Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu dan anak muncul sebagai siswazah terbaik SUSS 2022

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Lima tahun lalu apabila anak sulungnya meluahkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di universiti, Cik Adlin Sandhora Bahar bukan sahaja mengalu-alukan keputusan tersebut malah beliau juga terdorong untuk mengikut jejaknya.

Meskipun sudah lebih 30 tahun meninggalkan bangku sekolah, Cik Adlin, 51 tahun tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Malah, beliau menyifatkannya sebagai peluang yang dinanti-nantikan bagi memenuhi hasrat yang terpendam sekian lama.

"Sebenarnya hasrat ini sudah terpendam sekian lama kerana saya berminat dalam Bahasa, Kesusasteraan, ia memang pengkhususan saya. Jadi saya sedang tunggu masa yang sesuai. Jadi bila anak-anak saya mahu ambil ijazah sarjana muda, saya katakan kenapa tidak rebut peluang ini untuk cepat-cepat daftarkan diri.

"Saya nak buktikan kepada anak-anak saya jangan berhenti belajar, sekiranya ada peluang sekarang atau di masa hadapan, bila-bila masa belajarlah," kata Cik Adlin.

Pengalaman memburu ijazah menjadi lebih manis buatnya apabila menuntut di universiti yang sama dengan anak sulungnya.

CIK ADLIN DAN ANAKNYA SALING BERI SOKONGAN

Cik Adlin mengikuti program Sarjana Muda dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) manakala anak sulungnya, Raiyan Diniy Safaruan pula mengambil Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan di universiti itu.

Kedua-dua mereka juga adalah penuntut separuh masa.

Menurut Cik Adlin, mereka saling memberi dorongan setiap kali berasa penat atau tertekan sewaktu mengulang kaji atau menyelesaikan tugasan selepas sehari suntuk bekerja.

"Bila masa peperiksaan itu, kita berjuang bersama-sama dan mula-mula tertekan dan bila ada anak di sebelah bolehlah meredakan tekanan itu," kata Cik Adlin.

"Selepas bekerja dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang, saya berasa penat tetapi perlu siapkan tugasan. Jadi ini kadang-kadang buat saya hilang motivasi tetapi bila saya lihat ibu saya, ibu saya pun rasa tekanan yang sama dan kami meluahkan tekanan yang kami hadapi.

"Jadi ini buat saya berasa tidak keseorangan untuk hadapi tekanan ini. Saya amat menghargai sokongan ibu saya," kata Encik Raiyan yang berusia 29 tahun.

Pada Jumaat (7 Okt), Cik Adlin dan Encik Raiyan merupakan antara 2,854 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam majlis konvokesyen SUSS yang diadakan antara 5 hingga 7 Oktober.

Berkat kerja keras masing-masing, kedua-dua ibu dan anak itu juga muncul sebagai mahasiswa terbaik dalam kursus masing-masing.

Cik Adlin menerima Anugerah Emas LBKM manakala Encik Raiyan pula mendapat Anugerah Pencapaian The Write Connection.

BEKAS PENGHIDAP BARAH ROHANI AS'AD ATASI SEGALA CABARAN; BERJAYA GENGGAM IJAZAH SARJANA MUDA

Seorang lagi lulusan SUSS yang mendapat ijazah dalam sesi majlis hari ini adalah Cik Rohani As'ad.

Sebagai seorang bekas penghidap barah, pelbagai onak dan duri yang dilalui Cik Rohani demi menggenggam segulung ijazah.

Menurut Cik Rohani, apabila beliau mula menuntut di SUSS pada 2016, beliau baru sahaja selesai menjalani rawatan kemoterapi bagi penyakit barah usus yang dihidapinya.

Beliau kemudian mengalami beberapa kesan sampingan daripada rawatan itu dan memerlukan bantuan dalam pelajaran.

"Saya mengalami kesan selepas rawatan kemoterapi, jadi saya mudah lupa dan sukar untuk memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Saya juga banyak menelaah pelajaran, mungkin untuk sesetengah orang mereka hanya perlu baca tetapi saya perlu baca lebih daripada 12 kali kerana saya tidak memahami bahan pelajaran itu," kata Cik Rohani.

Mujur Cik Rohani dikelilingi rakan-rakan sekelas dan pensyarah yang memahami dan sering membantunya.

Meskipun Cik Rohani kadangkala menanyakan soalan yang sama berkali-kali kepada pensyarahnya, mereka tetap menjawabnya dengan penuh kesabaran.

Berkat kesungguhannya itu, Cik Rohani berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains dalam jurusan Perniagaan.

"Saya bersyukur kerana saya ingin menjadi inspirasi kepada pesakit-pesakit barah supaya jangan berputus asa kerana barah tidak tamat segala impian, segala yang kita inginkan, ia adalah memberikan satu perangsang yang kalau mereka lihat pada saya, kalau saya boleh mereka pun boleh lakukan," kata Cik Rohani.

LEBIH RAMAI GRADUAN SUSS TAHUN INI

Daripada lebih 2,800 graduan tahun ini, 259 mahasiswa menerima sijil pos ijazah masing-masing.

Antara mereka merupakan kumpulan pertama graduan daripada empat program baru SUSS seperti Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dan Falsafah (Gerontologi).

Tahun ini juga menyaksikan lebih ramai graduan iaitu 8 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Kumpulan graduan paling ramai tahun ini merupakan para siswazah dari Sekolah Perniagaan iaitu seramai 1,037 orang.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan