Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu tunggal, Jamalia Shariff dijulang Ibu Teladan Jamiyah 2019

Begitu besar pengorbanan Cik Jamalia sehingga pada Sabtu (5 Okt), beliau dijulang sebagai Ibu Teladan dalam acara tahunan Jamiyah yang dianjurkan buat kali ke-27. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tatkala rumah tangga yang dibina runtuh, kehidupan Cik Jamalia Shariff bagai jatuh ditimpa tangga. Beliau terpaksa membina kembali kehidupan dan menetap di rumah sewa bersama tiga orang anaknya.

Ketika itu anak-anaknya baru menginjak usia remaja dan masih bersekolah.

Tanpa sebarang ijazah dalam genggaman dan kurang fasih dalam Bahasa Inggeris, Cik Jamalia cekalkan hati dan bekerja sana sini untuk mencari sesuap nasi dan demi memastikan anak-anaknya dapat terus bersekolah.

Walaupun jatuh sakit, beliau tetap bangkit untuk bekerja.

KETABAHAN JADI TANGGA KEJAYAAN ANAK

Berkat kerja keras dan ketabahannya, pelita-pelita kehidupan Cik Jamalia mencapai kecemerlangan dan menjadi individu berjaya. Seorang menjadi doktor perubatan di sebuah institusi kesihatan awam, seorang menjadi usahawan dan seorang lagi, pegawai cisco lapangan terbang.

Titik hitam dalam mahligai perkahwinannya pula tidak sekali-kali menjadi penghalang untuk anak-anaknya terus berhubungan dengan bekas suami. Bahkan, Cik Jamalia kini mendorong anak-anaknya agar menjaga bapa mereka yang sedang sakit.

(Gambar: LH Goh/MCI) 

(Gambar: LH Goh/MCI)

Begitu besar pengorbanan Cik Jamalia sehingga pada Sabtu (5 Okt), beliau dijulang sebagai Ibu Teladan dalam acara tahunan Jamiyah yang dianjurkan buat kali ke-27.

Kisah hidupnya menjadi contoh betapa bermakna jasa seorang ibu dalam kemakmuran sesebuah keluarga seperti yang disebutkan oleh Presiden Halimah Yacob.

ANAK PEGANG TEGUH NILAI MURNI

Tetap di sisi pada hari istimewa ini ialah anak perempuannya, Dr Mumtaz Mohamed Yusoff yang berkongsi nilai penting disemai Cik Jamalia, 64 tahun.

"Nilai paling penting yang ditekankan Ibu adalah latar belakang seseorang itu tidak akan menentukan kejayaan seseorang. Dia juga selalu mengingatkan kami agar mempunyai hati yang besar, hati yang baik dan selalu ingat pada Tuhan," kata Dr Mumtaz.

Beliau menambah, kemenangan ibunya bukanlah sesuatu yang dijangka-jangkakan. Namun, Dr Mumtaz berharap, kisah hidup ibunya akan meniup inspirasi terutama sekali kepada ibu tunggal lain.

Sebagai pemenang Anugerah Ibu Teladan, Cik Jamalia membawa pulang Perisai Presiden, wang tunai S$6,000 dan trofi daripada Presiden Halimah.

PERIA NAYAKHI PEMENANG ANUGERAH IBU TELADAN MUDA

Pemenang bagi Anugerah Ibu Teladan Muda, kategori yang mengiktiraf ibu muda ialah Cik Peria Nayakhi anak perempuan Manivasagam.

Tahun ini merupakan kali kedua seorang wanita bergelar ibu diiktiraf kerana tabah mengharungi dugaan dalam hidup mereka.

Meskipun bekerja sebagai seorang guru prasekolah, Cik Peria menjaga tiga anaknya tanpa mendapatkan sebarang bantuan pihak luar. Beliau melakukan itu kerana ingin mengajar tiga buah hatinya tentang pentingnya hidup berdikari.

Bukan itu sahaja, Cik Peria juga giat menyumbang bakti sebagai seorang relawan. Beliau menubuhkan rangkaian sokongan bagi golongan wanita yang membuka pintu untuk mereka menabur bakti.

Semua ini dilakukan di samping melanjutkan pengajian kerana Cik Peria percaya dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Ibu muda itu membawa pulang wang tunai S$2,000 dan trofi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan