Ibu bapa remaja radikal dedah rasa kesal, sedih, terhadap laluan memesongkan anak ke arah ekstremisme
Ketika Cik Rafeah melihat anak remajanya Aakeel menonton video perang ganas di YouTube menggunakan komputer riba kakaknya, beliau tidak menegurnya kerana terfikir apa-apa akan berlaku kepada anaknya itu.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Ketika Cik Rafeah melihat anak remajanya Aakeel menonton video perang ganas di YouTube menggunakan komputer riba kakaknya, beliau tidak menegurnya kerana tidak terfikir apa-apa akan berlaku kepada anaknya itu.
Beliau kemudian mendapati Aakeel mula mengumpul artikel berita mengenai kumpulan pengganas dan menampalnya di dalam pintu almari pakaiannya.
"Apabila saya bersemuka dengannya, dia mendakwa dia berbuat demikian sekadar suka-suka sahaja. Saya segera memintanya membuang artikel itu dan menasihatkannya supaya tidak terlibat dengan kumpulan pengganas seperti itu... Saya percayakan Aakeel. Dia akan dengar kata-kata saya kerana dia sudah dewasa,” kata Cik Rafeah.
Tidak pernah terlintas di fikiran Cik Rafeah bahawa anaknya itu benar-benar menyimpan aspirasi untuk menyertai kumpulan pengganas di luar negara.
“Saya fikir ia adalah suatu perkara biasa kerana remaja lelaki pada usianya gemar menonton video sedemikian (mengenai peperangan). Tidak terlintas di fikiran saya ketika itu untuk bertanya mengapa dia tekun mengikuti mereka,” kata ibu kepada tiga anak yang berusia lewat 40-an itu.
Beliau terima kejutan pada 2017, apabila Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengeluarkan perintah sekatan terhadap Aakeel di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Cik Rafeah adalah salah seorang daripada tiga ibu bapa kepada belia yang dahulunya radikal dan merupakan orang pertama bercakap secara terbuka dari perspektif mereka tentang anak-anak mereka yang terjerumus ke arah fahaman ekstremisme ganas, dan peranan yang mereka mainkan dalam proses pemulihan yang panjang lebar.
Anak-anak mereka telah ditemu bual secara berasingan oleh media Singapura dengan ISD memberikan akses yang jarang dilakukan, berikutan beberapa kes radikalisasi belia baru-baru ini.
Untuk melindungi identiti mereka, kesemuanya diberi nama samaran manakala maklumat lain, seperti pekerjaan dan umur tepat mereka, tidak didedahkan.
"Sebagai seorang ibu, saya sangat sedih dan terkejut kerana Aakeel sedang disiasat oleh pihak berkuasa," kata Cik Rafeah mengenai reaksinya apabila Aakeel diberi perintah sekatan.
"Sangat memeritkan hati apabila mengetahui anak anda sedang disiasat."
Namun begitu, beliau diberi jaminan oleh pegawai ISD bahawa anaknya akan dijaga dengan baik.
Perasaan yang sama dilalui Cik Aishah,seorang lagi ibu kepada remaja radikal, apabila anaknya, Hamzah, ditahan oleh ISD selama sekitar dua tahun.
Cik Aishah berkata, beliau juga berasa amat terkejut apabila mendapat tahu hasrat anaknya untuk ke Syria bagi menyertai ISIS. "Saya benar-benar terkejut dan tidak percaya. Saya juga sangat kecewa," katanya.
"Saya diberitahu oleh beberapa saudara saya bahawa dalam tahanan, mereka akan dianiaya dan diseksa," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak rasa tenang disebabkan perkara tersebut.
Bagaimanapun, seperti keluarga lain, Cik Aishah turut diberi jaminan oleh pegawai ISD yang menjelaskan proses pemulihan kepadanya.
Beliau akhirnya sedar kebimbangan awalnya tidak berasas sama sekali selepas melawat Hamzah semasa dalam tahanan.
MENYESAL TERLEPAS PANDANG TANDA-TANDA AMARAN
Ibu bapa remaja itu juga bercakap tentang rasa kesal mereka kerana tidak mengesan tanda-tanda awal anak-anak mereka menjadi radikal.
Cik Aishah berkata, beliau tidak melihat sebarang perubahan dalam tingkah laku anaknya Hamzah, walaupun dia telah menonton lebih 500 video pendakwah fahaman pelampau dan propaganda ISIS.
Justeru, beliau amat terkejut apabila Hamzah, memberitahunya dia ingin pergi ke Syria untuk menyertai ISIS.
Ibu Aakeel, pula berkata beliau sepatutnya sedar sesuatu yang tidak kena dengan tabiat anaknya menonton video perang di YouTube dan menampal artikel berkaitan ISIS di pintu almari pakaiannya.
Beliau memberitahu media bahawa anaknya pernah menjadi mangsa kejadian buli di sekolah, dan beliau tidak percaya anaknya itu akan pergi ke negara lain untuk menyertai kumpulan pengganas.
“Dia tidak pernah menyebut hasratnya untuk pergi ke luar negara untuk menyertai ISIS. Saya tidak perasan apa-apa perubahan mendadak dalam tingkah lakunya yang akan menimbulkan syak wasangka bahawa dia radikal."
Seorang lagi bekas remaja yang menjadi radikal, Saad, memberitahu pemberita walaupun dia rapat dengan keluarganya, mereka tidak menyedari dia menjadi radikal secara sendiri selama dua tahun, kerana dia tidak memberitahu mereka tentang pandangan radikalnya.
Ibunya menarik diri daripada bercakap dengan media pada saat-saat akhir.
Meskipun tujuh tahun telah berlalu sejak dia dikeluarkan perintah sekatan, Saad masih ingat bagaimana ibunya menerima berita itu ketika itu.
“Kecewa. Kecewa,” kata Saad sayu.
Dia masih ingat ibunya tidak banyak bercakap ketika itu dan sekadar menangis.
SISTEM SOKONGAN KUAT
Satu perkara yang dikongsi semua keluarga itu ialah bagaimana mereka dapat mengetepikan kekecewaan mereka untuk memberi tumpuan kepada menyokong anak-anak mereka dalam mereka menjalani pemulihan.
Meskipun keluarga Aakeel terkejut dengan fahaman radikalnya, Cik Rafeah berkata mereka "sedar bahawa mereka harus membantunya faham bahawa niatnya itu salah". Jadi, keluarga itu bekerjasama dengan ISD untuk membantu Aakeel dalam hal tersebut.
"Aakeel mendapat sokongan kuat daripada kakak sulungnya, yang amat rapat dengannya," kata Cik Rafeah.
"Dia juga menggalakkan dan berjaya mendaftarkan Aakeel dalam kursus diploma di sekolahnya, supaya dia dapat tengok-tengokkan Aakeel."
Keluarga dan kaunselor agama yang bercakap dengan Mediacorp juga menekankan tentang peri pentingnya peranan keluarga untuk membendung penyebaran ideologi pelampau dan dalam membantu proses pemulihan sekiranya seseorang belia menjadi radikal.
Ustaz Ziyaudeen Ahmed Sirajuddeen, seorang kaunselor agama yang membantu Aakeel berkata, untuk menentang fahaman ekstreme, adalah penting bagi keluarga untuk menyampaikan ilmu agama yang betul kepada anak-anak mereka dari peringkat awal.
"Anda harus beri mereka ilmu yang betul atau mereka akan mendapat sendiri maklumat yang salah," kata Ustaz Ziyaudeen, yang juga pelajar PhD di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.