Skip to main content

Singapura

Ibu bapa digalak buat janji temu vaksinasi anak untuk singkatkan masa menunggu

Kedua-dua Raffles Medical dan Fullerton Health, yang mengendalikan pusat vaksinasi kanak-kanak di merata Singapura, mengesahkan ia menyaksikan peningkatan pada jumlah mereka yang datang terus ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa digalak buat janji temu vaksinasi anak untuk singkatkan masa menunggu

Seorang bapa mendaftarkan anaknya bagi vaksinasi pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

Diterbitkan : 28 Jan 2022 10:55PM

SINGAPURA: Anda merancang untuk membawa anak mendapatkan suntikan pertama vaksin COVID-19?

Ibu bapa digalak untuk membuat janji temu dan bukan datang terus ke pusat vaksinasi.

Langkah itu akan membantu mengurangkan masa menunggu, menurut pusat-pusat vaksinasi pada Jumaat 28 Jan).

Kedua-dua Raffles Medical dan Fullerton Health, yang mengendalikan pusat vaksinasi kanak-kanak di merata Singapura, mengesahkan ia menyaksikan peningkatan pada jumlah mereka yang datang terus ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Mulai 25 Januari, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun boleh pergi langsung ke mana-mana pusat vaksinasi pediatrik untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 anak-anak mereka. Janji temu lebih awal tidak perlu dibuat sekiranya mereka mahu pergi langsung ke pusat vaksinasi tersebut pada mana-mana hari dari Isnin hingga Khamis.

Dalam catatan Facebook pada Jumaat, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata lebih 5,600 kanak-kanak pergi ke pusat vaksinasi dengan ibu bapa masing-masing tanpa membuat janji tamu, dari Isnin hingga Khamis lalu, untuk mendapatkan vaksinasi.

“Ramai ibu bapa juga mengalu-alukan langkah untuk membolehkan mereka membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksinasi tanpa perlu menumpang janji temu adik-beradik mereka," tulisnya.

Aturan tanpa janji temu diterima bagi semua adik-beradik yang menemani kanak-kanak berkenaan yang sudah membuat janji temu vaksinasi COVID-19 lebih awal, dari Isnin hingga Khamis, sejak 10 Januari.

Pusat vaksinasi pediatrik Fullerton Health menyaksikan minat awal pada aturan tanpa janji temu memandangkan ia sudah dibenarkan sekarang dan ini adalah dalam kapasiti operasi pusat, menurut jurucakapnya.

“Walaupun aturan tanpa janji temu dibenarkan, kami amat menggalakkan anggota masyarakat supaya membuat janji temu sebelum datang ke sana," nasihat jurucakap itu.

Beliau menarik perhatian purata masa menunggu bagi mereka yang membuat janji temu adalah kurang satu jam, termasuk tempoh pemerhatian selama 30 minit selepas mendapatkan suntikan.

Raffles Medical juga mengesahkan ia menyaksikan kenaikan pada jumlah ibu bapa yang hadir bersama anak mereka, berusia antara lima hingga 11 tahun, tanpa sebarang janji temu.

“Walaupun kami tidak menolak permintaan mereka, janji temu digalakkan untuk mengurangkan waktu menunggu. Kami sudah membuat penyesuaian tenaga kerja yang sewajarnya untuk memenuhi permintaan dan menangani masa menunggu untuk setiap orang," kata jurucakapnya.

Sekalipun masa menunggu berbeza-beza di semua pusat dan untuk tempoh waktu yang berlainan, ibu bapa seharusnya mengelakkan waktu sibuk seperti awal pagi dan waktu makan untuk mengurangkan masa menunggu, kata beliau.

“Untuk menguruskan jangkaan dengan lebih baik, pasukan kami akan sentiasa memaklumkan anggota masyarakat tentang masa menunggu dan mencadangkan alternatif seperti kembali semula semasa waktu tidak sibuk ataupun membuat janji temu untuk tarikh lain."

Sesetengah ibu bapa bertanya jika aturan tanpa janji temu boleh dilanjutkan sehingga Jumaat dan hujung minggu, kata Encik Chan dalam catatannya pada Jumaat.

“Malangnya, ini masih tidak mungkin terlaksana kerana tempahan janji temu amat padat pada hari-hari tersebut. Namun kami akan terus memantau corak tempahan janji temu. Apabila kami boleh menyelesaikan vaksinasi untuk lebih ramai kanak-kanak kita pada minggu-minggu mendatang, kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk membuatkan aturan lebih mudah bagi keluarga," tulisnya.

Ibu bapa yang merancang untuk pergi ke pusat vaksinasi dengan anak-anak mereka tanpa membuat janji temu pada 31 Januari harus melakukan demikian selewat-lewatnya pada pukul 1.00 tengah hari. Ini kerana pusat-pusat vaksinasi itu akan ditutup awal pada malam Tahun Baru Cina. Ia juga akan ditutup pada 1 dan 2 Februari sempena cuti umum, tambah Encik Chan.

Sejauh ini, 175,000 kanak-kanak sudahpun mendapatkan suntikan dos pertama mereka dan lebih 25,000 divaksin kedua-dua dos, dedah Menteri Pendidikan itu.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita