Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu remaja autistik kongsi detik cemas anak hadapi gangguan khidmat MRT sendirian

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu remaja autistik kongsi detik cemas anak hadapi gangguan khidmat MRT sendirian

Gambar: lydiawatimz/Instagram

SINGAPURA: Apa yang sepatutnya merupakan rutin harian anaknya berubah menjadi satu detik cemas bagi Cik Lydiawati.

Ini selepas beliau mendapat khabar berlakunya gangguan khidmat MRT pada Laluan Timur-Barat (EWL) pada Rabu (25 Sep) ketika anaknya yang mengalami autisme, sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Yang lebih membimbangkan, ia merupakan kali pertama, anaknya, Muaz, berdepan dengan insiden sedemikian sejak beliau berupaya menaiki pengangkutan awam sendiri lebih setahun lalu.

Lebih-lebih lagi, Muaz turut mempunyai kesukaran untuk bertutur, sekalipun beliau mampu memahami.

Pelajar Eden School itu seringkali menaiki kereta api dari stesen MRT Bukit Batok di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan bertukar kepada laluan EWL di Jurong East, untuk ke kawasan Timur, di mana beliau tinggal.

Gangguan khidmat MRT itu sekali gus menyebabkan Muaz tidak dapat meneruskan perjalanannya pulang dari Jurong East.

Rasa bimbang dan cemas menyelubungi Cik Lydiawati, yang ketika itu berada di rumah, tatkala memikirkan tentang bagaimana keadaan anak bongsunya yang berusia 15 tahun itu, menangani situasi gangguan khidmat MRT tersebut.

Cik Lydiawati pun segera membuat panggilan video untuk memeriksa keadaan Muaz ketika itu. Anaknya itu dilihat masih sabar menantikan ketibaan kereta api di platform stesen MRT Jurong East tersebut, seolah-olah menduga kereta api berkenaan sekadar tergendala sahaja.

"Saya rasa sedikit panik. Saya harap terdapat sesiapa di sana yang boleh bantu. Mustahil untuk saya ambil Muaz dalam masa kurang 15 minit," luah ibu kepada dua anak itu.

Mujur, seorang kakitangan stesen tersebut menghubungi suami Cik Lydiawati, berdasarkan nombor telefon yang tertera di tag yang dipasang pada beg sekolah Muaz.

Kakitangan tersebut diminta membantu untuk memantau Muaz sedang beliau menunggu ibunya, yang sedang dalam perjalanan menuju ke Jurong dalam Grab.

"Anak-anak dengan autisme diketahui mempunyai kesukaran untuk menerima perubahan mendadak. Saya risau sama ada dia okay," jelas suri rumah yang berusia 40-an tahun itu.

Menerusi rakaman video yang dimuat naiknya itu, beliau kelihatan dalam keadaan terburu-buru menaiki tangga bergerak lalu gigih mencari anaknya di setiap sudut platform stesen MRT Jurong East berkenaan.

Cik Lydiawati hanya mampu tarik nafas lega, setelah beliau melihat Muaz, kelihatan "tenang" menunggunya lebih sejam di tengah-tengah kekecohan yang berlaku.

"Mujur, kami telah mengambil langkah-langkah tertentu sekiranya perkara seperti ini berlaku. Saya tidak menyangka (situasi sebegini) akan berlaku seawal ini," katanya.

Cik Lydiawati sangat berterima kasih kepada para penumpang dan kakitangan SMRT di stesen MRT Jurong East atas jasa baik mereka memantau Muaz ketika sedang menunggu beliau untuk mengambilnya.

SERU LEBIH PRIHATIN TERHADAP ANAK AUTISTIK NAIKI PENGANGKUTAN AWAM SENDIRIAN

Menyingkap detik cemas yang dihadapinya, Cik Lydiawati menyeru kepada orang ramai, baik pihak berkuasa, kakitangan SMRT mahupun penumpang yang lain, supaya tidak lupa menitikberatkan keperluan anak-anak autistik seperti Muaz, yang menaiki pengangkutan awam sendirian, sekiranya insiden gangguan khidmat MRT sedemikian berlaku lagi.

Ini memandangkan mereka tidak begitu selesa dengan perubahan mendadak dan kurang mahir dalam memahami mahupun bertutur.

"Anak saya, yang telah menaiki kereta api dengan sendirian selama lebih setahun sekarang, terjejas. Dia bersendirian ketika ia berlaku.

"Saya tidak menyalahkan SMRT kerana menjejas rutin anak saya. Pada masa yang sama, ini adalah satu latihan yang baik buatnya. Inilah kehidupan. Ia tidak selalu berjalan seperti yang dirancang," ujar Cik Lydiawati.

SARAN CARA BANTU ANAK AUTISTIK BILA INSIDEN GANGGUAN KHIDMAT MRT BERLAKU

Perkongsian Cik Lydiawati tentang pengalamannya serta anaknya itu turut mencuri perhatian ramai baru-baru ini di wadah media sosial.

Dalam sehari saja, perkongsian tersebut telah menarik lebih 136,000 tontonan.

Netizen rata-rata menghargai perkongsiannya, yang pastinya meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peri pentingnya untuk bersikap peka terhadap keperluan anak-anak autistik ini dan menyediakan persekitaran yang selamat untuk memperkasa mereka untuk berdikari, bahkan dalam keadaan tidak diduga sedemikian.

Ini memandangkan mereka akur terdapat kecenderungan untuk hanya mementingkan diri sendiri ketika berdepan dalam situasi sebegitu.

Berdasarkan pengalamannya, Cik Lydiawati turut berkongsi cara-cara untuk membantu seseorang dengan autisme dalam situasi gangguan khidmat MRT sedemikian atau situasi kecemasan:

  • Jangan guna ayat yang panjang ketika bertutur
  •  Jika situasi mengizinkannya untuk berada di sana sehingga warisnya tiba, bantu untuk memantaunya
  • Cari nombor telefon kecemasan yang tertera di lencana, lanyard atau beg sekolah 
  • Jika dia menunjukkan tanda-tanda tertekan disebabkan perubahan mendadak, berikan ruang kepadanya. Yang penting, pastikan dia selamat sahaja
  •  Jika terdapat keperluan untuk ke tempat yang lebih selamat, pegang tangannya dengan perlahan (jika dia mengizinkan). Jika dia mematuhi arahan dengan baik, elak daripada menyentuhnya
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan