Skip to main content

Singapura

'Ibu Pensel' Sarimah Amat asuh 2 anak titipan sambil giat usahakan projek amal di Yishun, Cirebon

Bagi mengiktiraf sumbangannya kepada usaha meningkatkan mutu kehidupan penduduk Yishun dan masyarakat setempat, Cik Sarimah Amat, 53 tahun, dinobat dengan Anugerah “Yishunite of the Year” atau Penduduk Teladan Yishun Tahun Ini pada Selasa (27 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
'Ibu Pensel' Sarimah Amat asuh 2 anak titipan sambil giat usahakan projek amal di Yishun, Cirebon

Penduduk Teladan Yishun Tahun Ini (2020), Cik Sarimah Amat, 53 tahun. (Gambar: Sarimah Amat/Facebook)

SINGAPURA: Bagi mengiktiraf sumbangannya kepada usaha meningkatkan mutu kehidupan penduduk Yishun dan masyarakat setempat, Cik Sarimah Amat, 53 tahun, dinobat dengan Anugerah “Yishunite of the Year” atau Penduduk Teladan Yishun Tahun Ini pada Selasa (27 Okt).

Walaupun usianya sudah melepasi separuh abad, Cik Sarimah masih lincah mengusahakan pelbagai kerja amal demi menjaga dan memenuhi keperluan para penduduk memerlukan yang menetap di 16 blok perumahan HDB di Yishun.

Di luar Singapura pula beliau sedang sibuk menjayakan projek untuk mengukir “seribu senyuman” anak yatim dan murid-murid pesantren di Cirebon, Indonesia dengan menyediakan keperluan asas dan perkakas persekolahan.

Ini semua dilakukannya tanpa mengenal erti penat di samping peranannya sebagai ibu kepada sepasang anak titipan berusia empat dan 12 tahun – mereka adalah antara lima anak titipan yang diasuh oleh Cik Sarimah dalam tempoh lapan tahun.

Cik Sarimah dipilih antara lima peserta yang disenarai pendek setelah meraih lebih 1,100 ‘like’ di Facebook dalam peraduan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Majlis Bandaran Nee Soon.

BELA NASIB ANAK TITIPAN

Sebelum mengambil anak titipan secara rasmi dan ketika bertugas sebagai jurulatih silat bagi sekumpulan belia berisiko, Cik Sarimah ibarat ‘ibu’ kepada anak didiknya yang sesetengahnya dianggap ‘hanyut’.

Cik Sarimah yang menjadi tempat mengadu ibu bapa yang anak-anak mereka terjebak dengan masalah seperti ponteng sekolah.

“Kakak berbual dengan pengetuanya supaya beri peluang lagi, kakak menjadi penjamin agar dia tidak lagi ponteng sekolah,” kongsi Cik Sarimah yang berbangga dengan anak asuhannya yang kemudian berhasil menyambung pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan seterusnya mengharumkan nama negara dalam pertandingan silat di Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia.

Related article image
Cik Sarimah Amat menerima trofi disampaikan Presiden Halimah Yacob sebagai finalis Anugerah Ibu Teladan 2018. (Gambar: SIX5Productions LLP/Facebook)

Cik Sarimah Amat menerima trofi disampaikan Presiden Halimah Yacob sebagai finalis Anugerah Ibu Teladan 2018. (Gambar: SIX5Productions LLP/Facebook)

Namun akibat kecederaan lutut pada 2010, Cik Sarimah terpaksa mengundurkan diri daripada tugasnya sebagai guru jagaan kanak-kanak dan jurulatih silat.

Pada ketika itulah Cik Sarimah mula memikirkan tentang masa depannya – beliau bertekad untuk terus menabur bakti dan bukan setakat menghabiskan masanya sebagai suri rumah dalam meniti usia senjanya.

Sejak 2012, Cik Sarimah sudah menjadi ‘ibu angkat’ kepada lima anak titipan di bawah Skim Anak Titipan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) – dengan dua daripadanya masih tinggal sebumbung dengannya.

Pada ketika kebajikan anak-anak titipannya terabai gara-gara bapa dihukum penjara, ibu mengalami penyakit mental, pasangan suami isteri berpisah atau terlalu ramai anak sehingga tidak mampu untuk menjaga mereka, Cik Sarimah yang menjadi pembela nasib anak-anak kecil itu.

Cik Sarimah mengimbas kembali pengalaman menerima anak titipan sulungnya berusia tiga tahun setengah pada ketika itu: “Sampai di pintu, masa itu bulan puasa, (dia) ternampak muka kakak, dia tersedu-sedu menghulurkan tangan. Saya ambil dia, peluk dia…”

Sudah lapan tahun Cik Sarimah membela anak titipannya sedari kecil lagi, sehingga ke hari ini, sedang mereka menanti-nantikan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) baru-baru ini.

Meskipun berat hati untuk berpisah dengan anak titipannya pada saat dikembalikan kepada pangkuan keluarga kandung, Cik Sarimah “reda” dan setakat berharap agar anak titipannya terus dididik dan dibesarkan dengan nilai-nilai kehidupan yang positif.

‘IBU PENSEL’ MENABUR BAKTI DARI YISHUN KE CIREBON

Daripada kecederaan yang dialami itu, timbul pula minat sehingga membuatkan Cik Sarimah 'terjebak' dengan satu usaha mengumpul dan mengagihkan pensel kepada kanak-kanak memerlukan di negara-negara serantau seperti di Surabaya (Indonesia), Pattani (Thailand) dan Kelantan (Malaysia) sejak 2014.

Pada ketika itu Cik Sarimah berkenalan dengan seorang rakan yang setakat bertanya jika beliau ingin menyumbang pensel kepada 30 anak yatim di Pattani.

Menerusi catatannya mengenai usaha yang disebarkan kepada rakan-rakan dan keluarga melalui laman Facebook - maka terlahir 'Project Pencil Singapore' - dengan Cik Sarimah berjaya mengumpul barang-barang keperluan sekolah sebanyak 70 kilogram.

"Dari situ saya benar-benar beriltizam. Saya tidak mengetahui (sebelum itu) bahawa saya boleh mengubah dunia dengan mengagihkan pensel demi pensel. Pensel itu (ibarat) harapan (bagi) mereka," katanya.

Pada 2016 pula, ketika sekolah-sekolah musnah dan bekalan air terputus akibat banjir yang melanda kampung-kampung di Kelantan, Cik Sarimah - yang mesra disapa dengan gelaran 'Ibu Pensel' dalam kalangan penerima bantuan Project Pencil Singapore - berhasil mengumpul barangan keperluan asas seperti pakaian, air minum dan peralatan sekolah sebanyak satu tan.

Baru-baru ini di tengah-tengah pandemik COVID-19, Project Pencil Singapore memberi sinar harapan kepada seribu kanak-kanak memerlukan di Cirebon, Indonesia - yang menurut Cik Sarimah berdepan dengan cabaran untuk mencari sesuap nasi - dengan membekalkan 1,000 kanak-kanak dengan air teh, 'nasi geprek' dan alat tulis.

Cik Sarimah mengimbas kembali saat beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri respons salah seorang penerima bantuan di Filipina: "Kanak-kanak itu membayangkan cita-citanya.

"Kita menulis untuk menerima bantuan. Yang menerima itu sendiri sangat mengalu-alukan apa yang diberikan kepada mereka. Ia sesuatu yang indah," katanya.

SEMARAKKAN SEMANGAT KEJIRANAN

Walaupun sibuk dengan tanggungjawab di rumah – apatah lagi dengan dua anak titipan yang dibelanya – Cik Sarimah masih mencari kelapangan masa untuk membela juga nasib jiran tetangga yang memerlukan.

Tidak jauh dari blok HDB Cik Sarimah, terletak sebuah blok yang menempatkan apartmen-apartmen studio yang didiami warga emas. Ia adalah antara 16 blok di sekitar Yishun Street 71 yang diliputi usaha amal Yishun 71 merangkumi tenaga kerja kira-kira 30 penduduk Yishun.

Cik Sarimah, sebagai anggota jawatankuasa Yishun 71, mengongsi dengan BERITAmediacorp pada Oktober tentang keadaan hidup para penerima bantuan lanjut usia yang kadangkala kekurangan makanan atau terpingga-pingga jika memerlukan bantuan.

Cik Sarimah turut menjadi “orang tengah” kepada para penduduk yang kurang berpengetahuan atau berasa segan untuk meminta bantuan melalui wadah-wadah seperti Pejabat Khidmat Sosial (SSO), Pusat Khidmat Keluarga (FSC) atau berjumpa dengan Anggota Parlimen semasa sesi bertemu penduduk (MPS).

MENAMAM BENIH KEBAIKAN

Semasa mengongsi dengan BERITAmediacorp tentang cita-citanya pada masa akan datang, Cik Sarimah akur bahawa beliau perlu bersikap realistik dan "mengukur baju pada badan sendiri".

Namun sambil berseloroh beliau 'mengidamkan' rumah banglo supaya rumah yang lebih besar itu boleh dijadikan kediaman untuk mengasuh lebih ramai anak titipan.

"Saya menyaksikan bagaimana anak-anak ini menjadi juara dalam kehidupan dan memecahkan lingkaran (negatif), supaya mereka dapat menjadi pemimpin kita pada masa hadapan.

"(Mereka) lebih menghargai pertolongan orang dan dengan keikhlasan itu juga mereka akan bantu generasi seterusnya," jelas Cik Sarimah.

Apabila ditanya apakah yang mendorongnya sehingga tidak putus-putus menabur bakti dari bloknya di Yishun sehingga ke kampung halaman serantau, beliau menganggap peranannya sebagai 'warga emas' untuk "menanam benih-benih cinta" dengan menjadi peran contoh kepada anak-anak muda.

"Bumi ini sudah cukup banyak kemusnahan dan kebinasaan.

"Kita hendak menjadi contoh kepada anak-anak agar menghentikan kemusnahan dan ini masanya kita menanam benih supaya pada masa akan datang, kita menuai sifat rendah hati dan kebaikan bagi seluruh ihsan," ujarnya semasa mengakhiri wawancara bersama BERITAmediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita