Skip to main content

Singapura

Ibu tiri dalam kes kanak-kanak maut didera didakwa menganiaya budak perempuan 5 tahun dan adiknya

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tiri dalam kes kanak-kanak maut didera didakwa menganiaya budak perempuan 5 tahun dan adiknya

(Gambar: Dokumen mahkamah)

Diterbitkan : 07 Jan 2025 06:24PM Dikemas Kini : 07 Jan 2025 10:41PM
SINGAPURA: Ibu tiri kepada dua beradik yang dikurung dalam keadaan bogel di dalam tandas selama berbulan-bulan, didakwa pada Selasa (7 Jan) kerana menganiaya kedua-dua kanak-kanak itu.

Anak tiri wanita itu yang berusia lima tahun, Ayeesha, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala pada Ogos 2017 selepas bapanya memukul mukanya sehingga 20 kali di dalam tandas dan meninggalkannya di sana.

Lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi April lalu atas tindakan membunuh dalam keadaan di luar kawalan tanpa niat untuk melakukan jenayah tersebut (culpable homicide), dan mendera kanak-kanak. Dia dijatuhi hukuman penjara 34 tahun setengah dan 12 sebatan.

Pada masa itu, pihak pendakwaan berkata ia akan mengkaji semula kes terhadap ibu tiri Ayeesha, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ketika lelaki itu mula dibicarakan.

Kedua-dua ibu tiri, yang berusia 34, dan bapa Ayeesha, 44 tahun, tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti adik Ayeesha yang masih hidup.

Di Mahkamah Negara pada Selasa, ibu tiri itu dikenakan empat pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di bawah jagaannya bersama suaminya ketika itu.

Dua daripada pertuduhan itu membabitkan menghalang dua kanak-kanak itu keluar dari bilik berukuran 90cm kali 90cm dan mempunyai ruang terhad untuk pergerakan dari Februari hingga Oktober 2016.

Dua lagi pertuduhan kerana mengurung dua kanak-kanak itu dalam keadaan bogel di dalam tandas dari Oktober 2016 hingga 11 Ogos 2017.

Ayeesha telah dipukul hingga mati oleh bapanya pada malam 10 Ogos 2017, dan ditinggalkan di dalam tandas bersama adiknya, yang berusia hampir empat tahun, sehingga keesokan harinya.

Ibu tiri itu juga menghadapi dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dengan niat untuk menyebabkan dirinya menggunakan kuasa yang sah untuk mencederakan orang lain.

Wanita itu berkata dia akan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan. Dia diberi tarikh untuk berbuat demikian pada 4 Feb, dan kekal dengan ikat jamin S$15,000.

Wanita itu berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda sehingga S$4,000, atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan mendera kanak-kanak.

Kesalahan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dengan niat untuk menyebabkan dirinya menggunakan kuasa yang sah untuk mencederakan orang lain membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita