Skip to main content

Singapura

ICA beri amaran tentang surat palsu terkait permohonan status penduduk tetap

Anggaran Waktu Membaca:
ICA beri amaran tentang surat palsu terkait permohonan status penduduk tetap

Bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Singapura. (Gambar fail: ICA)

Diterbitkan : 28 Mar 2026 11:58AM Dikemas Kini : 28 Mar 2026 11:59AM
SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Sabtu (28 Mac) memberi amaran kepada orang ramai mengenai surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh agensi tersebut sebagai tindak balas kepada permohonan penduduk tetap (PR) Singapura.

Makluman itu dikeluarkan selepas ICA dimaklumkan tentang kes yang melibatkan surat palsu dan invois cukai yang dilihat seperti daripada agensi itu, dengan tandatangan seorang 'pegawai'.

Menurut ICA, pemohon kononnya melantik entiti komersial untuk membantu permohonan PR dengan bayaran hampir S$5,000.

Dokumen palsu itu meminta pemohon membayar yuran tambahan untuk meneruskan permohonan tersebut.

Walau bagaimanapun, semakan ICA mendapati tiada permohonan PR dikemukakan bagi pihak individu tersebut.

“ICA ingin menekankan bahawa surat dan invois ini tidak dikeluarkan oleh ICA,” kata agensi itu. “ICA memandang serius penipuan sedemikian kerana ia menjejas keyakinan orang ramai terhadap ICA.”

Agensi itu menambah bahawa sejak Januari 2026, ia dimaklumkan tentang 12 kes melibatkan surat palsu yang dikaitkan dengan permohonan pas imigresen jangka panjang, sambil memberi amaran bahawa penipu mungkin menghantar surat kelulusan atau resit palsu untuk memperdaya mangsa.

Agensi itu juga memberi amaran terhadap entiti komersial atau perunding yang mendakwa dapat meningkatkan peluang pemohon untuk berjaya mendapatkan pas sedemikian, termasuk penduduk tetap.

“ICA tidak menyokong atau mengiktiraf perkhidmatan sedemikian,” menurutnya.

“Pemohon yang memilih untuk menggunakan entiti komersial atau perunding dinasihatkan supaya berhati-hati.”

Menurut ICA, orang ramai yang memohon kemudahan imigresen amat digalakkan untuk mengemukakan permohonan mereka terus kepada ICA melalui laman webnya.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi agensi melalui Borang Maklum Balas ICA atau bercakap dengan ejen panggilannya di 6391 6100.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita