan.

"Sebaik sahaja polis selesai menjalankan siasatan, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Encik Sim juga berkata "tiada petanda" bahawa insiden ini mempunyai kaitan dengan pendedahan nombor NRIC melalui portal Bizfile yang baru-baru ini dilancarkan oleh Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

"Bagi portal ACRA, tarikh pengeluaran NRIC tidak diketahui... kerana bagi pelaku untuk menukar alamat rumah, mereka perlu kedua-dua nombor NRIC dan tarikh pengeluaran tersebut," jelasnya lagi.

LANGKAH KESELAMATAN TAMBAHAN

Menurut ICA, langkah-langkah keselamatan tambahan yang akan dijalankan termasuk teknologi pengesahan wajah untuk log masuk ke dalam khidmat online itu menggunakan akaun Singpass.

"Ini akan mengurangkan risiko pelaku menggunakan akaun Singpass pihak ketiga yang dicuri untuk mengakses khidmat dan menukar alamat rumah mangsa," tambah ICA.

ICA juga sedang mempertimbangkan langkah memperkenalkan pilihan OTP sebelum alamat rumah boleh ditukar menerusi piliha ‘lain’.

“Ini bermakna, untuk seluruh urus niaga diproses, individu yang alamatnya ditukar perlu terlebih dahulu mengesahkan bahawa mereka telah meminta proksi untuk menukar alamat tersebut,” terang Encik Sim sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Ini antara pilihan yang sedang kami pertimbangkan. Jaminan yang ingin saya berikan adalah, melainkan kami benar-benar yakin dapat melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang lebih menyeluruh, kami tidak akan memperkenalkan semula pilihan 'lain'," tambahnya.

Menurut ICA, sepanjang khidmat elektronik itu digantung, mereka yang memerlukan bantuan proksi boleh mengunjungi Unit IC di tingkat tiga Bangunan ICA untuk mendapatkan bantuan antara 8.00 pagi hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Jumaat.

ICA juga sedang menghubungi semua individu yang terjejas dan akan membantu mereka mendapatkan kad pengenalan baru, yang akan mempunyai nombor NRIC yang sama tetapi dengan tarikh pengeluaran yang berbeza.

Ini selain membantu mereka menukar alamat berdaftar masing-masing kepada alamat yang betul.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan