Skip to main content

Singapura

Ibu Cef Bob meninggal dunia akibat serangan angin ahmar

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu Cef Bob meninggal dunia akibat serangan angin ahmar

Allahyarhamah Zaharah Haji Mohd Salleh dan anaknya, personaliti tempatan Cef Bob. (Gambar: Instagram/ Muhd Nur Firdauz/Chef Bob)

Diterbitkan : 25 Jul 2024 11:19AM Dikemas Kini : 25 Jul 2024 12:24PM
SINGAPURA: Ibu kepada personaliti tempatan Cef Bob, Zaharah Hj Mohd Salleh, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9.06 pagi Khamis (25 Jul) di Hospital Besar Singapura (SGH) akibat angin ahmar.

Beliau meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Demikian disahkan anak saudara Allahyarhamah dan sepupu kepada Cef Bob, Ustaz Md Nur Firdauz Abdul Latiffuddin kepada BERITAmediacorp.
Allahyarhamah, yang juga lebih dikenali sebagai Cikgu Zaharah, sebelum ini dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) Neurologi di hospital berkenaan, selepas mengalami strok.

Jenazah sudahpun dibawa pulang ke rumah anak Allahyarhamah di Blok 643 Pasir Ris Drive 10 pada sekitar 12.00 tengah hari.

Ustaz Firdauz juga mendedahkan bahawa jenazah akan disolatkan di Masjid Al-Taqua sekitar waktu Asar nanti.

Cef Bob, atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh, yang sedang mengendalikan urusan jenazah di rumah, belum dapat dihubungi setakat ini.

Bagaimanapun, beliau sempat memuat naik catatan ringkas mengenai pemergian ibu tersayang di laman Instagramnya.

"Saya meminta jasa budi semua untuk sedekahkan Surahtul Fatehah kepada ibunda saya dan mendoakan supaya semuanya berjalan dengan lancar," tulisnya.
GURU PESARA, PERSONALITI TV VETERAN DISEGANI

Allahyarhamah Cikgu Zaharah adalah seorang guru pesara yang cukup disegani dan dihormati di Sekolah Sang Nila Utama dan Sekolah Menengah Temasek.

Beliau berkhidmat selama 15 tahun di Sekolah Sang Nila Utama dan 20 tahun di Sekolah Menengah Temasek.

Allahyarhamah turut terkenal dalam kalangan masyarakat Minang Singapura.

Beliau malah pernah menjalankan perniagaan nasi padang di Katong selama tujuh tahun.

Allahyarhamah Cikgu Zaharah yang juga seorang personaliti televisyen veteran, pernah menjadi pengacara rancangan memasak serta program budaya, termasuk Rentak Tari.

Beliau juga adalah hos rancangan pendidikan kanak-kanak 'English For Everyone' terbitan Kementerian Pendidikan (MOE) pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Allahyarhamah juga menyumbang suara dalam lagu Ilham Pujangga nyanyian Allahyarham Ismail Haron. Beliau mendeklamasikan sajak dalam lagu tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, beliau turut membantu melakukan kerja balik tabir penerbitan televisyen, termasuk bagi rancangan Zaman Sekolah musim ketiga.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita