Skip to main content

Singapura

Ibu bapa titipan kanak-kanak kurang upaya sukar akses rekod kesihatan, janji temu perubatan

Sejak empat tahun lalu, Claire menjadi ibu titipan kepada dua kanak-kanak berkeperluan khas.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa titipan kanak-kanak kurang upaya sukar akses rekod kesihatan, janji temu perubatan

Skrin telefon bijak yang memaparkan aplikasi HealthHub. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 26 May 2026 11:53AM
  • Ibu bapa titipan di Singapura, seperti Claire, Sally dan Mark, menghadapi kesukaran mengakses maklumat kesihatan dan pendidikan anak titipan melalui platform digital seperti HealthHub dan Parents Gateway.
  • Kekangan ini menyebabkan mereka terpaksa mengurus janji temu perubatan secara manual, menunggu lama di hotline, serta sukar mendapatkan hasil ujian dan maklumat penting lain.
  • Masalah turut timbul apabila akaun simpanan khas (CDA) dan komunikasi sekolah masih dikawal ibu bapa kandung, menyukarkan urusan penjagaan dan perancangan masa depan anak titipan.
  • Kementerian berkaitan sedang berusaha memperbaiki akses digital untuk ibu bapa titipan, dengan sasaran pelaksanaan penambahbaikan menjelang separuh kedua 2024.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sejak empat tahun lalu, Claire menjadi ibu titipan kepada dua kanak-kanak berkeperluan khas.

Kedua-dua kanak-kanak itu didiagnosis mengalami kelengahan pembangunan dan memerlukan pelbagai janji temu perubatan, termasuk terapi pertuturan, pemeriksaan susulan bersama pakar pediatrik dan rawatan pergigian.

Namun, tidak seperti kebanyakan ibu bapa yang boleh membuat janji temu sedemikian menerusi aplikasi HealthHub, Claire tidak dapat berbuat demikian.

Claire memberitahu Mediacorp bahawa beliau mempunyai akses kepada akaun HealthHub kanak-kanak tersebut sehingga sekitar penghujung 2024, namun kini tidak lagi mempunyai akses itu.

Sepanjang tahun lalu, beliau perlu pergi sendiri ke hospital atau menghubungi talian hotline untuk membuat janji temu, kadangkala menunggu hampir 30 minit sebelum berjaya mendapatkan slot.

“Kami dahulu boleh mengakses maklumat mereka secara online, kemudian entah bagaimana akses itu dibatalkan dan kami kehilangan semua maklumat mengenai janji temu,” kata beliau.

“Semuanya mula dihantar menerusi SMS, sangat menyukarkan kerana jika anda tidak benar-benar memeriksa mesej, anda akan terlepas janji temu.”

Claire bukan satu-satunya ibu bapa titipan yang berdepan isu tersebut.

Semasa sidang parlimen pada April, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Neo Kok Beng berkata ibu bapa titipan tidak mempunyai akses untuk membuat janji temu perubatan secara online dan ada antara mereka juga tidak mempunyai akses kepada maklumat lain seperti pendidikan kanak-kanak tersebut. Beliau bertanya mengenai hak ibu bapa titipan untuk berbuat demikian.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Goh Pei Ming berkata ibu bapa titipan diberikan surat daripada MSF yang mengenal pasti mereka sebagai penjaga kanak-kanak di bawah skim jagaan titipan kementerian itu.

“Surat ini memudahkan komunikasi antara ibu bapa titipan dengan para karyawan kesihatan bagi memastikan keperluan perubatan dipenuhi.

“Ia juga membolehkan mereka berhubung menerusi sistem sekolah untuk menjaga keperluan persekolahan dan pendidikan.”

Encik Goh mengakui maklum balas Dr Neo itu selaras dengan apa yang didengarkan pihak kementerian daripada ibu bapa titipan lain.

Beliau menambah bahawa kementeriannya sedang berusaha untuk menyediakan akses kepada ibu bapa titipan bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat pendidikan dan kesihatan anak titipan menerusi HealthHub dan Parents Gateway.

Ibu bapa titipan membantu menyediakan aturan jagaan alternatif bagi kanak-kanak dan remaja yang mungkin pernah didera, diabaikan atau ditinggalkan.

Ia merupakan aturan jagaan sementara, dengan matlamat untuk menyatukan semula kanak-kanak tersebut dengan keluarga kandung masing-masing apabila mereka dinilai sebagai mampu untuk menjaga kanak-kanak tersebut.

Ibu bapa titipan yang ditemui Mediacorp bercakap dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan bagi melindungi identiti anak titipan mereka.

AKSES KEPADA MAKLUMAT KESIHATAN

Pengarah Eksekutif Home for Good, sebuah badan amal yang menyokong keluarga angkat, Sue Chang-Koh, berkata kekurangan akses itu satu “isu yang besar”.

“Kumpulan kanak-kanak yang terdedah ini tidak sepatutnya diletakkan dalam keadaan sedemikian hanya kerana mereka berada dalam sistem jagaan titipan.”

Bagi Claire, yang menghidap penyakit kronik, memantau janji temu kesihatannya sendiri serta dua anak titipan menjadi semakin sukar.

“Sangat sukar untuk mencari maklumat. Saya perlu menatal begitu banyak maklumat, terutamanya apabila ada janji temu yang ditempah sehingga setahun lebih awal.”

Beliau juga berkata beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada hasil ujian perubatan.

Satu contoh ialah apabila beliau tidak dapat mengakses hasil ujian mata anak titipan lelakinya dan terpaksa pergi sendiri ke hospital untuk mendapatkannya.

“Perkara paling mengecewakan bagi saya sebagai ibu bapa titipan ialah tidak dapat melihat semua janji temu mereka melalui HealthHub, tidak dapat menukar janji temu perubatan saya dengan mudah, dan tidak dapat mengakses hasil pemeriksaan kesihatan atau pergigian mereka apabila ia dilakukan di sekolah,” katanya lagi.

“Alangkah baiknya jika kami dapat melihat rekod atau maklumat daripada janji temu perubatan supaya apabila mereka mempunyai janji temu lain, kami boleh membawa maklumat tersebut kepada doktor.”

Selain kesukaran membuat janji temu, seorang lagi ibu bapa titipan berkata beliau menghadapi masalah apabila janji temu dibatalkan tanpa pengetahuannya.

Pada 2023, Sally menjaga seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mempunyai beberapa ketidakupayaan termasuk ketidakupayaan intelektual dan autisme. Kanak-kanak itu juga tidak boleh bertutur.

Walaupun Sally membawa anak titipannya berjumpa doktor, janji temu itu terus dijadualkan mengikut kesesuaian ibu bapa kandung, yang mempunyai akses untuk membuat tempahan.

Ini juga kadangkala bermakna Sally dan ibu bapa kandung hadir bersama semasa janji temu tersebut.

“Ia menyukarkan apabila saya perlu membawa anak titipan saya dan saya bertemu ibu bapa kandungnya.

“Saya berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi kepada ibu bapa titipan lain. Jika ibu bapa titipan sanggup mengambil alih lawatan doktor bagi pihak ibu bapa kandung, maka mereka harus diberikan kuasa penuh bersama pegawai jagaan anak titipan.”

Sally berkata ada kalanya ibu bapa kandung membatalkan janji temu jika mereka tidak dapat hadir, walaupun beliau masih boleh membawa kanak-kanak itu ke janji temu tersebut.

Apabila beliau cuba menghubungi pihak relevan untuk menetapkan semula janji temu, beliau diberikan tarikh yang jauh lebih lewat.

Sama seperti Claire, antara cabaran terbesar yang dihadapi Sally ialah mendapatkan akses kepada maklumat kesihatan anak titipannya.

Ibu bapa titipan memberitahu CNA bahawa cabaran sedemikian meningkatkan tekanan emosi, khususnya bagi mereka yang perlu mengimbangi komitmen kerja dan menjaga anak.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menyediakan akses kepada HealthHub bagi semua ibu bapa titipan.

“Kami menyasarkan untuk melaksanakannya menjelang separuh kedua tahun ini bagi memberikan kemudahan lebih besar kepada semua ibu bapa titipan,” kata MSF.

BUKAN SEKADAR REKOD KESIHATAN

Akses kepada HealthHub bukan satu-satunya cabaran yang dibangkitkan ibu bapa titipan, dengan sesetengah daripada mereka turut menghadapi kesukaran mengakses platform lain yang diperlukan anak titipan mereka.

Mark telah menjadi bapa titipan sejak 2021 kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didiagnosis mengalami kelengahan pembangunan dan autisme. Kanak-kanak itu diletakkan di bawah perintah jangka panjang mahkamah, kata beliau.

Namun, Mark menghadapi kesukaran untuk membuka Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi kanak-kanak tersebut dan hanya berjaya melakukannya awal tahun ini.

“Jika akaun itu tidak dibuka, kanak-kanak itu akan terlepas manfaat tambahan daripada pemerintah.”

CDA ialah akaun simpanan khas yang boleh digunakan bagi menampung perbelanjaan pendidikan dan kesihatan kanak-kanak.

Geran Langkah Pertama dimasukkan secara automatik ke dalam CDA dan simpanan berikutnya akan dipadankan oleh pemerintah sehingga had tertentu.

“Sudah lama kami cuba untuk membukanya. Tetapi proses dan aliran kerja sentiasa dikaitkan semula dengan ibu bapa kandung. Jadi jika ibu bapa kandung tidak proaktif dan tidak memberi kerjasama, ia akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan,” kata Mark.

Beliau menambah bahawa beliau mempunyai rancangan jangka panjang untuk membiayai kesihatan dan pendidikan kanak-kanak tersebut, dan dana dalam akaun CDA itu akan membantunya. Namun apabila Mark berjaya membuka akaun tersebut pada awal tahun ini, satu masalah baharu pula timbul.

Beliau berkata butiran akaun tersebut dihantar kepada ibu bapa kandung kanak-kanak itu, namun beliau tidak dapat mendapatkannya kerana mereka tidak “terlibat secara proaktif” dengan pegawai jagaan titipan untuk menyerahkan maklumat tersebut kepadanya.

“Jadi kami berada dalam situasi pelik di mana ibu bapa boleh menjejaskan masa depan jangka panjang kanak-kanak itu … Ibu bapa kandung dianggap tidak layak menjaga anak secara fizikal, tetapi pada masa yang sama mereka dianggap layak untuk menguruskan perkara lain berkaitan anak itu.”

MSF menyatakan pihaknya menyokong ibu bapa titipan dengan menyediakan elaun titipan bulanan antara S$1,100 hingga S$1,800, bergantung kepada usia dan keperluan kanak-kanak, bagi membantu menampung kos penjagaan anak dan perbelanjaan lain.

“Elaun titipan itu mengambil kira semua perbelanjaan berkaitan bagi menyokong kanak-kanak tersebut. Selain itu, anak titipan layak menerima subsidi jagaan kanak-kanak, pusat jagaan pelajar dan perubatan,” tambah kementerian itu.

Claire memberitahu Mediacorp bahawa beliau sebelum ini turut menghadapi kesukaran mengakses platform Parents Gateway milik anak titipannya, sebuah aplikasi pemerintah yang menghubungkan ibu bapa dengan sekolah menerusi borang persetujuan digital, pengumuman dan kegiatan sekolah.

“Saya berjaya mengaksesnya, tetapi pihak sekolah perlu memudahkannya, jika tidak ibu bapa titipan tidak boleh masuk,” kata beliau.

“Banyak maklumat disalurkan menerusi Parents Gateway, jadi anda perlukan akses ke platform itu,” tambahnya.

Claire menambah bahawa dalam keadaannya, ibu bapa kandung anak titipan itu masih kekal sebagai pihak utama bagi urusan sekolah. “Melainkan mereka dikeluarkan daripada kontak utama, surat-menyurat akan dihantar kepada mereka secara automatik.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita