ICA akan jalankan semakan keselamatan susuli nahas di pusat pemeriksaan Woodlands
Bas dan kereta yang terlibat dalam nahas di Koswe, seperti dalam petikan skrin video pada 24 Mei 2025. (Gambar: Facebook/Nagenthiran Elamkovam)
- Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan pada petang Sabtu (24 Mei) bahawa pihaknya akan menjalankan semakan keselamatan menyusuli kemalangan yang "tidak sepatutnya berlaku" di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada awal pagi itu.
- Hasil awal siasatan ke atas kemalangan itu mendapati bahawa operasi aliran kontra menggunakan laluan bertentangan diaktifkan sebelum penghadang jalan diletakkan dan ia tidak mengikut prosedur keselamatan, tambah agensi itu.
- Dalam kemas kini Facebook pada 9.09 pagi, ICA melaporkan bahawa semua lorong sudah dibuka semula untuk trafik yang menghala ke Johor, hampir empat jam selepas kejadian itu berlaku.
- Agensi itu menyatakan ia melaksanakan penilaian keselamatan dengan menggantung operasi aliran kontra pada hujung minggu di kedua-dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas sejurus selepas kemalangan itu.
Kemalangan berlaku di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5.28 pagi selepas kereta yang berdaftar di Singapura bertembung dengan bas Malaysia dari arah bertentangan.
Hasil awal siasatan ke atas kemalangan itu mendapati bahawa operasi aliran kontra menggunakan laluan bertentangan diaktifkan sebelum penghadang jalan diletakkan dan ia tidak mengikut prosedur keselamatan, tambah agensi itu.
"Kemalangan ini tidak sepatutnya berlaku. ICA memandang sangat serius kesilapan itu, dan kami sedang membantu Polis Trafik yang sedang menyiasat kemalangan itu."
Polis memberitahu Mediacorp bahawa pemandu kereta terbabit, seorang lelaki berusia 48 tahun, dan tiga penumpangnya, berumur antara 14 dengan 78 tahun, dibawa dalam keadaan sedar ke hospital dan siasatan masih dijalankan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang bas, manakala pemandu bas menolak bantuan perubatan, menurut ICA.
Dalam kemas kini Facebook pada 9.09 pagi, ICA melaporkan bahawa semua lorong sudah dibuka semula untuk trafik yang menghala ke Johor, hampir empat jam selepas kejadian itu berlaku.
Agensi itu juga menyatakan bahawa ia sudah menjalankan operasi pengurusan trafik aliran kontra di bahagian Singapura Koswe bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu sibuk harian.
Ini termasuk menukar lorong untuk kenderaan berat keluar Singapura di Koswe menjadi lorong masuk ke Singapura bagi memudahkan ketibaan kenderaan berat yang mungkin menghalang lalu lintas di sepanjang lintasan darat itu.
"Semasa tempoh ini, sekiranya trafik kereta ke Malaysia semakin sesak, sebahagian daripada zon kargo ke Malaysia mungkin ditukar untuk pelepasan kereta yang keluar dari Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands, untuk mengurangkan trafik dari Malaysia di BKE (Ekspreswe Bukit Timah)," menurut ICA.
ICA menambah bahawa sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatannya, hadangan akan disediakan untuk mengalihkan trafik kereta yang keluar Singapura dari lorong aliran kontra itu.
Ini apabila kenderaan berat tiba menggunakan lorong yang bertujuan untuk kenderaan berat ke Malaysia.
Agensi itu menyatakan ia melaksanakan penilaian keselamatan dengan menggantung operasi aliran kontra pada hujung minggu di kedua-dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas sejurus selepas kemalangan itu.
"Kami akan menyemak semula langkah keselamatan kami secara menyeluruh sebelum memulakan semula operasi aliran kontra. Pemandu boleh menjangkakan beberapa kelengahan sementara dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan," tambah ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.