Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa tuntut bayaran balik setelah pusat pengayaan Genius League tutup mendadak

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa tuntut bayaran balik setelah pusat pengayaan Genius League tutup mendadak

Cawangan Genius League di Hougang kelihatan tutup pada 9 Mei 2023. (Gambar: Tan Ming Chuan/TODAY)

SINGAPURA: Seorang ibu tunggal, yang ingin dikenali sebagai Cik Thong, mendaftarkan anaknya yang berusia 10 tahun, di pusat pengayaan kanak-kanak Genius League, dengan harapan anak lelakinya itu akan meraih manfaat daripada aktiviti-aktiviti latihan otak. 

Namun, Cik Thong dikejutkan apabila mendapat tahu menerusi satu kiriman mesej WhatsApp daripada Genius League bahawa ia sedang menjalani prosiding pembubaran. 

Mesej itu memberitahu para ibu bapa bahawa pihak pengurusan Genius League akan "bekerjasama dengan pakar-pakar berkaitan" dalam proses mereka membubarkan syarikat itu, katanya kepada Mediacorp. 

Apabila Mediacorp pergi ke tiga cawangan Genius League di Tampines, Hougang dan Novena pada Selasa (9 Mei), ketiga-tiga cawangan itu tutup. Mediacorp juga tidak dapat menghubungi Genius League menerusi nombor telefon sedia ada. 

Laman web syarikat itu juga sudah lama tidak digunakan, manakala komen di akaun Facebooknya pula dihadkan. 

"Ini tidak masuk akal, kenapa mereka tutup tanpa diberitahu? Saya rugi sekitar S$600, termasuk deposit S$200," kata Cik Thong. "Ini adalah duit hasil kerja keras saya. Saya seorang ibu tunggal, saya hanya inginkan yang terbaik buat anak lelaki saya."

Beberapa lagi ibu bapa yang ditemui Mediacorp berkata, mereka mengalami kerugian antara S$100 hingga S$2,038 akibat penutupan Genius League. 

Ibu bapa yang terjejas turut mengetengahkan beberapa isu lain berkaitan Genius League sebelum syarikat itu ditutup. 

Ini termasuk kakitangan guru yang kerap tidak hadir atau sakit, pekerja pentadbiran yang tidak terlatih, serta syarat yang tidak jelas dan proses pendaftaran tergesa-gesa. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menyatakan, ia menerima sebanyak 12 aduan awal minggu ini, dengan tuntutan pampasan melebihi S$14,000 bagi baki yuran kelas yang dibayar dahulu dan belum digunakan. 

CASE menyatakan, insiden berkenaan adalah satu contoh yang menunjukkan kepentingan perlindungan prabayaran bagi pengguna dalam sektor-sektor yang mendapatkan jumlah cengkeram yang tinggi. 

"Di tengah-tengah iklim perniagaan dan ekonomi yang mencabar, pengguna harus dilindungi dengan lebih baik lagi daripada kerugian prabayaran sekiranya perniagaan tiba-tiba ditutup," kata seorang jurucakap CASE. 

"Kami akan terus menggesa Pemerintah untuk memperkenalkan perlindungan prabayaran yang wajib seperti bon bagi sektor-sektor yang mengumpul jumlah prabayaran yang tinggi untuk melindungi duit pengguna." 

Pengguna yang terjejas boleh menghubungi CASE menerusi talian hotlinenya di 97958397 atau melayari laman web mereka www.case.org.sg untuk bantuan. 

Mediacorp sudahpun menghubungi pemilik Genius League dan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mendapatkan komen mereka.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan