Ibu bapa remaja maut di Maldives masih belum terima laporan lengkap tentang kematian anak mereka
Lapan bulan selepas kematian anak perempuan mereka semasa lawatan sekolah ke Maldives, ibu bapa Jenna Chan yang berusia 15 tahun berkata mereka masih menunggu jawapan.
Dari kiri ke kanan: Encik Alan Chan, Dr Jennifer Liauw, anak mereka Jenna yang meninggal dunia semasa rombongan sekolah SJI International ke Maldives pada November 2024, dan kakaknya, Alice. (Gambar: Jennifer Liauw)
Jenna, pelajar St Joseph's Institution International (SJII), meninggal dunia semasa ekspedisi Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan pada 8 Nov. Menurut akhbar Maldives, Edition, Jenna maut terkena kipas bot yang sedang berundur semasa snorkeling berhampiran Pulau Dhigurah di Alifu Dhaalu Atoll.
Ibu bapanya berkata mereka tidak banyak mendengar perkembangan sama ada daripada pihak berkuasa Maldives atau SJII. Pihak sekolah, bagaimanapun, menegaskan bahawa ia telah melakukan usaha yang meluas untuk mengumpul maklumat tentang apa yang berlaku.
Dalam responsnya kepada Mediacorp pada Rabu (16 Jul), Ketua Pegawai Eksekutif SJII Michael Johnston berkata sekolah itu tidak menerima sebarang maklumat atau dokumen daripada pihak berkuasa Maldives mengenai siasatan mereka, walaupun permintaan sudah berulang kali dikemukakan.
Beliau menambah bahawa sekolah itu juga tidak mempunyai akses kepada bukti daripada kru bot Maldives atau kakitangan daripada Program Penyelidikan Jerung Paus Maldives (MWSRP), penyedia khidmat yang menguruskan perjalanan itu.
"Sehingga MWSRP memberikan akses kepada pihak sekolah, atau Perkhidmatan Polis Maldives mengeluarkan laporan mengenai kejadian itu, pihak sekolah tidak mempunyai gambaran lengkap tentang apa yang berlaku," katanya.
Dr Johnston berkata SJII telah menghubungi keluarga Jenna beberapa kali tetapi juga "berhati-hati terhadap perasaan mereka" dan ia menghormati dan bersikap sensitif dalam semua bentuk interaksi.
"Saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa kami tidak henti-henti dalam usaha kami untuk mengumpulkan satu laporan penuh tentang apa yang telah berlaku," tambahnya.
Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan pada Selasa bahawa ia tidak akan menyiasat cara SJII menangani insiden itu, dengan alasan ia mematuhi protokol keselamatan perjalanan ke luar negara. MOE juga menyatakan bahawa SJII, sebagai sekolah yang dibiayai secara privet, beroperasi secara bebas daripada sistem pendidikan aliran utama.
MENCARI JAWAPAN YANG MEMILUKAN
Ibu bapa Jenna memberitahu Mediacorp bahawa mereka masih tidak mempunyai penjelasan rasmi tentang bagaimana anak mereka meninggal dunia atau siapa yang mungkin bertanggungjawab. Merasakan mereka tiada pilihan, mereka memulakan siasatan mereka sendiri.
Ibu Jenna, Dr Jennifer Liauw, berkata sesetengah usaha pihak sekolah lebih tertumpu kepada peringatan daripada mencari jawapan.
"Mereka bercakap tentang buku peringatan, tetapi saya mahukan laporan (hasil siasatan). Saya tidak peduli dengan semua kata-kata ini, saya perlu tahu apa yang berlaku pada anak saya," kata Dr Liauw, 54.
Keluarga itu melancarkan laman web, Justice for Jenna, yang merangkumi video yang menggariskan perkara yang mereka percaya berlaku dan senarai soalan yang masih belum terjawab.
Pada bulan April, bapa Jenna, Encik Alan Chan, pergi ke Maldives untuk mencari jawapan. Di sana, bapa berusia 59 tahun itu mendapatkan beberapa imbasan CT yang memperincikan kecederaan Jenna tetapi berkata beliau tidak menerima maklumat terkini daripada polis tentang bagaimana siasatan berjalan.
Pada Mei lalu, para pegawai dari Perkhidmatan Polis Maldives terbang ke Singapura untuk menemu bual empat pelajar dan seorang guru yang turut serta dalam lawatan itu. Dr Johnston mengesahkan bahawa SJII menguruskan temu bual itu.
“Memandangkan insiden itu berlaku di Maldives, bidang kuasa penyiasatan terletak di tangan pihak berkuasa Maldives, dan Perkhidmatan Polis Maldives masih menjalankan siasatannya,” kata Dr Johnston.
Encik Chan juga telah menghubungi agensi-agensi Singapura, termasuk Kementerian Ehwal Luar (MFA), tetapi berkata ini tidak membantu usahanya untuk mendapatkan maklumat.
Sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp yang diajukan kepada beberapa agensi pemerintah termasuk MFA dan Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa pemerintah Singapura telah berhubung dengan keluarga itu sejak kejadian tersebut dan memberikan sokongan, "dalam lingkungan undang-undang dan peraturan kami".
Jurucakap MOE mengulangi bahawa pihak berkuasa Singapura tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk menyiasat insiden yang berlaku di luar negara.
"Walau bagaimanapun, SPF telah memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Maldives yang mempunyai tanggungjawab dan bidang kuasa utama ke atas kes itu."
Mediacorp juga telah membuat percubaan berulang kali untuk menghubungi Perkhidmatan Polis Maldives untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Panggilan ke talian utama yang disenaraikan di laman web agensi tersebut telah dijawab oleh pengendali, yang mengesahkan bahawa pertanyaan melalui kiriman emel Mediacorp telah diterima. Pengendali itu berkata kes tersebut dikendalikan oleh jabatan berasingan dan dinasihatkan supaya menghubungi mereka secara langsung.
Walau bagaimanapun, panggilan berulang ke jabatan itu tidak dijawab. Percubaan susulan untuk menghubungi talian utama telah diputuskan sambungannya.
SIASATAN DALAMAN YANG DIJALANKAN OLEH PIHAK SEKOLAH
Encik Chan berkata bahawa pada hari-hari selepas kematian Jenna, pihak sekolah mengumpul kenyataan daripada pelajar yang telah menyertai lawatan itu. Bagaimanapun, beliau berkata SJII pada mulanya menangguhkan perkongsian maklumat tersebut dengan keluarga Jenna.
"Mereka cuba (mengelak) dengan berkata bahawa ia adalah perkara undang-undang di bawah penyiasatan polis ... mereka menggunakan alasan itu sejak sekiam lama," kata Encik Chan.
Dr Johnston berkata jawatankuasa kecil lembaga ditubuhkan untuk mengkaji semula protokol ekspedisi luar negara sekolah itu sejurus selepas kejadian tersebut.
“Semakan ini tidak boleh diselesaikan sepenuhnya sehingga siasatan daripada pihak berkuasa Maldives selesai dan dikongsi dengan kami,” katanya.
Encik Chan berkata beliau dan Dr Liauw juga meminta bantuan daripada Anggota Parlimen mereka untuk GRC Holland-Bukit Timah, Sim Ann, yang campur tangan bagi pihak mereka.
Cik Sim mengesahkan bahawa beliau telah "membuat perwakilan kepada pihak-pihak yang relevan" dan menyampaikan tawaran sekolah untuk bertemu ibu bapa Jenna. Beliau juga melawat SJII bersama Menteri Negara Pendidikan Jasmin Lau untuk menyampaikan permintaan ibu bapa Jenna untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Selepas pertemuan itu, Encik Chan berkata pihak sekolah mengatur sesi untuk pasangan itu menyemak kenyataan para pelajar dan menerima maklumat terkini mengenai siasatan dalaman sekolah. Dr Liauw berkata mereka menolak tawaran itu.
Beliau menyifatkannya sebagai "tidak boleh diterima" kerana tawaran itu hanya dikemukakan lapan bulan selepas kematian anak perempuan mereka.
Cik Sim, yang juga Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, berkata rakan-rakan sekerja MFA telah memberikan sokongan konsular kepada keluarga Jenna dan terus berhubung dengan pihak berkuasa Maldives.
“MFA sentiasa berusaha untuk berbuat demikian, mengikut kemampuan kami, setiap kali rakyat Singapura menghadapi masalah atau tragedi di luar negara,” katanya.
SEKOLAH AKAN MENERUSKAN LAWATAN KE LUAR NEGARA
Keluarga itu berkata mereka kecewa apabila mengetahui bahawa SJII merancang untuk meneruskan ekspedisi ke luar negara walaupun siasatan terhadap kematian Jenna masih tidak lengkap.
Dr Liauw berkata beliau "masih sabar menunggu" walaupun mendapat tahu pada Mei bahawa sekolah itu telah mengumumkan lawatan baharu ke luar negara.
Satu slaid menyenaraikan sembilan ekspedisi yang dijadualkan pada November - termasuk berkayak di Langkawi, ekspedisi Himalaya di India dan program menunggang kuda di Australia - yang dilihat oleh Mediacorp.
Walaupun pihak sekolah telah menghubunginya sebelum pengumuman itu, Dr Liauw berkata beliau kecewa keputusan itu telah dibuat sebelum siasatan selesai.
"Seolah-olah dia (Jenna) tidak pernah wujud, itulah yang saya rasakan," kata Dr Liauw.
Dr Johnston menjawab bahawa pendidikan luar darjah dan luar negara telah menjadi bahagian teras kurikulum SJII sejak sekolah itu diasaskan dan kekal penting untuk pembangunan holistik pelajar.
"Kami boleh mengesahkan bahawa ekspedisi luar telah disambung semula tetapi sekolah telah menghentikan semua ekspedisi ke Maldives," katanya.
Beliau menambah bahawa SJII menjalankan "semakan yang rapi dan berterusan" terhadap rakan kongsi ekspedisi dan struktur programnya.
"PERJUANGAN INI BUKAN UNTUK KITA SAHAJA"
Bagi ibu bapa Jenna, perjuangan untuk mendapatkan jawapan bukan sekadar untuk mengetahui punca kematian anak mereka.
"Pada peringkat peribadi, kami akan mengatakan Jenna tidak boleh mati secara sia-sia," kata Encik Chan. "Tetapi pada tahap yang lebih ke peringkat masyarakat, kami ingin memastikan bahawa jika terdapat kelemahan pada peraturan, pada dasarnya untuk menghalang perkara ini daripada berlaku kepada orang lain pada masa hadapan."
Dr Liauw berkata anak perempuannya pasti mahu rakan-rakannya selamat - dan itulah yang mendorongnya untuk terus menuntut kebertanggungjawaban.
"Anak perempuan saya, dia menyayangi rakan-rakannya dan dia tidak akan mahu rakan-rakannya berada dalam bahaya," katanya.
"Perjuangan ini bukan untuk kami ... Saya memperjuangkannya kerana apa yang berlaku ini salah. Tiada keluarga yang mahu melaluinya."
Sejak kejadian itu, Dr Liauw terpaksa mengurangkan beban kerjanya sebagai pakar bedah usus disebabkan oleh tekanan emosi.
"Jenna suka makan malam bersama kami, dia sering bertanya kepada saya apa untuk makan malam," kata Dr Liauw dengan sebak.
Beliau menambah bahawa Jenna bercita-cita menjadi seorang pakar geriatrik - cita-cita yang dia fikir jarang berlaku dan luar biasa untuk seseorang yang begitu muda.
"Saya boleh memberitahu anda secara jujur bahawa pada hari dia (Jenna) mati, kami pun mati sama."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.