Ibu bayi 2 bulan antara 133 suspek dadah diberkas; disyaki salah guna dadah ketika hamil

(Gambar: CNB)
SINGAPURA: Seorang wanita berumur 32 tahun diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan dadah semasa dia berada dalam sebuah unit kediaman bersama bayinya yang berusia dua bulan, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Sabtu (18 Feb).
Wanita tersebut adalah antara 133 individu yang diberkas sewaktu operasi dadah sepanjang dua minggu yang dijalankan dari 6 hingga 17 Februari di merata Singapura.
Kesemua suspek yang diberkas sedang disiasat.
Semasa operasi tersebut, dadah terkawal sekitar 64 gram heroin, 528 gram Ice, 94 gram kanabis, 512 gram ketamine, 5 gram Bahan Psikoaktif Baru (NPS), 670 gram pil ecstasy, 214 pil Tapentadol dan tiga botol cecair disyaki mengandungi GHB (gamma-hydroxybutyrate) dirampas.
Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai sekitar S$231,600.
Operasi CNB meliputi kawasan-kawasan termasuk Hougang, Jurong, Tampines dan juga Sembawang Drive, di mana wanita berusia 32 tahun itu ditangkap.
Para pegawai CNB menemui sejumlah kecil heroin, Ice dan pelbagai peralatan dadah di unit berkenaan sewaktu serbuan dilancarkan pada 9 Februari.
Wanita berkenaan, yang disiasat atas kesalahan dadah sejak tahun lalu, disyaki menyalahgunakan dadah sewaktu dia hamil dan selepas melahirkan bayinya.
"Saya hampa apabila mendapat tahu bahawa wanita itu mungkin menyalahgunakan dadah sewaktu dia hamil, kemungkinan membahayakan kesihatan anaknya yang baru lahir itu," kata Inspektor Stesen Marlina Djumadi, seorang pegawai CNB yang terlibat dalam operasi tersebut.
"Saya harap wanita itu akan mendapatkan bantuan yang diperlukan supaya dia boleh menjaga, melindungi dan membesarkan anaknya dengan lebih baik."
CNB menyatakan aturan sewajarnya sudah dilakukan untuk memastikan kebajikan bayi itu terjaga dan bayi itu kemudian diletakkan di bawah jagaan selamat seorang waris.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.