Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa khuatir stigma kesihatan mental halang anak muda dapatkan bantuan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para ibu bapa bimbang stigma yang dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental akan menjadi penghalang bagi  golongan remaja  untuk mendapatkan bantuan, kata  ahli panel di forum mengenai  kesihatan mental pada Jumaat (20 Mei). 

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Cik Sun Xueling berkata menangani kesihatan mental harus bermula di rumah dan tempat-tempat lain yang memainkan peranan dalam kehidupan anak muda, termasuk sekolah, sekali gus menarik perhatian peranan penting kedua-dua ibu bapa dan sekolah dalam hal ini. 

"Kerana sudah tentu, apabila kami cuba menangani cabaran-cabaran yang dihadapi remaja kami, seperti isu kesihatan atau kesejahteraan mental, kami melihat masalahnya sendiri apabila kami sepatutnya mencari langkah-langkah pencegahan bagi menangani puncanya." 

Cik Sun berkata demikian di acara Temasek Shophouse Conversations, sambil menambah, kajian menunjukkan kesejahteraan seorang kanak-kanak bergantung kepada hubungan yang terjalin antara anak itu dan ibu bapanya, guru serta rakan. 

Acara yang berlangsung pada Jumaat (20 Mei) itu diadakan secara hibrid, dan dihadiri lebih 600 peserta dari sektor awam, privet dan masyarakat. 

Dianjurkan oleh Yayasan Temasek, cabang sosial syarikat pelaburan negara Temasek Holdings, dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta rangkaian sokongan rakan sebaya Campus Psy, forum itu bertujuan untuk menggalakkan perbincangan mengenai kesihatan mental golongan muda dan meneroka cara membaiki  sokongan dan akses kepada bantuan. 

Dalam ucap tamanya,  Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata keadaan sekarang ini menyaksikan lonjakan dalam cabaran kesihatan mental dalam kalangan anak muda sejagat, sambil menambah bahawa data yang ada menunjukkan "perkembangan membimbangkan". 

Misalnya, data yang dikeluarkan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) menunjukkan bahawa lebih 40 peratus anak muda yang tidak mengalami cabaran kesihatan mental sebelum pandemik mengatakan kesejahteraan mental mereka merosot. 

Cik Sun yang mengulas tentang tugas pasukan bertindak pemerintah yang ditubuhkan tahun lalu bagi menyelia usaha menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan mental, berkata pasukan itu dianggotai pelbagai agensi kerana ia akur bahawa kesihatan mental bukan sahaja isu perubatan dan ia tidak boleh hanya mempertimbangkan huraian perubatan. 

STIGMA MUNGKIN SISTEMIK

Antara isu yang dibangkitkan semasa acara itu adalah kebergantungan kepada teknologi yang menimbulkan keprihatinan antara kalangan ibu bapa, guru, pemerintah dan anak muda sendiri. Teknologi dan media sosial kata mereka meningkatkan lagi perasaan resah dan kemurungan. Ini juga menyumbang kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan belia.

Dr Priyanka Rajendram, Penolong Pengarah Penggalakan Kesihatan Bersepadu di Pejabat Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai Transformasi Jagaan Kesihatan, berkata terdapat pelbagai jenis stigma, antaranya adalah sistemik. 

Menurutnya,    Singapura mempunyai antara kadar terendah pakar psikiatrik bagi setiap 100,000 penduduk di dunia. Jenis-jenis lain termasuk stigma awam, di mana penyakit mental sering dikaitkan dengan perasaan malu dan hilang semangat. 

"Oleh itu, mungkin kita harus memikirkan cara untuk menjadikan perbualan tentang kesihatan mental ini satu kebiasaan.

"Ini sekali gus memaparkan mesej yang penuh harapan dan lebih positif," kata Dr Rajendram. 

Profesor Madya John Wong, Pakar Psikiatri dan Konsultan Kanan dari Jabatan Perubatan Psikologi di Universiti Nasional Singapura dan Hospital Universiti Nasional, menarik perhatian bahawa terdapat lebih ramai anak muda, terutama murid-murid sekolah menengah, yang ingin mendapatkan penilaian pakar mengenai kesihatan mental mereka. 

Namun, sebilangan ibu bapa kurang tahu tentang kesihatan mental, katanya. 

Ahli panel berasingan pula menimbulkan isu bagaimana ibu bapa boleh menjadi penghalang kepada anak muda untuk mendapatkan akses kepada jagaan kesihatan mental. Dalam kalangan belia, mungkin terdapat mereka yang tidak selesa jika ibu bapa mereka tahu tentang masalah kesihatan mental yang dihadapi, kata Cik Sun.

Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan bertindak akan melihat bagaimana identiti ibu bapa dan pelajar dilindungi apabila mereka mendapatkan bantuan daripada kaunselor sekolah.

Dalam keadaan di mana campur tangan perubatan perlu diambil, contohnya risiko  kanak-kanak itu mencederakan diri sendiri, Cik Sun berkata terdapat kata sepakat, izin ibu-bapa perlu diperolehi terlebih dahulu.

Tambah Cik Sun lagi, mungkin terdapat ibu bapa yang rasa terdapat stigma mengenai kesihatan mental dan mungkin berkata, "Tiada isu pun, mari kita jangan cakap tentang ini. Dan saya juga bimbang ini akan mencemar rekod anak saya. Oleh itu, saya tidak ingin sebarang bantuan". 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan