Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu mengaku bersalah tampar anak kecilnya hingga sebabkan kecederaan otak

Seorang ibu yang berulang kali mendera anak kecilnya, berusia hampir dua tahun, sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan otak mengaku bersalah atas semua kesalahan pada Jumaat (10 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu mengaku bersalah tampar anak kecilnya hingga sebabkan kecederaan otak

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 10 May 2019 07:37PM Dikemas Kini : 10 May 2019 07:39PM

SINGAPURA: Seorang ibu yang berulang kali mendera anak kecilnya, berusia hampir dua tahun, sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan otak mengaku bersalah atas semua kesalahan pada Jumaat (10 Mei).

Wanita 27 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, mempunyai tiga lagi anak yang tinggal berasingan dari ayah masing-masing.

Wanita berkenaan mengaku bersalah ke atas satu tuduhan menganiaya anak lelakinya di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda serta dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan teruk ke atas anaknya.

Pada 25 Mac tahun lalu, wanita itu menampar kuat anak lelakinya - pertama kali di pipi kanan kemudian pipi kiri pula - kerana mengorek lampin yang dipakai untuk bermain dengan najis selepas mandi.

Tamparan kedua itu menyebabkan kanak-kanak kecil itu terjatuh lalu terhantuk kepalanya di kaki meja besi.

Menurut dokumen mahkamah, kanak-kanak lelaki itu mula menangis tanpa henti dan usaha wanita itu untuk menenangkan anaknya itu sia-sia sahaja.

Apabila kanak-kanak lelaki itu mula menggeletar, ibunya menyangka dia diserang sawan lalu meletakkannya di atas riba dan menyapu sedikit minyak pada tubuh anaknya itu.

Wanita itu kemudian menelefon seorang teman untuk meminta nasihat yang menggesanya menelefon ambulans.

Mangsa dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dan menjalani prosedur segera untuk mengeluarkan sebahagian daripada tengkoraknya serta juga darah beku.

Dia kemudian dipindahkan ke Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-kanak (KKH).

Kanak-kanak berusia 23 bulan itu didapati mengalami palsi serebrum spastik distonia akibat kecederaan otaknya, menurut laporan pada 3 Julai lalu.

Usia perkembangan budak kecil itu juga dinilai sebagai setara bayi berusia enam bulan dan dia kemungkinan perlu bergantung kepada orang lain bagi kesemua kegiatan harian serta yang melibatkan pergerakan.

Bagaimanapun, dokumen mahkamah menunjukan pada 25 Januari lalu, keadaan kanak-kanak itu kian beransur baik.

Dia dapat merangkak dengan sendiri dan berjalan dengan bantuan orang lain meskipun masih perlu dibantu makan melalui saluran luar yang ditebuk ke dalam perutnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan