Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu tunggal ini hargai jiran berbilang kaum & agama, ada teman ketika susah, jadi pemangkin semangat

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal ini hargai jiran berbilang kaum & agama, ada teman ketika susah, jadi pemangkin semangat

Melissa Sailla, 36 tahun. (Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Meskipun berbeza kaum dan agama, jiran tetangga Cik Melissa Sailla menjadi antara penyokong dan pendorong terkuat dalam hidupnya.

Meskipun hidup di flat sewa, ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia 15 tahun itu tidak pernah berasa dirinya dalam kesunyian.

Sebaliknya, kehidupannya lebih berwarna-warni dengan kehadiran jiran tetangga yang sentiasa bertanya khabar dan sudi menghulurkan bantuan ketika memerlukan.

Hubungan yang dijalin itu telah kian berkembang menjadi ibarat keluarga atau rakan baik yang saling mempercayai.

JIRAN TETANGGA SALING BANTU-MEMBANTU

Mereka juga yang banyak membantunya menjaga anak perempuannya apabila keluar bekerja sebagai seorang pekerja khidmat penghantaran makanan Deliveroo.

Disebabkan tugasnya, Cik Melissa meluangkan lebih banyak masa di luar untuk mencari rezeki bagi menampung kos kehidupan keluarganya.

"Kalau anak saya balik siang saya akan hubungi jiran saya dan saya banyak menyusahkan mereka," kongsi Cik Melissa kepada wartawan Nurfazirah Azman.

"Saya akan tanya 'Cik boleh tengokkan anak saya, dia di atas, sudah masuk rumah?'. Kemudian dia akan keluar dari rumah dan lihat. Kadangkala jiran saya juga akan berinya makanan. Kalau 'uncle' pula, dia selalu memberi kami buah-buahan," kata Cik Melissa.

Dengan itu, beliau berusaha untuk saling mengenali dan memahami jiran tetangganya dan menghulurkan pertolongan kembali jika diperlukan.

"Masa itu 'uncle' sakit, jadi telefon bimbitnya jatuh ke bawah katil. Dia minta saya tolong ambilkan dan kadangkala televisyennya rosak ataupun 'remote control' hilang jadi saya pun cuba untuk membantunya," kongsi Cik Melissa.

Anaknya juga sering bermain dan belajar bersama anak-anak jirannya yang lain sewaktu mereka membesar di flat sewa Kim Tian Place yang didiaminya selama hampir 10 tahun.

Ukhuwah antara penduduk berbilang kaum ini menjadi akrab saban tahun.

"Anak saya memang sangat selesa daripada kecil lagi. Dulu ada satu arwah pakcik dia tinggal bersama cucu lelakinya dan kami saling kenali. Jadi saya sering menghantarnya ke sana apabila saya bekerja. Anak saya pun anggap dia sebagai datuk. Anak saya pun tidak pernah mengadu kepada saya selama ini kalau dia harus ke rumah jiran dan sebagainya," kata Cik Melissa.

Menurut Cik Melissa, hidup berjiran dengan mereka yang berlainan bangsa tidak pernah menjadi hambatan untuk menjalin hubungan yang kukuh dan harmoni.

"Kita biasa dalam estet perumahan ini, biasa nampak pakcik atau makcik kita akan tegur sesama sendiri. Anak-anak pun akan main bersama-sama dan pergi ke rumah masing-masing," kongsi Cik Melissa.

Ketika ditemui, jirannya yang enggan namanya didedahkan berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman bahawa hubungan mereka sangat akrab.

"Kami sering menjaga satu sama lain, kami pastikan rumah masing-masing selamat terutama sekali apabila kami tiada di rumah. Kami membantu satu sama lain dalam urusan harian dan banyak lagi, termasuk membeli makanan dan bertanya khabar".

"Selain bantuan di rumah saya juga sering berbual dengan dia (Cik Melissa) dan berikan sokongan emosi kadi dia tidak rasa keseorangan ketika mencari rezeki buat keluarganya," kata jiran Cik Melissa.

Menurut jirannya itu lagi, dengan membantu Cik Melissa menjaga anak perempuannya, ia akan membolehkan Cik Melissa beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan bekerja dengan tenang.

BELAJAR BAHASA MANDARIN UNTUK RAPATKAN HUBUNGAN DENGAN JIRAN

Walaupun hanya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, Cik Melissa juga cuba untuk pelajari bahasa Mandarin untuk lebih memahami dan mendekati jiran-jiran yang sudah lanjut usia.

"Di Singapura ini kita harus berbahasa Inggeris atau Mandarin. Memang dari sekolah pun pergaulan kita dengan kawan Cina atau India. Jadi kita belajar dari situ.

"Kita harus tahu sedikit sebanyak seperti nombor, bahasa Mandarin asas untuk berbual dengan para pelanggan ataupun pekerja restoran. Yang mudah sahaja asalkan kami boleh berkomunikasi dengan mereka," kata Cik Melissa.

Dalam pada itu, beliau berharap jalinan sesama jiran tetangganya akan sentiasa kukuh tidak kira bangsa dan agama.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan