Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa lali beratur panjang luar sekolah, hadapi sikap pemandu degil & tidak bertimbang rasa

Bagi kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah menaiki kenderaan, kesesakan lalu lintas dan sikap baran adalah perkara biasa yang dihadapi setiap hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa lali beratur panjang luar sekolah, hadapi sikap pemandu degil & tidak bertimbang rasa

Kesesakan lalu lintas di Bedok North Ave 3 di luar Sekolah Menengah Bedok Green dan Sekolah Red Swastika pada pagi 12 Jan 2022. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Bagi kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah menaiki kenderaan, kesesakan lalu lintas dan sikap baran adalah perkara biasa yang dihadapi setiap hari.

Sikap tidak bertimbang rasa seperti menghadang jalan, memotong barisan beratur dan ibu bapa yang berlengah ketika di tempat menurunkan penumpang hanya antara beberapa insiden yang menyumbang kepada tekanan yang dirasai, para ibu bapa memberitahu Mediacorp.

“Ia bukan sewaktu dalam perjalanan dari rumah anda ke sekolah. Ia selalunya 500 meter terakhir di luar mana-mana sekolah di Singapura. Anda kemungkinan berakhir dengan meluangkan lebih banyak masa di sana daripada tempoh separuh masa perjalanan ke sana," luah Cik Karen Goh.

Lantaran itu, ibu dua orang anak itu dan suaminya memutuskan bahawa membuat perjalanan yang berasingan ke Sekolah Perempuan Methodist dan Sekolah Anglo-Chinese (Rendah) - yang dihadiri anak perempuan serta anak lelaki mereka - adalah cara terbaik untuk menghantar anak-anak mereka setiap hari.

Pada Selasa (11 Jan), seorang lelaki berusia 61 tahun diberkas kerana bertindak melulu sehingga menyebabkan kecederaan selepas satu insiden berlaku di luar Sekolah Red Swastika.

Dalam video yang tersebar luas online, sebuah kereta Bentley putih ditahan daripada memasuki sekolah rendah tersebut. Kereta itu kemudian bergerak ke hadapan untuk beberapa kali, menolak pengawal keselamatan yang berdiri di depannya.

Menurut Kesatuan Pekerja Pengawal Keselamatan (USE), kereta terbabit mempunyai label yang sah untuk memasuki sekolah tersebut tetapi ia memotong barisan beratur kereta lain yang sedang menunggu giliran untuk masuk. Lelaki berkenaan juga menggerakkan keretanya secara berbahaya biarpun pengawal keselamatan itu berdiri di hadapannya.

Pengawal keselamatan berumur 62 tahun itu, Encik Neo Ah Whatt mengalami "cedera ringan" dan siasatan polis sedang dijalankan.

Encik Neo "agak disenangi" oleh para pelajar dan ibu bapa, Setiausaha Eksekutif USE Steven Tan memberitahu CNA pada Rabu (12 Jan).

“Kami bertanya kepadanya jika ada orang yang menganiaya atau memarahinya, adakah ini kali pertama dan sebagainya. Secara amnya, dalam ingatannya adalah beliau amat gembira bekerja di sekolah itu. Ada segelintir yang mencabar peraturan sekali-sekala tetapi ini adalah kali pertama beliau berdepan sesuatu yang mengerikan seperti ini," tambah Encik Tan.

KEADAAN DI SEKOLAH RED SWASTIKA

Ibu bapa kepada pelajar Darjah 1 dan 2 di Sekolah Red Swastika mempunyai label kereta yang menyatakan mereka dibenarkan memasuki sekolah untuk menurunkan anak-anak mereka, kata Encik Aylwin Tay, yang mempunyai dua anak yang bersekolah di sana.

Semua ibu bapa lain diminta menggunakan tempat meletak kereta HDB bersebelahan sekolah itu di mana kanak-kanak memasuki sekolah melalui pagar belakang, beliau memberitahu Mediacorp.

Lazimnya, akan ada dua pengawal keselamatan di pagar sekolah dan seorang lagi di laluan keluar untuk membantu para pejalan kaki serta kanak-kanak melintasi jalan raya dengan selamat selain memberi isyarat kepada kereta untuk bergerak dari sekolah tersebut.

Encik Tay menyifatkan tindakan pemandu berusia 61 tahun yang memotong barisan beratur sebagai "perkara biasa yang dihadapi setiap hari".

sekolah jalan raya
Kereta meninggalkan Sekolah Menengah Bedok Green cuba memotong beberapa laluan untuk ke laluan paling kanan di Bedok North Avenue 3. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)


“Akan ada orang yang mengambil kesempatan, menggunakan kotak kuning untuk masuk dari laluan kedua," kata beliau.

“Perkara paling buruk adalah apabila mereka cuba untuk masuk dari laluan kedua, orang seperti saya yang tidak akan membenarkan mereka masuk kerana mereka tidak beratur, (kereta-kereta ini) akan menyebabkan kesesakan. Mereka akan tunggu sahaja di sana bagi peluang untuk belok dan mereka akan menghadang seluruh laluan," ujar Encik Tay. Beliau menambah beliau baru menyaksikan seorang pemandu melakukan perkara yang sama hanya dua hari lalu.

“Di kawasan sebelum Bentley itu belok masuk semalam, salah satu kereta itu baru sahaja melakukan perbuatan tersebut. Dia menghadang seluruh laluan kerana dia cuba masuk ke laluan kami untuk masuk ke sekolah."

Apabila Mediacorp mengunjungi Sekolah Red Swastika pada Rabu pagi, kereta-kereta mula berderet di Bedok North Road pada pukul 7.00 pagi. Pagar-pagar utama ke Sekolah Menengah Bedok Green, Sekolah Red Swastika serta tempat masuk dan keluar tempat meletak kereta HDB di mana ibu bapa menurunkan anak-anak mereka semuanya terletak di sepanjang jalan raya tersebut.

Sekolah Red Swastika hanya membenarkan ibu bapa mula memasuki pagar sekolah itu sekitar pukul 7.10 pagi. Ketika itu, menurut pemerhatian Mediacorp, laluan paling kiri sudahpun sesak dengan kereta yang menunggu giliran untuk membelok masuk ke tempat meletak kereta HDB ataupun sekolah-sekolah di Bedok North Road.

Mediacorp juga ternampak beberapa kereta yang cuba memotong laluan untuk memasuki laluan pertama dari laluan-laluan lain, serupa dengan tindakan yang dilakukan pemandu berumur 61 tahun itu pada Selasa pagi.

Selepas keluar dari tempat meletak kereta HDB, beberapa pemandu menggunakan kotak kuning di laluan keluar bagi memintas beberapa laluan untuk ke laluan pusingan U yang terletak di laluan paling kanan di Bedok North Road.

Malah, ada juga pemandu yang berhenti di dalam kotak kuning tersebut meskipun tiada kenderaan di hadapannya, kadangkala mengambil dua laluan dan menyesakkan lalu lintas.

Perbuatan berhenti di dalam kotak kuning dianggap sebagai satu kesalahan lalu lintas di Zon Warga Emas dan Zon Sekolah. Pemilik kenderaan ringan dan berat masing-masing boleh didenda S$100 dan S$150.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp pada 2020, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan tanda seperti kotak kuning digunakan untuk menghalang kenderaan daripada berhenti dan menghadang lalu lintas di bahagian jalan raya "di mana ia dianggap sesuai".

LTA juga memperkenalkan langkah-langkah pengurusan lalu lintas serta keselamatan jalan raya yang berbeza, seperti isyarat lalu lintas, bendul jalan raya dan tanda jalan raya untuk mengingatkan pemandu agar memperlahankan kenderaan tatkala berada di kawasan berdekatan sekolah-sekolah.

Untuk menguruskan aliran lalu lintas, sesetengah sekolah mengerahkan marsyal lalu lintasnya sendiri serta mengamalkan waktu datang atau pulang secara berperingkat, pada bila-bila masa yang mungkin, menurut LTA ketika itu.

“Jika perlu, LTA mengerahkan warden meletak kenderaan untuk mengurus lalu lintas tatkala waktu terjejas bagi melengkapi langkah-langkah ini," menurut penguasa itu dalam kenyataan tersebut.

Ibu bapa yang memandu juga seharusnya lebih bersabar kerana ada kanak-kanak yang menggunakan jalan-jalan raya ini, kata Cik Seah Lee May, seorang ibu kepada tiga anak yang menuntut di Sekolah Red Swastika, ketika ditemui Mediacorp.

Beliau juga berharap pihak berkuasa akan berusaha untuk menambah baik keadaan lalu lintas di sepanjang Bedok North Road sambil menambah bahawa ibu bapa sudah "banyak kali" menulis kepada pihak berkuasa berhubung hal itu.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan