Ibu engkaulah 'jururawat' hatiku: Anak ikut jejak ibu, pilih kerjaya sama
SINGAPURA: Bak pepatah Melayu, 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'.
Itulah yang boleh dikatakan tentang pasangan ibu dan anak Cik Norashikin Abdul Wahab dan anak lelakinya, Amirul Hanan Noorhisham.
Kagum dengan tugas ibunya sebagai seorang jururawat mendorong Amirul, 25 tahun, untuk mengikuti jejak langkah ibunya dalam bidang yang sama.
"Semasa saya kecil, ibu saya membawa saya ke tempat kerjanya. Jadi pernah pergi ke lokasi wad dan melihat situasinya di sana. Bila saya lihat ibu saya menjaga pesakit dan cara dia berbual dan melayani mereka, itu yang membuat saya terdorong dan mengikut cara dia bekerja. Dialah menjadi inspirasi saya," kata Amirul yang kini seorang Jururawat Am di Hospital Masyarakat Outram (OCH).
"Dia (ibu) selalu berkata pada saya bahawa menyelamatkan satu nyawa, ialah 'hero'. Tapi jikalau menyelamatkan seribu nyawa, ialah jururawat," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Keputusan anak sulungnya untuk menjadi jururawat itu sebenarnya satu pilihan yang mengejutkan buat Cik Norashikin, 50 tahun.
"Mula-mula sewaktu dia menyertai kejururawatan, saya begitu terperanjat. Saya mengambil masa beberapa bulan untuk menerimanya kerana tidak terlalu ramai lelaki ingin masuk bidang kejururawatan.
"Jadi saya mula berasa bangga dan gembira kerana anak saya mungkin sudah mengambil langkah yang tepat untuk jadi seorang jururawat seperti saya," kata Cik Norashikin, yang bertugas sebagai Jururawat Kanan di klinik jantung di Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).
Walaupun bertugas di bangunan yang bertentangan, jadual kerja mereka yang berbeza itu menyukarkan lagi peluang untuk mereka meluangkan masa bersama.
Namun, ikatan masih tetap dijalin melalui 'WhatsApp' dan 'kunjungan mengejut' yang diberikan Cik Norashikin di tempat tugas anaknya itu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Kadang-kadang kita akan jumpa dan selalunya ibu saya yang akan datang wad untuk memberi kejutan. Dia beri minuman dari 'Starbucks' jadi itulah masa-masa kita akan hargai bersama apabila kita berjumpa," kata Amirul yang sudah tidak tinggal serumah dengan ibunya selepas mendirikan rumahtangga.
PERNAH 'TERKERJA' BERSAMA
Sebagai seorang Jururawat Am, antara tugas yang digalas Amirul termasuklah menjaga pesakit di wad manakala Cik Norashikin pula memberi kaunseling kepada para pesakit tentang penjagaan kesihatan jantung mereka di klinik.
Meski bertugas di bahagian yang berbeza, pernah berlaku satu insiden di mana ibu dan anak itu terpaksa bekerjasama, secara tidak sengaja.
Mengimbas kejadian tersebut, Cik Norashikin berkongsi: "Apabila pesakit Amirul jatuh di bangunan kita, kita panggil wad di sana (OCH) untuk menghantar jururawat am datang. Terkejut 'eh anak sayalah'. Dia yang perlu buat laporan, dia pandang ‘oh okay’, 'macam mana dia (pesakit) boleh jatuh', kita kena jawablah. Wah dia lebih besar daripada kita, kita kena jawab."
Pangkat anaknya itu mungkin lebih tinggi daripadanya namun Cik Norashikin tidak janggal untuk bertukar-tukar pendapat dan nasihat protokol kesihatan dengan anaknya.
"Kita nak tahu kemas kini adakah sama di wad dengan di klinik. Adakah amalan kejururawatan mereka (di wad), sama peringkat ataupun tidak (dengan di klinik). 'Oh ada kemas kini terkini, adakah Amirul mengamalkannya di sana?' Sama juga dengan Mama'. Jadi ada juga perbincangan di rumah," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Malah, dengan pengalaman lebih 28 tahun dalam kejururawatan, Cik Norashikin percaya pentingnya untuk terus mendakapi ilmu untuk mengasah tahap kesediaan.
"Kita harus cuba dan kita harus belajar. Daripada belajar, kita rasa kita diperlukan dan tempat ini (hospital) memerlukan kita. Kita tidak boleh selalu berada di tempat yang sama. Bila seperti COVID-19 kita dihantar di sini, kita pergi dan kita tahu, kita belajar.
"Sebagai seorang jururawat, kita bukan hanya untuk menjaga, kita juga harus mendidik, mengajar, jadi keluarga bila mereka bawa pulang pesakit, mereka akan terus menjaga, cara kita menjaga pesakit di hospital. Kita perlu mendidik mereka. Mengajar jugalah," kata Cik Norashikin.
DEMI MELAWAN COVID-19, SAMBUTAN HARI IBU TERJEJAS
Apabila kes-kes COVID-19 melonjak dan sekatan-sekatan lebih ketat dikuatkuasakan tahun lalu, kedua-dua anak dan ibu ini dikerahkan untuk menangani kes-kes di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
Bagi mengurangkan jangkitan sesama sendiri, mereka terpaksa kurangkan kontak di antara mereka dan tidak dapat menyambut Hari Ibu seperti yang dirancangkan.
"Ibu saya ditugaskan di dormitori dan saya di wad COVID-19 di Hospital Besar Singapura (SGH) 'Ward@Bowyer'. Jadi selalunya kami sekeluarga akan menyambut Hari Ibu setiap tahun, pergi makan dan menyambut sama-sama. Semasa COVID-19 itu amat susah," ujar Amirul.
Cik Norashikin yang pernah berdepan dengan krisis SARS pada 2003 dahulu menggunakan pengalamannya itu untuk memberi kata-kata semangat kepada anaknya.
Teringat pesan ibunya: "Dia beritahu yang jangan khuatir dan jangan takut sangat kerana ini adalah satu fasa yang perlu dilalui bersama sebagai satu negara. Sebagai jururawat, kita akan berkorban dan itulah tanggungjawab kami untuk menjaga sebagai pekerja barisan hadapan."
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dengan perancangan di tengah-tengah kesibukan mereka menjaga pesakit-pesakit COVID-19 tahun lalu, Amirul menghantar satu mesej kepada ibunya sebagai pengganti sambutan mereka, sekali gus mengubat rindu.
"Dia hantar mesej ‘Selamat Hari Ibu Mama, 'I Love You’ (Saya Sayang Anda), saya tidak sangka. Ia mungkin ringkas, tapi ia membuat saya ceria. Macam saya begitu gembira bertugas walaupun saya terpaksa berdepan dengan pesakit-pesakit COVID-19," kongsi Cik Norashikin, sambil tersenyum.
HADIAH UNTUK IBU, DOA BUAT ANAK-ANAK
Dengan keadaan yang lebih baik tahun ini, keluarga tersebut berharap untuk berkumpul semula dan menyambung tradisi makan bersama mereka untuk Hari Ibu nanti.
Bagi membalas jasa ibu yang tidak ternilai, Amirul bersama-sama bapa dan adik perempuannya juga menghadiahkan percutian ke London untuk ibunya pada bulan ini.
(Gambar: Norashikin Abdul Wahab & Amirul Hanan Noorhisham)
Kasih ibu membawa ke syurga. Cik Norashikin pula sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya.
"Doa saya untuk anak-anak saya semoga berjaya, hormat orang tua, solat jangan lupa. Jadi manusia yang berguna di dunia dan di akhirat," kata Cik Norashikin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.