Skip to main content

Singapura

Ibu pejabat baharu Singtel tampil ruang runcit, gaya hidup seluas 20,000 meter persegi

Ibu pejabat baharu Singtel, Comcentre dijangka menambah ruang gaya hidup dan runcit seluas 20,000 meter persegi kepada bangunan yang akan ditubuhkan di Orchard Road.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu pejabat baharu Singtel tampil ruang runcit, gaya hidup seluas 20,000 meter persegi

Model ibu pejabat baharu Singtel, Comcentre di Exeter Road di daerah Orchard Road.

Diterbitkan : 09 Jul 2025 05:52PM Dikemas Kini : 09 Jul 2025 05:53PM
SINGAPURA: Ibu pejabat baharu Singtel, Comcentre dijangka menambah ruang gaya hidup dan runcit seluas 20,000 meter persegi kepada bangunan yang akan ditubuhkan di Orchard Road.

Dijadual siap pada 2028, bangunan baharu di Exeter Road itu akan menampilkan sebuah tempat permainan arked berbumbung, taman bandar bertingkat terbesar di Singapura dan kawasan mesra haiwan peliharaan.

Projek pembangunan semula bernilai S$3 bilion itu terdiri daripada dua menara setinggi 20 tingkat dengan jumlah keluasan lantai kasar lebih daripada 110,000 meter persegi.

Beberapa lantai bawah bangunan itu mempunyai kemudahan yang boleh diakses oleh orang awam, seperti gimnasium, auditorium, pusat perubatan, kedai-kedai makanan dan cawangan runcit.

Sementara itu, 80 peratus daripada ruang di bangunan itu dikhususkan kepada pejabat Gred A - iaitu mutu tertinggi ruang pejabat yang ditawarkan.

Singtel adalah pemaju bersama projek dan penyewa utama, dengan 30 peratus ruang didudukinya.

Kedai utama Singtel yang baharu juga terletak di bangunan itu.

Laluan pejalan kaki bawah tanah pula akan menghubungkan Devonshire Road ke Killiney Road dan Exeter Road.

Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata pada Selasa (8 Jul) pembangunan semula Comcentre dijangka menyuntiuk kesegaran pada kawasan di sekelilingnya dan menyediakan lebih banyak kemudahan.

"Bangunan Comcentre yang disegarkan semula itu akan berfungsi sebagai hab masyarakat yang bertenaga dengan ruang awam baharu dan ketersambungan lebih baik, menyatukan orang ramai dari setiap lapisan usia, menyokong perniagaan tempatan," katanya di majlis pecah tanah bangunan itu.

Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Singtel Yuan Kuan Moon berkata pusat itu menyepadukan teknologi pembahagian rangkaian dengan prasarana bangunan bijak.

"(Ini mewujudkan) tempat ... untuk perniagaan menggunakan teknologi terkini untuk mencipta produk-produk baharu dan huraian serta berkembang maju," katanya.

"Secara keseluruhan, ia akan menjadi sebuah bangunan teknologi terkini untuk masa hadapan."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita