Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa titipan ini kongsi pengalaman di rumah sendiri, galak lebih ramai sumbang bakti

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa titipan ini kongsi pengalaman di rumah sendiri, galak lebih ramai sumbang bakti

Ibu bapa titipan, Encik Abdul Malik dan isteri Cik Nur Khairina (kiri) kongsi pengalaman di rumah sendiri, galak lebih ramai sumbang bakti. (Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Sebelum mengambil keputusan menjadi ibu bapa titipan, Encik Abdul Malik, 49 tahun, dan isterinya Cik Nur Khairina, 47 tahun, sering mendengar kisah daripada orang sekeliling tentang pengalaman menjaga anak titipan.

Dorongan daripada rakan-rakan dan keluarga juga menjadi motivasi bagi mereka memulakan perjalanan sebagai ibu bapa titipan pada 2018.

"Ada kawan yang berkongsi ceritanya tentang anak titipan ini. Jadi dari situ, minatnya timbul dan kebetulan juga, mungkin beberapa bulan selepas itu, ada drama mengenai anak titipan. Saya juga ada dengar khutbah Jumaat. Jadi saya rasa (ini) masa yang amat sesuai. Mungkin sudah terpanggil rasanya dan dari situ, muncul motivasi kami," kongsi Encik Malik kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Gambar: PPIS Oasis

"Pengalaman memang ada pasang surutnya tetapi saya rasa gembira (melihat) anak (titipan) yang pertama itu dan apabila dia berusia dua minggu, masih segar dalam ingatan. Bila kita ke hospital untuk menerima bayi kecil dua minggu itu dan dari situ, sampai sekarang sudah enam tahun kita menjaganya," tambah beliau.

ANJURKAN SESI PERKONGSIAN DI RUMAH SENDIRI

Setelah 6 tahun, mereka pula 'membuka pintu rumah' untuk berkongsi pengalaman dan mendekati para individu yang berhasrat untuk menjadi ibu bapa titipan.

Sesi 'minum teh' yang diadakan pada Sabtu (12 Okt) di rumah mereka merupakan yang pertama untuk sesi sedemikian yang dikendalikan PPIS Oasis, dirancang dan diadakan di rumah ibu bapa titipan sendiri.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut mereka, ini bagi mewujudkan suasana yang lebih santai dan selesa bagi para peserta lain.

"Saya tahu yang masih ada anak titipan di luar sana yang memerlukan keluarga titipan. Jadi setelah kami menjadi keluarga titipan, kami rasa mungkin kami boleh membantu PPIS Oasis juga untuk menolong usaha mereka mendapatkan lebih banyak keluarga titipan. Jadi dari situ, kami teruskan untuk menjadi hos supaya terbuka hati mereka (peserta) untuk menjadi keluarga titipan," ujar Encik Malik.

"Memang kalau dapat satu keluarga yang ingin mendaftar pun sudah kira cukup, Alhamdulillah tetapi sekurang-kurangnya, dapat jugalah mereka tahu bagaimana dan apakah sistem keluarga titipan ini. Dengan suasana rumah ini, saya rasa lebih mesra dan lebih santai daripada sesi di luar sana. Mungkin soalan-soalan yang mereka malu untuk bertanya, mereka boleh bertanya dengan kami yang ada pengalaman ini," tambahnya.

PESERTA DAPAT CEDOK PENGALAMAN PERIBADI DARI IBU BAPA TITIPAN SENDIRI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Pekerja Sosial dari PPIS Oasis, Nur Hafizah Mustaza yang mengendalikan sesi itu berkata, "Peserta dapat mendengar pengalaman peribadi, misalnya ujian dan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa titipan kami dan mereka juga dapat mengajukan soalan kepada pekerja sosial seperti saya."

Dalam sesi itu, beliau juga berkongsi dengan para peserta antara sokongan yang disediakan untuk membantu para ibu bapa titipan.

"Ramai yang minat untuk menjadi ibu bapa titipan tetapi mereka rasa khuatir dan risau dan mereka ingat mereka harus menjadi seseorang yang luar biasa untuk menjadi ibu bapa titipan. Tetapi sebenarnya tidak. Mereka harus menjadi seorang yang penyayang, mengambil berat dan bersedia untuk menyediakan persekitaran rumah yang selamat untuk kanak-kanak ini," kongsi Cik Hafizah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Jadi di Oasis, pekerja sosial kami seperti saya, (akan) membantu ibu bapa titipan ini dari segi sokongan-sokongan seperti latihan, sesi induksi, bahan rujukan dan juga latihan-latihan yang lain untuk mempertingkatkan kemahiran mereka menjaga anak-anak titipan," tambah beliau.

SESI PERKONGSIAN 'SANTAI' DIALU-ALUKAN PESERTA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Perkongsian sebegitu didapati bermanfaat bagi salah seorang peserta, Nurejah Rabian, 57 tahun.

Baginya, proses itu penting untuk dirinya mendengar sendiri pengalaman dan realiti menjadi keluarga titipan.

"Ia memberi saya peluang untuk mendengar dengan teliti dan belajar daripada ibu titipan ini, apa pendapat dan pandangan mereka mengasuh budak-budak ini, yang lebih mendalami erti bagaimana untuk menjaga dan memberi anak-anak ini kasih sayang yang sempurna," kongsi Cik Nurejah.

Gambar: PPIS Oasis

Tujuh peserta itu juga dapat mengetahui antara sokongan yang disediakan buat keluarga titipan.

Ini termasuk bantuan kewangan serta program-program yang disediakan untuk membantu mereka mempertingkat kemahiran dalam menjaga anak titipan itu.

Sebelum ini, sesi perkongsian ibu bapa titipan lazimnya diadakan di masjid, Pusat Oasis PPIS atau secara online.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan