Ibu bapa sanggup minta bantuan orang untuk mengajarnya, kini Raja Shahridah penerima Anugerah Guru Penyayang
SINGAPURA: Seramai 10 guru dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Penyayang (CTA) 2026 pada Jumaat (21 Ogos).
Mereka dipilih daripada lebih 18,000 pencalonan yang diterima tahun ini.
Jumlah pencalonan itu pula merupakan peningkatan hampir 40 peratus berbanding edisi sebelum ini.
Empat orang guru menerima Anugerah Peringkat Nasional, manakala enam lagi menerima Anugerah Kepujian Nasional.
Mereka menerima anugerah itu daripada Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Syed Harun Alhabsyi, di Sekolah Perempuan Raffles.
Antara penerima Anugerah Peringkat Nasional ialah Cik Raja Shahridah dari Sekolah Menengah Beatty, yang pengalaman hidupnya sendiri membentuk pendekatannya dalam mendampingi pelajar.
KEPERCAYAAN PELAJAR DIBINA DENGAN SABAR
Di Sekolah Menengah Beatty, kepercayaan menjadi asas hubungan Cik Shahridah dengan para pelajar.
Beliau berkongsi kejadian seorang pelajar akhirnya memberanikan diri untuk berkongsi tentang penderaan yang dialaminya di rumah selepas berbulan-bulan hubungan dan kepercayaan dibina.
Cik Shahridah kemudian bekerjasama dengan pihak sekolah dan agensi berkaitan untuk membantu pelajar itu serta adik-beradiknya berpindah ke persekitaran yang lebih selamat.
Pelajar tersebut kini memegang peranan kepimpinan di tempat kediamannya.
"Kepercayaan adalah sesuatu yang kita harus bina sikit demi sedikit. Saya ambil masa untuk memahami urusan murid saya. Lebih mendengar daripada membuat sebarang kesimpulan," kongsinya.
"Saya akan terus tegas dengan mereka sekiranya mereka membuat silap tetapi saya juga tidak mahu mereka berputus asa sekiranya mereka dah buat kesilapan. Dari situlah mereka boleh rasa selamat dan mereka rasa mereka boleh meluahkan apa-apa," katanya.
BINA KEYAKINAN MURID MENERUSI KELAS MASAKAN
Keprihatinan Cik Shahridah turut diterapkan dalam kelas Sains Makanannya.
Menerusi siri 'Cooking Sense', sesi memasak dan menikmati hidangan bersama berkembang menjadi pertemuan mingguan yang memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi, membina hubungan dan keyakinan diri.
Sepanjang 13 tahun bergelar guru, antara detik paling bermakna bagi Cik Shahridah adalah apabila melihat pelajarnya mula yakin akan kemampuan diri sendiri.
"Salah satu ayat yang saya suka ialah mereka mula percaya diri di mana mereka cakap, 'Cikgu, saya mampu buat.' Itu ayat-ayat yang sangat bermakna untuk saya," katanya.
PENGORBANAN IBU BAPA BENTUK NILAI SEORANG GURU
Membesar dalam keluarga serba sederhana, Cik Shahridah tidak mengikuti kelas-kelas tadika dan hanya mula membaca semasa di Darjah Dua.
Menurut Cik Shahridah, kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mempunyai pendidikan formal yang terhad.
Namun, mereka tidak pernah membiarkan kekurangan itu menghalang usaha membantu anak mereka dalam pelajaran.
Cik Shahridah berkongsi kisah sesekali makan luar pada hujung minggu bersama ibu bapanya, mereka sanggup mendekati pelajar politeknik atau maktab rendah di meja berdekatan untuk meminta bantuan mengajarnya membuat kerja sekolah.
"Saya belajar apa erti pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran. Jadi daripada itu saya belajar nilai-nilai itu dan saya cuba wujudkan dalam anak murid saya," kongsi Cik Shahridah kepada wartawan Fatyn Abdul Samad.
Beliau percaya di sebalik setiap tingkah laku pelajar, sama ada di dalam atau luar bilik darjah, mungkin ada kisah yang belum diketahui seorang guru.
Justeru, beliau memilih untuk lebih banyak mendengar sebelum membuat kesimpulan.
Berikut adalah senarai penuh penerima Anugerah Guru Penyayang dan penerima Anugerah Pujian.
Anugerah Peringkat Nasional:
1) Chan Sew Yoon - Sekolah Rendah Fairfield Methodist
2) Felix Yeoh Sin Hui - Sekolah Menengah Woodlands Ring
3) Raja Sharidah - Sekolah Menengah Beatty
4) Shyamsuraj Yadav - Sekolah Perempuan Tanjong Katong
Anugerah Pujian:
1) Wong Jin Chang - Maktab Rendah Tampines Meridian
2) William Chua Wee Lian - Maktab Rendah Anderson Serangoon
3) Matthew Yeo Chip Kheong - Sekolah Rendah Hougang
4) Tan-Tan Mei Ching - Sekolah Rendah Jurong West
5) Audrey Chia - Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas
6) Loh Beng Hua - Sekolah Ai Tong
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.