Skip to main content

Singapura

Ibu bapa luah rasa kecewa terhadap jadual pembelajaran di rumah selepas pusat tuisyen gantung kelas

Sesetengah ibu bapa meluahkan rasa kecewa terhadap jadual dan aturan kelas baru oleh beberapa pusat tuisyen selepas kelas-kelas tuisyen dan kelas-kelas pengayaan digantung pada Selasa (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa luah rasa kecewa terhadap jadual pembelajaran di rumah selepas pusat tuisyen gantung kelas

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 29 Mar 2020 06:48PM Dikemas Kini : 29 Mar 2020 06:52PM

SINGAPURA: Sesetengah ibu bapa meluahkan rasa kecewa terhadap jadual dan aturan kelas baru oleh beberapa pusat tuisyen selepas kelas-kelas tuisyen dan kelas-kelas pengayaan digantung pada Selasa (24 Mac).

Penggantungan itu bertujuan untuk mengurangkan pergaulan antara para pelajar daripada sekolah yang berlainan. Ia merupakan antara langkah-langkah baru yang dilaksanakan bagi menjaga jarak selamat sedang jumlah kes COVID-19 terus meningkat.

Dengan kelas-kelas digantung sehingga hujung April, banyak pusat sedemikian mengadakan pembelajaran di rumah dengan sebahagian besar kelas diadakan secara online.

Kelas-kelas diadakan sama ada menerusi video yang dirakam terlebih dahulu ataupun menerusi wadah persidangan video seperti ClassDo atau Zoom.

Namun, ada sesetengah ibu bapa yang merasakan aturan pembelajaran sedemikian tidak setimpal dengan yuran yang dibayar.

Lantaran itu, beberapa petisyen dilancarkan bagi membantah aturan pembelajaran yang disediakan oleh pusat-pusat sedemikian.

Sebilangan ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka di pusat pengayaan Bahasa Mandarin, Berries World memberitahu Mediacorp bahawa berdasarkan pengalaman mereka dengan bahan pembelajaran di rumah yang disediakan oleh pusat tersebut, video-video itu mungkin selama 20 minit, jauh lebih singkat berbanding tempoh kelas biasa yang dijalankan sejam setengah.

Pusat itu lazimnya mengadakan pembelajaran di rumah semasa cuti umum.

Memberikan responsnya terhadap kritikan tersebut, penolong pengurus bagi perhubungan korporat Berries World, Ang Weifeng menjelaskan bahawa aturan alternatif itu perlu dilihat secara keseluruhannya dan pusat itu sentiasa memperbaiki sumber-sumbernya.

"Murid-murid prasekolah mempunyai tempoh tumpuan yang lebih singkat, jadi jika video pembelajaran ini sepanjang 15 atau 20 minit, ia agak mencabar bagi kanak-kanak itu.

"Kanak-kanak itu juga akan disediakan dengan buku latihan yang mereka boleh lakukan sambil menonton video itu. Selepas itu, jika dibenarkan oleh para ibu bapa, guru kami akan mengadakan persidangan video secara langsung untuk memantau perkembangan mereka."

PRIHATIN TERHADAP JADUAL KELAS

Sebuah lagi pusat, The Learning Lab juga dihujani dengan panggilan daripada para ibu bapa yang bimbang.

Pusat itu turut menerima aduan berhubung jadual kelas dan platform yang digunakan untuk sumber pembelajaran online.

Encik Su Wei Li memberitahu Mediacorp bahawa kelas-kelas online di pusat itu dijadualkan pada waktu yang berbeza daripada kelas yang diadakan di pusat itu, justeru menjadikannya sukar untuk para ibu bapa memandangkan mereka perlu membuat penyesuaian pada jadual masing-masing.

Menurutnya, meskipun anak perempuannya tidak dapat mengikuti kelas online yang dijadualkan, pusat itu tidak menawarkan jadual kelas alternatif.

Apabila Encik Su log masuk ke forum perbincangan kelas untuk memantau kelas itu, beliau mendapati kelas tersebut hanya diadakan menerusi video dan kuiz di samping sebuah kotak mesej.

"Bagaimanakah ia akan membantu pembelajaran murid-murid sekolah rendah? Tiada sebarang persidangan video atau sesi video yang dirakam oleh guru," katanya.

Lebih 350 orang telahpun menandatangani petisyen online yang menyelar pusat itu.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, The Learning Lab menyatakan bahawa ia menerima maklum balas yang bercampur aduk terutama sekali mengenai sesi forum perbincangannya.

Menurut pusat itu, ia memilih wadah yang sudah biasa digunakan oleh para pelajar dan membuat penyesuaian padanya untuk memudahkan peralihan ke pembelajaran di rumah.

"Kami menerima maklum balas ibu bapa dan sedang berusaha untuk menerapkan lebih banyak ciri-ciri interaktif seperti persidangan video," menurut pusat itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita