ICA berjaya gagalkan cubaan seludup lebih 37,000 vape, produk berkaitan sejak awal 2025
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berjaya mematahkan percubaan-percubaan menyeludup lebih 37,000 alat vape dan produk berkaitannya di pusat-pusat pemeriksaan darat sejak awal tahun ini.
- Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berjaya mematahkan percubaan-percubaan menyeludup lebih 37,000 alat vape dan produk berkaitannya di pusat-pusat pemeriksaan darat sejak awal tahun ini.
- Para pegawai memanfaatkan teknologi imbasan canggih, analitik data serta kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam usaha membongkar barangan haram yang disembunyikan dalam kenderaan.
- Pusat Pemeriksaan Woodlands merupakan antara yang paling sibuk di dunia dan turut mengendalikan kemasukan kargo.
- "ICA mengamalkan pendekatan serampang berbilang mata untuk melindungi sempadan Singapura daripada penyeludupan kontraban seperti vape," kata Timbalan Superintenden Penolong Komander, Pusat Pemeriksaan Woodlands, ICA.
Para pegawai memanfaatkan teknologi imbasan canggih, analitik data serta kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam usaha membongkar barangan haram yang disembunyikan dalam kenderaan.
Barangan haram bukan sahaja disembunyikan di bawah tempat duduk, malah ada juga yang disorok di dalam kompartmen yang diubah suai dalam kenderaan.
Itulah antara cara-cara yang digunakan para pemandu untuk cuba menyeludup produk haram dan mungkin berbahaya ke Singapura.
Lebih 37,000 vape dan produk berkaitannya mungkin sudah jatuh ke tangan rakyat Singapura jika bukan kerana ketangkasan para pegawai ICA.
"Apabila kita bercakap tentang barangan terlarang, ia adalah barangan seperti vape dan rokok. Oleh kerana vape sebenarnya agak kecil dan ia sebenarnya tidak memerlukan banyak ruang, ia sebenarnya boleh diletakkan di celah-celah barangan dapur.
"Itu sebabnya rakan kerja saya cuba memeriksa barangan dapur dengan lebih teliti. Orang akan biasanya meletakkan vape dengan barangan peribadi mereka, seperti beg mereka. Itu sebabnya kami juga perlu memeriksa barangan peribadi mereka untuk melihat jika ada barangan terlarang," kata Dayangku Suhaila Abdul Aziz, Ketua Kumpulan Mencari & Memeriksa, Markas Woodlands ICA.
Pusat Pemeriksaan Woodlands merupakan antara yang paling sibuk di dunia dan turut mengendalikan kemasukan kargo. Oleh itu, teknologi kini bertambah penting dalam mengesan barangan haram.
Di pusat pemeriksaan tersebut, kenderaan-kenderaan yang membawa kargo diimbas dengan alat yang dipanggil Portal Pengimbasan Radiografi.
Imej daripada imbasan itu akan muncul di makmal hampir serta-merta sedang para pegawai memeriksa bagi sesuatu yang janggal.
Contohnya, bentuk yang pelik atau percanggahan pada permit pelepasan kargo.
Jika sesuatu yang janggal dikesan, beberapa pegawai akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengesan sebarang barangan kontraban.
Selain operasi di lapangan, Pusat Penyasaran Bersepadu ICA beroperasi 24 jam sehari, dan menggunakan analitik data untuk mengenal pasti kenderaan dan penumpang yang perlu menjalani pemeriksaan lanjut.
Ini walaupun mereka tidak menunjukkan tanda-tanda tingkah laku mencurigakan.
"ICA mengamalkan pendekatan serampang berbilang mata untuk melindungi sempadan Singapura daripada penyeludupan kontraban seperti vape. Ini termasuk menggunakan teknologi imbasan, kemahiran memprofil para pegawai kami dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain," kata Timbalan Superintenden Penolong Komander, Pusat Pemeriksaan Woodlands, ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.