Skip to main content

Singapura

Ibu bapa, pelajar terkejut peraturan ketat vape di sekolah; belia mungkin cari alternatif elak dikesan

Tindakan tegas pemerintah terhadap vape di sekolah mengejutkan ibu bapa dan pelajar, dengan ramai menyuarakan kebimbangan tentang betapa kerasnya langkah baharu itu - dan sama ada ia benar-benar berkesan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa, pelajar terkejut peraturan ketat vape di sekolah; belia mungkin cari alternatif elak dikesan

Seorang remaja dengan peranti vape. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Tindakan tegas pemerintah terhadap vape di sekolah mengejutkan ibu bapa dan pelajar, dengan ramai menyuarakan kebimbangan tentang betapa kerasnya langkah baharu itu - dan sama ada ia benar-benar berkesan.

“Reaksi pertama saya terhadap berita mengenai kit ujian nikotin dan pengesan logam di sekolah adalah rasa terkejut dan sedih,” kata seorang bapa dengan dua orang anak, Aylwin Lam.

“Ia mengecewakan apabila isu vape sudah sampai ke tahap yang memerlukan langkah drastik sebegini.”

Pengarah jualan serantau berusia 48 tahun itu menambah: “Ia terasa seolah-olah kita menjadikan sekolah sebagai zon keselamatan tinggi dan bukan lagi tempat pembelajaran, yang mencerminkan keadaan semasa yang menyedihkan.”

Pada Khamis lalu (28 Ogos), Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan bahawa kira-kira 260 sekolah sudah menerima kit ujian nikotin sejak Mac.

Beberapa sekolah juga menggunakan pengesan logam dan menggalak “budaya keprihatinan dalam kalangan rakan sebaya”, di mana para pelajar digalakkan melaporkan rakan sekelas mereka yang menghisap vape.

Langkah itu menyusuli peningkatan mendadak dalam kes melibatkan vape, dengan sekolah melaporkan purata 3,100 kes setahun dan institut pengajian tinggi (IHL) mencatat 800 kes setahun antara 2022 dan 2024.

Sebagai perbandingan, kurang daripada 50 kes sedemikian dilaporkan setiap tahun sebelum 2020.

Encik Lam, yang mempunyai dua anak berusia 13 dan 11 tahun, berkata anak-anaknya tidak pernah menemui sesiapa yang menghisap vape di sekolah mereka.

Walaupun beliau akur mengenai hasrat pemerintah, beliau mempersoalkan keberkesanan jangka panjang langkah tersebut.

“Ia mungkin bertindak sebagai pencegahan bagi sesetengah pelajar, tetapi ia tidak menangani punca utama mengapa pelajar menghisap vape, seperti pemasaran bersasar, pengaruh rakan sebaya dan kurangnya kesedaran tentang risiko kesihatan yang serius,” kata beliau.

“Kita perlukan lebih banyak tumpuan terhadap pendidikan dan sokongan, bukan hanya tindakan yang bersifat menghukum.”

AKSES KEPADA VAPE

Dalam menjawab pertanyaan, MOE menyatakan bahawa ujian nikotin digunakan apabila terdapat pelajar yang disyaki menghisap vape, namun enggan mengaku berbuat demikian.

Pihak sekolah juga akan melibatkan para ibu bapa pelajar, sama seperti langkah disiplin yang lain.

Memandangkan vape sudah menjadi “kebimbangan masyarakat”, pihak sekolah sedang meneliti kaedah untuk mengesan peranti tersebut dengan lebih berkesan.

Sesetengah sekolah juga sudah membeli pengesan logam bagi membantu usaha tersebut, menurut kementerian itu.

IHL belum menggunakan pengesan logam, walaupun ada yang mencuba penggunaan sensor pengesan vape.

Keberkesanannya juga perlu dipastikan sebelum ia digunakan secara meluas, tambah MOE.

Menteri Pendidikan Desmond Lee turut menggariskan langkah disiplin lebih tegas yang akan dikenakan ke atas pelajar yang ditangkap menghisap vape.

Pesalah kali pertama boleh dikenakan tahanan (detention) sehingga tiga hari dan/atau digantung sekolah, selain pengubahsuaian gred kelakuan. Pelajar lelaki juga boleh dirotan sebanyak satu kali.

Pesalah berulang pula boleh dikenakan tahanan sehingga 14 hari dan/atau digantung sekolah, dan sehingga tiga sebatan rotan.

Hukuman lebih berat boleh dikenakan ke atas mereka yang ditangkap menghisap vape yang mengandungi etomidate, yang dikenali sebagai Kpod.

Di IHL, tindakan disiplin boleh merangkumi peluang kepimpinan, pertukaran pelajar ke luar negara atau biasiswa yang ditarik balik, pengusiran dari asrama universiti serta denda atau khidmat masyarakat.

Namun, ibu bapa bimbang penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi.

Encik Aaron Koh, yang mempunyai anak lelaki berusia 17 tahun di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), berkata bahawa vape boleh dibeli secara online dengan begitu mudah.

Walaupun beliau menyokong penguatkuasaan ketat di sekolah, Encik Koh memberi amaran, langkah baharu itu mungkin mendorong pelajar untuk mencari cara baharu untuk menyembunyikan peranti mereka.

“Walaupun saya fikir pengesan logam agak berlebihan, ia tetap satu langkah yang baik,” katanya.

“Cabarannya sekarang ialah mereka mungkin menghisap vape di luar, atau di rumah.”

ADAKAH PELAJAR AKAN LAPORKAN RAKAN MEREKA?

Para pelajar juga terkejut dengan ketegasan langkah yang diambil, namun seorang pelajar Menengah 3, Bidelia Lai, berkata beliau tidak akan melaporkan rakannya jika mereka menghisap vape.

Pelajar berusia 15 tahun itu juga tidak pasti sama ada dia akan menegur mereka.

“Ia tidak menjejas saya, jadi saya tidak kisah selagi saya tidak menghidu baunya semasa kelas,” katanya, sambil menambah adanya khabar angin bahawa dua pelajar dari sekolahnya ditangkap menghisap vape di tandas sekolah oleh pengetua beberapa bulan lalu.

Beliau juga tidak yakin bahawa penguatkuasaan lebih ketat akan dapat menghentikan para pelajar daripada menghisap vape sepenuhnya.

Sebaliknya, ia mungkin mendorong mereka untuk menyembunyikan tabiat tersebut dengan lebih berhati-hati, katanya.

Pelajar Menengah 1, Lucas Chung, berkata ada pelajar yang menyimpan peranti vape dalam poket atau menggunakannya di tandas.

Beberapa orang sudah ditangkap di sekolah.

“Ada pelajar yang hampir diberkas, polis muncul di sekolah,” kata pelajar berusia 12 tahun itu.

Selepas guru memberi amaran tentang risiko kesihatan dan undang-undang, serta melihat hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang ditangkap, sebilangan rakannya berhenti menghisap vape, kata Lucas.

Beliau menambah bahawa beliau sendiri belum pernah melihat rakannya menghisap vape, jadi tidak pernah melaporkan sebarang kejadian seumpama itu.

Walaupun beliau percaya bahawa vape adalah salah, beliau bagaimanapun tidak menegur rakan-rakan yang masih mengamalkannya.

“Saya tidak mahu suasana jadi janggal (antara kami),” kata pelajar itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita