Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa mahasiswa Yale-NUS ulangi gesaan adakan perbincangan maya dengan presiden NUS

Ibu bapa kepada mahasiswa dan alumni Kolej Yale-NUS mengulangi gesaan supaya mengadakan satu mesyuarat bagi perbincangan maya bersama Presiden NUS Tan Eng Chye untuk menangani keprihatinan berhubung keputusan menggabungkan kolej tersebut dengan Program Sarjana Universiti (US). 

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa mahasiswa Yale-NUS ulangi gesaan adakan perbincangan maya dengan presiden NUS

Kolej Yale-NUS. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 09 Sep 2021 01:13PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 01:15PM

SINGAPURA: Ibu bapa kepada mahasiswa dan alumni Kolej Yale-NUS mengulangi gesaan supaya mengadakan satu mesyuarat bagi perbincangan maya bersama Presiden Universiti Nasional Singapura (NUS) Tan Eng Chye untuk menangani keprihatinan berhubung keputusan menggabungkan kolej tersebut dengan Program Sarjana Universiti (USP).

Ini dibuat menyusuli permintaan sebelum ini, menerusi kiriman emel kepada Prof Tan pada Isnin (6 Sep), yang menggesa agar mesyuarat bagi satu perbincangan diadakan.

Dalam respons kepada emel awal itu, Prof Tan pada Selasa (7 Sep) menyatakan bahawa universiti itu sedang "merancang beberapa mesyuarat perseorangan secara bersua muka bagi ibu bapa kepada mahasiswa Yale-NUS dan Program Sarjana Universiti mulai hujung September untuk menangani keprihatinan serta soalan ini".

Para ibu bapa itu kemudian mengirimkan satu lagi emel pada Rabu (8 Sep) untuk mengulangi permintaan mereka agar satu mesyuarat perbincangan diadakan mengikut "format dialog biasa" sekolah tersebut. Dalam emel itu, mereka meminta perbincangan tersebut diadakan pada Jumaat (10 Sep).

Kedua-dua emel itu ditandatangani oleh lebih 260 ibu bapa.

Mediacorp sudahpun melihat emel-emel para ibu bapa itu kepada Prof Tan serta jawapan daripada profesor itu kepada kiriman emel pertama.

'SOALAN BERKAITAN, PENTING' KEKAL TIDAK BERJAWAB

Dalam emel awal kepada Profesor Tan, ibu bapa meminta profesor itu meluangkan masa bagi satu perbincangan untuk menjawab "soalan-soalan penting dan bersangkut-paut" penutupan yang bakal berlaku ke atas Yale-NUS. Ini kerana semua soalan itu "kekal tidak berjawab sejak keputusan tersebut diumumkan" pada 27 Ogos.

Emel itu juga menukil rencana berita yang diterbitkan di dalam Straits Times, yang menyatakan seorang jurucakap NUS mendakwa universiti itu "sedang bekerjasama rapat dengan fakulti, mahasiswa, kakitangan serta alumni Yale-NUS dan USP" untuk menangani keprihatinan mereka.

Ibu bapa berkata mereka mendapati dakwaan itu sebagai "mengejutkan".

"Tiada usaha untuk mendampingi pihak berkepentingan utama seperti mahasiswa dan alumni, atau kami, ibu bapa - yang juga pihak berkepentingan dari segi peranan kami dalam membiayai institusi pendidikan dan selaku penjaga serta sistem sokongan para mahasiswa yang menuntut di sana," ujar mereka.

"Dakwaan bahawa pendampingan dijalankan secara aktif itu sangat bercanggah dengan pengalaman kami dalam usaha untuk melibatkan NUS dalam perbincangan mengenai penutupan Yale-NUS sejauh ini."

Para ibu bapa itu berkata mereka menerima undangan menerusi kiriman emel pada 30 Ogos untuk mengikuti satu perbincangan bersama pihak kepimpinan Yale-NUS pada 2 September tetapi acara itu hanya akan dihadiri oleh kepimpinan kanan Yale-NUS "tanpa kehadiran pentadbiran NUS".

Semasa perbincangan pada 2 September, kepimpinan Yale-NUS "hanya mampu memberi jawapan sangat terhad kepada soalan-soalan kami", kata para ibu bapa itu.

Mereka menambah apabila ibu bapa meminta "ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi soalan-soalan asas" berhubung penutupan Yale-NUS, mereka tidak menerima jawapan memuaskan daripada Presiden Yale-NUS Tan Tai Yong, Naib Presiden Eksekutif Joanne Roberts serta Naib Presiden Trisha Craig.

Dalam respons emel pada Selasa (7 Sep), Profesor Tan berkata beliau amat memahami keprihatinan ibu bapa tentang penggabungan itu.

Beliau menambah NUS bekerjasama dengan kepimpinan Yale-NUS dan USP untuk menangani keprihatinan itu. Namun, beliau menarik perhatian bahawa mungkin masih ada beberapa lagi soalan dan NUS "bersedia menyediakan peluang lanjut untuk ibu bapa membangkitkannya".

"Disebabkan sekatan COVID-19 sedia ada, ini perlu diaturkan dalam kumpulan-kumpulan kecil."

Dalam respons kepada jawapan daripada Profesor Tan itu, para ibu bapa mengulangi permintaan mereka agar satu perbincangan secara maya diadakan menerusi kiriman emel susulan pada Rabu. Namun kali ini, mereka meminta ia dijadualkan pada 7.00 malam, 10 September.

Para ibu bapa itu menolak cadangan Profesor Tan untuk berjumpa mereka secara fizikal dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa